Sunday, May 31, 2015

Berang dipersalahkan dalam isu 1MDB, Najib mahu anggota kabinet yang tak sokongnya letak jawatan?



Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Kata dua Perdana Menteri itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu tetapi difahamkan, tiada seorang pun anggota Kabinet yang menyatakan pendirian mereka tidak bersama Najib ketika diberi peluang berbuat demikian.

Menurut sumber Kabinet, Perdana Menteri menyatakan pendirian tegasnya itu sebaik sahaja Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

Hal sama yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet itu turut dilaporkan portal berita, Malaysia-today.net.

“Perdana Menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian (menyatakan tidak bersama),” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selasa lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, menggesa menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan kolektif Kabinet dalam isu 1MDB perlu meletakkan jawatan.

Shahrir yang bersetuju dengan saranan Tengku Razaleigh Hamzah agar seluruh anggota Kabinet harus mengambil tanggungjawab dalam isu 1MDB ketika membuat gesaan itu berkata, prinsip Kabinet ialah tanggungjawab bersama.

Pada Jumaat pula, Ahmad Husni ketika mengumumkan pelan rasionalisasi 1MDB memberitahu, syarikat pelaburan strategik kerajaan itu akan menerima pembayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) selepas memeterai perjanjian dengan firma dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments (Aabar).

Jelas Menteri Kewangan II itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian terbabit, IPIC akan membuat bayaran RM3.6 bilion itu pada atau sebelum 4 Jun dan dana itu akan digunakan 1MDB untuk membayar balik pinjamannya berjumlah RM3.5 bilion lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan kumpulan bank antarabangsa lapor Utusan

Mat Sabu tekan kerjasama dalam parti, bukan kritik Hadi, tegas Khalid


Selepas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mempertahankan ucapan Mohamad Sabu Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Abdul Samad pula tampil melakukan perkara yang sama, lapor Sinar Harian hari ini.

Khalid berkata, ucapan timbalan presiden parti yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu, merupakan satu penegasan mengenai pentingnya kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mahu menang.

Ia bukan satu kritikan, katanya yang sependapat dengan kenyataan yang dibuat Mat Sabu itu, yang selama ini PAS tidak boleh menang apabila bersendirian.

"Oleh itu, saya tidak lihat itu sebagai satu kritikan, tetapi sebagai menegaskan perlunya kerjasama di antara parti.

"Apa yang Mohamad tekankan ialah kerjasama dengan PR kalau mahu menang," katanya kepada akhbar itu.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menegaskan, Mat Sabu pada ucapannya itu sebaliknya memuji Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hebat dari segi ceramah, walaupun masih tidak mampu membawa kemenangan tanpa kerjasama dalam parti.

"Kelantan menang pun dengan kerjasama dengan Semangat 46. Manakala PAS menang di Terengganu dengan kerjasama PKR.

"PAS tidak cukup kuat seorang diri walaupun dengan pemimpin hebat macam Hadi," katanya mengulas ucapan yang dibuat Mat Sabu di Tumpat, Kelantan pada satu ceramah isu semasa.

Mat Sabu dilaporkan dalam ucapannya mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah, tapi bila pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada BN).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya, kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah itu.

Turut hadir ketika itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan. - TMI

Lepas setahun, janji BN di Teluk Intan masih belum tunai, kata Dyana Sofya




Dyana Sofya Mohd Daud mengatakan banyak dolak-dalik yang berlaku dalam pelaksanaan manifesto BN di Teluk Intan.

Dyana Sofya Mohd Daud mengatakan banyak dolak-dalik yang berlaku dalam pelaksanaan manifesto BN di Teluk Intan.

Bekas calon DAP di kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini mengatakan meskipun sudah setahun Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu berlalu, janji manifesto Barisan Nasional (BN) masih belum tertunai.

Dyana, yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, banyak dolak-dalik yang berlaku dalam pelaksanaan manifesto BN di Teluk Intan.

