DAP diminta menutup
mulut atau berhenti bercakap dan menyerang PAS jika mereka benar-benar
mahukan kumpulan yang pro-Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pemilihan
parti itu minggu depan.
Pemimpin PAS yang pro-PR
berkata, serangan yang dibuat pemimpin DAP terhadap beberapa pemimpin
PAS tidak membantu, malah menyusahkan mereka dalam pemilihan pada
muktamar kali ini.
"Biar kami yang uruskan sendiri," kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kepada The Malaysian Insider.
Bahkan, tindakan
pemimpin DAP itu boleh dianggap 'sokongan membawa rebah' kerana ia
dianggap justifikasi kenapa PAS perlu menjauhi PR, khasnya DAP,
sebagaimana dibawa pendokong kumpulan pro-ulama sekarang.
"Serangan Lim Kit Siang
dan anaknya, Lim Guan Eng, tambah menyusahkan kami dan menjadikan
masalah lebih rumit," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.
Baginya, DAP dilihat seperti berkempen supaya sesetengah pihak dalam PAS menang, padahal mereka sepatutnya tidak campur tangan.
"DAP sepatutnya tunggu pemilihan selesai, baru buat apa-apa komen," kata Mujahid.
Ahli Parlimen Parit
Buntar itu antara pemimpin PAS yang mahu PR dipertahankan dan parti
Islam itu kekal di dalamnya selepas Muktamar Tahunan PAS ke-61 dari 4
hingga 6 Jun nanti.
Beliau keras menentang
pendekatan pemimpin utama PAS sekarang, khasnya presiden Datuk Seri
Abdul Hadi Awang, yang dilihat cuba menjauhkan diri dari PR.
Mujahid menolak
pencalonan untuk naib presiden PAS, tetapi akan mempertahankan
jawatannya sebagai AJK PAS Pusat dalam pemilihan itu nanti.
Seorang lagi pemimpin
PAS yang pro-PR, Suhaizan Kaiat, juga tidak senang dengan kenyataan
pemimpin DAP sekarang yang dianggapnya tidak kena dengan persepakatan
dalam gabungan itu.
Dalam satu kenyataan,
Ketua Pemuda PAS itu berkata anak muda Malaysia memerhati dengan penuh
minat pengurusan konflik dalam politik di negara ini.
Beliau sangat tidak senang dengan kenyataan Guan Eng, selaku setiausaha agung DAP, yang menuduh Hadi condong kepada Umno.
"Tuduhan ini memberi gambaran buruk kepada anak muda Malaysia.
"Bagaimana dua pemimpin
yang duduk sepentas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, dan duduk
sebaris dalam Parlimen, boleh bertembung antara satu sama lain?
"Apakah sudah tiada jalan yang bijaksana mengurus masalah?" kata Suhaizan dalam kenyataannya.
Jika konflik ini berteruskan, katanya, anak muda akan menganggap pemimpin PR hipokrit.
Lebih malang lagi, mereka akan menganggap tiada beza antara PR dan Barisan Nasional yang jelas penuh dengan pelbagai masalah.
Baginya, pemimpin PR wajar memahami, setiap pemimpin ada pendokong dan penyokongnya.
"Kami Pemuda PAS membesar bersama tarbiyah daripada Hadi. Kami pendokong presiden PAS.
"Walau presiden tidak maksum, kami tidak dapat menerima tuduhan liar Guan Eng kepada batang tubuh presiden kami," katanya.
Suhaizan berkata, jika pun ada kelemahan pada Hadi, tidak bijak menuduh beliau condong kepada musuh PR, iaitu Umno.
Masih banyak lagi saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik, katanya.
Mengulas kenyataan Guan
Eng yang hanya badan Hadi bersama PAS, tetapi hatinya sudah bersama
Umno, Suhaizan berkata ia akan mengundang tindak balas daripada daripada
semua bahagian dalam PAS, termasuk sayap utama parti dan semua
peringkat pusat dan negeri.
"Kawasan dan cawangan,
semua akan marah dengan kenyataan tersebut. Mereka ada hak untuk berasa
marah dan menzahirkan kemarahan dengan kenyataan seumpama itu.
"Mungkin ada pihak akan
bertindak luar kawalan. Ini akan menyebabkan Pemuda DAP pula bertindak
balas. Maka berlakulah pertembungan yang bertali arus. Dan ini akan
mengurangkan keyakinan rakyat kepada PR," katanya.
Sehubungan itu, beliau
mewakili Pemuda PAS mendesak Guan Eng serta pimpinan DAP dan PR agar
menggunakan kebijaksanaan masing-masing menguruskan konflik yang
berlaku.
"Jangan hancurkan
harapan rakyat khususnya anak muda yang mahu melihat Malaysia yang lebih
unggul dan sejahtera di bawah PR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,"
katanya.
Guan Eng membuat
kenyataan itu semalam, susulan tindakan Hadi yang tidak menyatakan
sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail semasa
pilihan raya kecil Permatang Pauh awal bulan ini.
“Bukan sahaja tidak
hadir ke kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau malah tidak
menyatakan sokongan terbuka kepada Dr Wan Azizah.
“Ini menunjukkan walaupun tubuh badan beliau masih bersama PR, hatinya sudah bersama Umno,” kata Guan Eng di lobi Parlimen.
Pada Ahad, Kit Siang
yang merupakan ketua Parlimen DAP menulis di blognya, PR mungkin tidak
wujud lagi 2 minggu akan datang susulan kenyataan Hadi yang dilihat
condong ke arah membina kerajaan perpaduan dengan Umno-BN. – 26 Mei,
2015. (TMI)
No comments:
Post a Comment