Tuesday, May 26, 2015

Adik Najib bidas tindakan 1MDB lagi...


Adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak berkata beliau tidak dapat menerima keputusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk tidak hadir ke siasatan parlimen berhubung masalah firma itu.

Pengerusi kumpulan perbankan CIMB itu berkata, bekas ketua pegawai operasi 1MDB, Datuk Shahrul Halmi dan penggantinya, Arul Kanda sepatutnya hadir untuk siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana firma tersebut “mencetus krisis nasional”.

“Syarikat anda mencetuskan krisis nasional dan anda boleh pula terlalu sibuk untuk menghadapi (siasatan) parlimen? Ini tidak boleh diterima,” kata Nazir.

Adik kepada Datuk Seri Najib Razak itu memuatkan tulisan itu melalui akaun Instagram.

Beliau pada April lalu turut mengecam 1MDB kerana tidak hadir ke persidangan Invest Malaysia untuk menjelaskan isu yang menghurung firma tersebut.

1MDB dalam kenyataan semalam menjelaskan tarikh yang ditetapkan untuk memberi keterangan di PAC itu bertembung dengan satu temujanji di luar negara.

Firma itu juga menyatakan bahawa Arul Kanda, Shahrol Halmi dan anggota lembaga pengarahnya akan memberi kerjaasama dan hadir ke siasatan PAC.

"Tarikh ini sedang diputuskan kerana tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan tarikh yang dijadualkan untuk komitmen di luar negara. 

"Arul Kanda dan Datuk Shahrol Halmi menanti-nanti peluang untuk hadir ke siasatan jawatankuasa ini dan menjelaskan kedudukan 1MDB," kenyataan itu dipetik lapor Malaysiakini

No comments:

Post a Comment