"Penduduk dan pengundi Teluk Intan semestinya ingin mengetahui apakah status terbaru berkenaan pelbagai pelan pembangunan dan penambahbaikan yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Antara manifesto BN yang dibangkitkannya adalah zon wifi dan penambahbaikan kemudahan jalur lebar.

Dyana berkata, walaupun Teluk Intan disenaraikan di dalam laman TMNet sebagai zon Unifi, tinjauan mendapati perkhidmatan tersebut masih belum wujud di dalam kawasan Teluk Intan.

"Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata untuk tujuan itu, pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan infrastruktur asas jalur lebar di kawasan terlibat.

"Adakah penyediaan infrastruktur tersebut sudah dimulakan dan apakah usaha yang sudah dilakukan untuk menepati janji ini?" katanya.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut membangkitkan berkenaan pembinaan sebuah universiti atau institusi pengajian tinggi terkemuka.

"Sehingga kini, lot tanah yang dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam," katanya.

Beliau berkata, pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui.

"Sebelum ini, penekanan ke arah pendidikan melalui manifesto tersebut dikatakan bakal mengubah wajah bandar Teluk Intan.

"Namun sampai sekarang, semua penduduk Teluk Intan masih menunggu untuk mendengar pelan terperinci dan apakah manfaat kemajuan dan pembagunan yang bakal dibawa," katanya.

Dyana turut membangkitkan percanggahan manifesto BN yang memenangi PRK tersebut untuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden.

"Jawapan daripada kerajaan negeri pada Disember 2014 menyatakan tiada cadangan menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden dan sekaligus menidakkan janji yang dibuat oleh calon BN yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Jadi, bagaimanakah Teluk Intan boleh dijadikan hab pertanian moden seperti yang dijanjikan?" soalnya.

Dyana juga membangkitkan berkenaan Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan, yang mana anggaran kos yang diperlukan adalah sebanyak RM360 juta.

"Walaupun RM30 juta diluluskan untuk memulakan projek tebatan banjir tersebut, apakah garis masa bagi projek keseluruhannya dan bilakah baki peruntukan RM330 juta akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran?" soalnya.

Beliau juga masih menantikan manifesto yang dibentangkan ketika PRM untuk menjanjikan Menara Jam Condong sebagai tapak Warisan Dunia Unesco.

"Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Februari yang lepas mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, sebagai usaha menarik perhatian antarabangsa agar dapat menjadi tapak Warisan Dunia Unesco.

"Bagaimanapun, ini bukanlah perkara baru kerana pada Mei 2012, Tan Seri Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pernah mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, dua tahun sebelum PRK Teluk Intan.

"Oleh itu, pengumuman timbalan perdana menteri pada Februari lepas tidak menandakan usaha baru dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

"Adakah pengisytiharan kali kedua itu hanya untuk memperdayakan pengundi?" katanya.

Dyana tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong dalam PRK tersebut.

"Saya berharap supaya manifesto itu bukan hanya janji tinggal janji dan menggesa agar ia dikotakan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, yang juga merupakan seorang menteri kanan kerajaan BN."

Nyawa DSAI Dalam Bahaya?


UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Telah 110 hari Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas fitnah jahat yang dilontarkan ke atas beliau. Amnesty International telah mengisytiharkan bahawa beliau merupakan seorang tahanan politik sejak 17 Februari 2015, iaitu kira-kira 7 hari selepas beliau didapati bersalah dalam sebuah fitnah yang didalangi oleh musuh-musuh politik beliau.

Walaupun semangat juang beliau tidak pernah luntur, selama beberapa lama beliau di dalam penjara, dapat diperhatikan penurunan berat badan beliau secara mendadak. Kebimbangan kami meningkat apabila diberitahu yang keadaan kesihatan beliau semakin menurun dalam masa beberapa bulan yang lepas.

Semenjak beliau dipenjarakan, kami diberitahu beliau kehilangan berat badan kira-kira 6 kg yang sungguh membimbangkan sekiranya ini berterusan. Terdapat juga simptom kesan darah dalam sampel najis beliau, yang memerlukan pemeriksaan perubatan secara lebih dekat. Beliau juga direkodkan mempunyai tekanan darah yang tidak menentu, dan bacaannya setinggi 163/108 walaupun beliau sedang menjalani rawatan ubatan.

Beliau juga mempunyai kecederaan yang teruk di bahu kanan  beliau (dalam sebuah kejadian setahun lepas), yang masih meletakkan beliau dalam keadaan kesakitan. Kecederaan ini memerlukan pemeriksaan MRI, rawatan dan berkemungkinan pembedahan untuk pulih sepenuhnya.

Kami mendapat maklumat bahawa Dato’ Seri Anwar telah berulang kali membuat permintaan untuk rawatan perubatan dan kemasukan ke dalam hospital. Amat dikesali sekali atas kelewatan kerajaan dalam memenuhi permintaan ini. Sehinggakan permintaan mudah untuk menjalani pemeriksaan MRI ke atas bahu beliau juga tidak endahkan untuk beberapa minggu.

Kami dimaklumkan juga bahawa Dato’ Seri Anwar telah dilawati oleh doktor-doktor yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan yang sedang memerhatikan keadaan beliau.

Bagaimanapun, kami dimaklumkan oleh peguam Dato’ Seri Anwar yang telah menemui beliau untuk tempoh dua hari yang lepas, yang beliau akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada hari Selasa, 2 Jun 2015, untuk pemeriksaan, permerhatian dan rawatan perubatan.

KEADILAN dan keluarga Dato’ Seri Anwar sangat mengesali kelewatan bertindak oleh kerajaan untuk memberikan rawatan perubatan kepada Dato’ Seri Anwar. Kami menuntut agar beliau diberikan penjagaan kesihatan secara menyeluruh yang diperlukan oleh beliau. Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi mestilah memberikan jaminan bahawa Dato’ Seri Anwar dibenarkan berada di hospital selama mana yang diperlukan untuk penilaian kesihatan beliau dilakukan dan rawatan yang diperlukan diberikan sehingga keadaan beliau pulih.

Kegagalan kerajaan untuk memenuhi tuntutan ini merupakan sebuah pencabulan hak asasi Dato’ Seri Anwar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang adil dan saksama.

KEADILAN akan terus mendapatkan maklumat terkini berkenaan kesihatan beliau daripada keluarga Dato’ Seri Anwar dan juga barisan peguam beliau yang mesti diberikan akses sepenuhnya kepada beliau sepanjang tempoh beliau berada di hospital.

Dato’ Johari Abdul
Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Ahli Parlimen Sungai Petani
Ketua Whip KEADILAN

PM NAJIB : TEMBAK TEPAT KENA KEPALA AKU ....

MALAYSIAKINI


 


Prestasi kerajaan mungkin boleh diperbaiki lagi jika sistem pemilihan perdana menteri diubah, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Berbanding pelantikan perdana menteri dibuat oleh parti yang memenangi pilihan raya, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, ia mungkin boleh ditentukan oleh rakyat secara langsung.

"Kita perlu meneroka sistem lain dalam kerajaan dan melihat jika ia lebih baik," katanya dalam ucapan di Petaling Jaya hari ini.

Majlis itu anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Harmony Malaysia.

Ku Li berkata, rakyat mungkin boleh diberi kebenaran melantik sendiri perdana menteri (melalui pilihan raya seperti yang dijalankan di beberapa negara lain).

Menurut beliau, amalan Westminster yang sedang dipraktikkan di negara ini sudah tidak lagi sesuai.

Generasi baru, nilai baru

Ketika ini amalan demokrasi di negara ini membenarkan seseorang  dilantik sebagai perdana menteri melalui persetujuan majoriti parti yang memenangi pilihan raya.

Indonesia adalah antara negara mengamalkan pilihan raya umum yang membenarkan setiap pengundi berdaftar memilih sendiri presiden mereka.

"Kita mengambil sistem dari British yang berjaya (diamalkan) di negara lain, tetapi bukan di Malaysia," katanya.

Menurut Ku Li, generasi baru negara ini memiliki pemikiran dan nilai berbeza berbanding generasi terdahulu.

Justeru, katanya, kaedah baru diperlukan untuk menyesuaikan keadaan semasa.

Kata Ku Li, bidang pendidikan juga perlu diberi penekanan, selain isu gaji lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan. 

Kukuhkan Pakatan Rakyat: 3 Anak Bekas Pimpinan Tertinggi PAS Berkongsi Pentas


KELAB GREENBOC


Dari kiri, Faiz Fadzil (anak Almarhum Fadzil Noor), Mujahid Yusof (anak almarhum Yusuf Rawa) & Nik Omar Nik Aziz (anak almarhum TG Nik Aziz)

 

Ayah ambil berat Pakatan lebih daripada anak sendiri, kata anak Nik Aziz

Anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ayahnya lebih mengambil berat hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding kepentingan anak sendiri.

Menurut Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjelang muktamar PAS, perwakilan tidak seharusnya memikirkan sama ada memilih golongan ulama atau profesional diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada parti.

"Ulama ada takrifan tersendiri. Maknanya bagi dia (Nik Aziz), pimpinan PAS semua ulama cuma mengikut tahap masing-masing.

"Ulama ini orang yang takut, maknanya dengan ilmunya, dia takut pada Allah. Pengajiannya dalam bidang sains atau sejarah, yang dia belajar menyebabkan dia kembali kepada Allah. Dia termasuk dalam ulama," katanya dalam sebuah forum "PAS dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia" malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.

Ditanya ciri-ciri yang dimiliki bapanya sehingga dapat menarik sokongan pelbagai kaum di Kelantan, Nik Omar berkata terdapat tiga ciri utama yang dipegang bapanya.

Katanya, tiga ciri tersebut ialah warak, zuhud dan istiqamah yang ditonjolkan semasa mentadbir negeri Kelantan dan juga ketika bersama keluarga.

"Dia ada sifat atas sikit makamnya, iaitu zuhud. Zuhud biasa orang terjemah tak nak pada dunia. Saya perhati Tok Guru seolah-olah tak ada segelumit pun dia minat pada dunia tetapi dia duduk atas dunia.

"Dunia duduk di tangannya bukan pada hatinya. Dia urus dunia, bukan dunia yang urus kehidupannya.

"Apabila dia menang (menteri besar), antara benda yang dia buat untuk diri dia, dia potong gajinya 45% untuk khazanah negeri dan parti. Dia cakap pada saya, sampai akhir pun 'ayah tidak tahu gaji ayah berapa'. Dia nak guna duit, dia beritahu pegawai dia,"
 katanya mengenang kenangan bersama allahyarham.

Sementara Faiz berkata, ulama atau profesional bukanlah menjadi kriteria utama pemilihan dalam muktamar kali ini, sebaliknya pimpinan beraliran pragmatik perlu diangkat mempelopori PAS untuk tempoh dua tahun akan datang.

Faiz yang juga merupakan peguam syarie berkata, ciri pemimpin berkenaan penting dalam memastikan PAS terus relevan dan bergerak maju ke depan.

"Untuk kita bergerak sebagai sebuah parti politik untuk perintah negara ini, kita perlu pilih pemimpin beraliran pragmatik, yang tajdid yang boleh berfikir ke depan bukan sekadar buka kitab dan baca apa yang ada dalam kitab.

"Kalau tuan-tuan sayang pada PAS, sayang pada agama Islam, wajib memilih pemimpin yang tajdid sama ada mereka yang berkelayakan agama atau profesional.

"Kalau pragmatik menang, kita akan tarbiah golongan ekstrim, reform model tarbiah, usrah dan bawa mereka kenal budaya Malaysia.

Kita bukan tinggal di Mongolia, Arab Saudi, nak jadi ekstrem, kita bukan duduk di Syria. Kita tinggal di Malaysia. Kita anti keganasan," katanya.

Faiz berkata PAS perlu terus bersama PR dan menunjukkan kepada DAP bahawa Islam sebuah agama yang universal dan boleh dikongsi untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

Katanya, mereka yang berpandangan jumud dan sempit sahaja akan menganggap kerjasama di antara PAS dan DAP akan menggadai maruah Islam.

"Perlulah kita berdakwah kepada orang bukan Islam tetapi sekarang seolah-olah kita nak benci orang Cina, bila kita nak berdakwah dengan mereka?

"Kalau dilihat Buku Jingga, ia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Kalau DAP tolak Islam, dia akan buang.

"Polisi bersama dalam PR memperjuangkan keadilan, membanteras penyelewengan, rasuah dan kita nak bentuk kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Ini (diajar) dalam Islam," katanya.

Katanya, bagi memastikan parti Islam itu terus relevan maka keahlian perlu dibuka kepada bukan Islam dan bukan sekadar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Sebab itu dalam PAS saya memikirkan visi pada masa depan, PAS perlu menjadi (parti) pelbagai kaum dan agama.

"Pemikiran ini bukan baharu. Saya akan meneruskan perjuangan itu. Saya kata bukan sekadar Dewan Himpunan, saya mahu bukan Islam jadi ahli PAS.

"Saya akan lawan siapa-siapa saja yang hijack PAS untuk kepentingan sempit. Saya akan lawan.

"Jangan bimbang dengan suara-suara ekstrem, Isis, Taliban, sebab suara ini akan berlalu. Yang akan memimpin PAS, insya Allah, suara yang melihat masa depan negara dan melihat satu sumbangan untuk meletakkan rahmat sekalian alam sebagai dasar utama yang diperjuangkan parti,"
 katanya. -TMI 

UMNO PERLIS : KALAU TOK KETUA PUN SAPU DUIT, KAMI PUN SAPU LAH... APA SALAHNYA ???

 
Ia tersebar selepas timbul rasa tidak puas, di mana mereka yang hadir telah dibayar RM40, kurang RM10 daripada yang sepatutnya.


umno,rm50


PETALING JAYA: Ahli UMNO Perlis dikatakan dibayar RM50 seorang untuk menyambut ketibaan Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke negeri itu.

Ia tersebar selepas timbul rasa tidak puas, di mana mereka yang hadir telah dibayar RM40, kurang RM10 daripada yang sepatutnya.

Berdasarkan mesej perbualan yang dihantar melalui Whatsapp, ia mendakwa duit yang sepatutnya diberikan kepada mereka telah disapu orang tengah.

"Hari ni PM Tok Jib mai Perlis. Ramai kata yang pi diberi RM40. Tak pasti sama ada sebenaqnya RM50 tapi RM10 dah kena sapu. Orang UMNO sendiri mengaku memang bagi duit suruh pi!", antara status yang dibincangkan.

Ia kemudian mengundang reaksi mereka yang lain yang mengesahkan wujudnya pemberian wang kepada mereka yang hadir sambut Perdana Menteri.

" Tak taboq fitnah aih…sungguh…hari ni pakat tingai kerja sari…kerajaan perihatin…bagi duit penat lelah..apa salahnya", kata Azam Rashid

Bagaimanapun, dia menjelaskan ramai yang hadir tidak mengambil wang.

Thursday, May 28, 2015

Adakah 1MDB terlibat dengan 'money laundering'? soal Mahathir


Apabila jawapan kepada soalan yang ditujukan kepada Perdana Menteri atau Menteri oleh ahli Parlimen walaupun jawapan itu disediakan oleh pegawai, tetapi yang bertanggungjawab ialah menteri kementerian berkenaan.

Dialah yang akan memikul beban kesalahan jika ini berlaku. Walaupun prosiding dalam Parlimen diberi kekebalan melalui undang-undang, tetapi jika jawapan tidak berasas kepada kebenaran, ia tetap tidak benar dan tidak lagi kebal apabila jawapan itu disiar untuk pengetahuan umum tanpa dinafi.

2. Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan. Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran. Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama.

3. Menteri lebih bertanggungjawab kerana dikehendaki menyemak dan menentukan jawapan yang dibuat atas namanya adalah benar. 4. Perdana Menteri telah jelaskan bahawa wang sebanyak USD 1 billion tidak dibawa balik ke Malaysia kerana Bank Negara akan menganggu urusan keluar masuk wang yang lebih dari 50 juta.

5. Setahu saya bank-bank telah diarah menyoal urusan yang lebih dari RM50,000/-. Jika urusan tidak ada kaitan dengan “money laundering”, iaitu yang didapati secara haram, ia tidak jadi masalah.

6. Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura.

7. Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering. Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore (MAS)?

8. Atau apakah tujuan sebenar ialah untuk membohong berkenaan penyimpanan wang ini di Singapura, iaitu sebenarnya tidak ada wang yang disimpan di sana, bahawa wang sebanyak lebih satu billion U.S. dollar sudah hilang.

9. Jika tidak dapat dibuktikan wang ini ada di Singapura, maka sekali lagi, pegawai dan menteri bersalah kerana membohong.

10. Berkenaan dengan Bank Negara enggan memberi maklumat berkenaan dengan laporan kepadanya oleh MAS Singapura, jika ini didapati melindungi pembohongan berkenaan wang 1MDB yang dikatakan berada di Singapura, ini juga merupa satu jenayah dibawah undang-undang jenayah negara.

11. Sesuatu yang aneh dan salah ialah keengganan jabatan-jabatan Kerajaan yang bertanggungjawab mengambil tindakan berkenaan dengan dakwaan yang telah dibuat dan laporan polis berkenaan kehilangan wang 1MDB, syarikat milik Kerajaan. Sebaliknya orang yang membuat laporan polis telah dimufliskan, rumahnya dirampas dan siasatan dibuat keatasnya kononnya dia terlibat dengan membiayai gerakan keganasan dan money laundering.

12. Ada pemberita akhbar yang ditangkap kononnya kerana bersalah di bawah Akta Hasutan dan kemudian dibebas kerana tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh mereka.

13. Saya sendiri biasa digeledah oleh jabatan hasil dalam negeri semasa memiliki klinik perubatan. Saya terpaksa bayar cukai tambahan kerana segala penjelasan saya tidak diterima. Dijelaskan kepada saya jika saya bawa kes ke mahkamah, besar kemungkinan saya didenda tiga kali ganda. Siasatan ke atas saya dibuat kerana sangkaan bahawa sebagai doctor awam saya tentu kaya dan tidak bayar cukai sepenuhnya.

"Kerajaan tak paksa siapa-siapa bayar GST" kata MP Bagan Serai


Siapalah yang pilih orang macam ni jadi Ahli Parlimen kawasan depa ni.. singkat sekali cara berikirnya.. dengan selamba saja dia boleh kata Kerajaan tidak paksa rakyat bayar GST..

Katanya ".. ini.. kita tak pernah paksa sapa-sapa bayar GST" lalu disambut dengan sorakan dari Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat..

"Inilah masaalah.. GST ini adalah cukai penggunaan dan hanya orang-orang yang membelanjakan pada barang-barang tertentu saja dikenakan GST".. tambahnya lagi..

Memang tak paksa.. tapi kalau bayar tak ikut harga yang kedai dah tetapkan tu.. pekedai nak biarkan saja ke?

Nak perhidup cukai jalan lori kena pergi PUSPAKOM kena GST.. tak bayar tak boleh re-new road tax.. tak paksa ke namanya tu?

Barang apa bendanya yang tak dikenakan GST agaknya?..


Hakikatnya.. MP ni taklah bodoh.. tapi yang bodohnya ialah tangan-tangan yang memilih dia sebagai Ahli Parlimen..

Blogger Umno ramal Tsunami Besar akan melanda BN pada PRU 14 jika Najib tidak meletak jawatan

APA KAH 3 TSUNAMI BESAR YANG AKAN MELANDA JIKA NAJIB TIDAK LETAK JAWATAN?
PRU akan datang akan dilanda 3 Tsunami besar. Jika PRU lepas Najib hampir lemas dengan Tsunami Cina tetapi PRU yang akan datang Najib akan hanyut dengan 3 Tsunami ini :
1. Tsunami GST – Mari kita turun ke bawah dan tanya secara rambang apa pendapat rakyat dengan GST?. Aci pi lawan kalau kita tanya 100 orang 105 orang akan lafaz kalimah yang pertama akan keluar dari lidah rakyat ialah barang mahal kerana GST. Mana datang yang 5 orang itu? Yang 5 orang itu ialah jiran yang mendengar soalan dari kita.
2. Tsunami 1MDB – Mari kita turun ke bawah dan tanya secara rambang kepada rakyat “apahal dengan 1MDB”. Aci pi lawan kalau 100 orang yang kita tanya 50 akan kata ada penyelewengan. Dan lagi 50 orang akan diam “no komen” sebab depa tak berapa tau putar belit perniagaan.
3. Tsunami Mak Andeh – Istilah terbaru ini dijenamakan khas kepada Najib kerana Perdana Menteri - Perdana Menteri yang lepas tidak ada gelaran ini. Gelaran ini ialah apabila peranan isteri lebih dari suami. Mak Andeh main peranan lebih dari Pak Pandir.

Mari kita turun ke bawah dan kita tanya secara rambang kepada rakyat “Najib macam mana?”. Aci pi lawan kalau kita tanya 100 orang, 100 orang akan jawab sebelum habis soalan ialah “Najib OK tapi bini dia lebih camca dari bubur”.
Tsunami Mak Andeh ini sukar ditangani Najib kerana orang UMNO tak dapat membantu waima menteri-menteri kabinet Najib.
Rumusannnya dengan 3 Tsunami besar ini jika Najib masih kekal akibatnya UMNO dan BN akan hanyut gigit jari dalam PRU kelak. 
Aci pi lawan……………..

Nik Amar jangan berpolitik seperti "gogat"



RENCANA                                                                                        

Pernyataan atau mesej Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar), bahawa Pas bersedia untuk berjuang bersendirian sesuatu kenyataan yang kurang bijak dan tidak mencerminkan pemikiran politik global atau pun politik maufakat yang kontradik dengan kehendak generasi baru kini.

Mohd Amar Nik Abdullah
Pernyataan berupa harapan itu menggambarkan Nik Amar atau Pas Kelantan ego dan berasakan selesa dengan apa yang ada di Kelantan sekarang ini. Pandangan Nik Amar itu tidak merupakan pandangan bersifat politik dan dilihat lebih bersifat individualistik.

Nik Amar dalam satu kenyataan yang dilaporkan, menyebut Presiden Pas boleh mencadangkan dalam muktamar, agar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Kenyataan Nik Amar itu bernada berharap agar Pas mengambil jalan sunyi bersendirian daripada berkolobrasi dengan DAP khasnya dalam menghadapi BN.



Jika Nik Amar tidak ada niat ke arah untuk melalui jalan sunyi bersendirian, untuk apa beliau membuat pernyataan atau bayangan itu? Tentu ia mempunyai maksud dan tujuannya. Apakah benar apa yang saya difahami Nik Amar bersama Ahmad Yaakub sudah ada menyediakan nota persepakatan dengan Umno? Justeru untuk melaksanakan itu maka Pas perlu meninggalkan rakan lama yang telah berjasa kepada politik Pas itu? Sekiranya Nik Amar mempercayai kepada janji-janji Umno, maka beliau akan kecewa.

Ingin saya sebutkan disini pandangan bekas seorang pemimpin Umno yang dihulurkan kepada Najib Razak untuk penilaian Nik Amar dan Ahmad Yaakub bahawa pemimpin Umno itu telah memberi pesanan berupa nasihat kepada Najib Razak agar jangan sesekali membawa masuk Pas ke dalam rumah Umno. Kata pemimpin itu biarlah Pas bergeliwat dan berserabut di luar sana, kerana cara itu lebih menguntungkan Umno. Nik Amar dan Ahmad Yaakub kena faham nasihat dan muslihat ini.

Memang kita memahami kalau Nik Amar berasa cuak untuk Pas terus mengekalkan hubungan dengan DAP. Mungkin sikap pemimpin DAP, terutama Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang tidak habis-habis menyerang presiden Pas di atas "kebongolan" cara berpolitik presiden Pas itu, maka menyebabkan Nik Amar berasakan wajar kalau Pas berpisah dengan DAP. Nik Amar juga mungkin terasa dengan kritikan pemimpin DAP ke atas kegagakan kerajaan Kelantan mengatasi masalah mangsa banjir.

Boleh jadi juga Nik Amar sudah terlalu "sikir" telinganya mendengar hentaman pemimpin DAP dua beranak itu. Namun kalau pun itu sebabnya, sekiranya Nik Amar mempunyai penghayatan politik lebih jauh untuk survival dan kemajuan Pas beliau tidak mengemukakan isyarat berkenaan. Rasanya Nik Amar tahu akan untung laba dalam pilihan raya kalau Pas terus kekal bersahabat dengan DAP. Dan mengenai teguran berhubung kegagalan atasi banjir sepatutnya beliau redha dengan teguran itu kerana ianya satu kenyataan yang nyata.

Jadi kenapa beliau seperti membenci DAP? Apakah beliau membuat bayangan itu kerana mencari pengaruh menjelang muktamar awal bulan depan. Beliau mengira dengan memainkan isu membencikan DAP, beliau akan dapat meraih salah satu kerusi Naib Presiden? Kita tahu Nik Amar yang telah ternafi untuk sekali lagi bertanding merebut jawatan timbalan presiden Pas kerana dilanggar oleh orang-orang Tuan Ibrahim Tuan Man, sangat memerlukan jawatan itu.  Ramai yang tidak tahu apa yang berlaku di Kelantan yang Nik Amar sudah dilanggar "todak".

Kalau benar begitu, sebenarnya Nik Amar tidak payah memainkan isu membenci DAP. Dalam konteks Kelantan sendiri beliau tidak sukar mendapat undi penuh walaupun Husam Musa juga mempertahankan jawatannya. Husam bukan penganggu kepada beliau kerana Husam bertanding atas sifat mempertahankan kedudukannya. Nik Amar sepatut lebih jilan dalam soal ini dan beliau juga perlu duduk bersama Husam demi membangun Kelantan.

Atau pun bagi perkiraan Nik Amar, PAS, khasnya PAS Kelantan tidak memerlukan DAP. Situasi di Kelantan kehadiran DAP tidak memberi apa-apa impak kepada PAS dan mengubah status quo PAS. DAP bagi PAS Kelantan dalam perkiraan Nik Amar mungkin ibarat melukut di tepi gantang sahaja.

Kalau begitulah tanggapan dan bacaan Timbalan Menteri Besar itu ia tidak suatu pandangan profesional, dan ia menggambarkan beliau tidak menerima konsep politik global. Memang peranaan dan pengaruh DAP tidak dapat mengubah keadaan di Kelantan. Ada atau tidak ada DAP, sama sahaja bagi PAS. PAS boleh menang secara bersendirian di Kelantan kandati tanpa DAP.

Tetapi Nik Amar terlupa kepada hakikat PAS diluar sana yang memerlukan kepada sokongan DAP. Kawasan-kawasan campuran di luar Kelantan, seperti di Perak, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, yang dimenangi oleh PAS dan PKR, dalam pilihan raya lalu adalah sumbangan daripada DAP atas semangat untuk menumbangkan UBN. Untuk mengekalkan kerusi berkenaan PAS masih memerlukan sokongan dan kerjasama dengan DAP. DHPP tidak cukup kuat untuk membantu PAS.

Sepatutnya Nik Amar mengarifi hal ini dan tidak menilai kepentingan DAP dalam konteks Kelantan semata-mata. Beliau harus jenguk ke luar pintu dan bukan mengintai di jedela. Sebagai orang bakal menjadi pemimpin barisan ketiga Nik Amar patut berfikir lebih jauh dan terbuka dan mengambil kira persimpangan-persimpangan politik Pas di semua tempat bukan terfokus kepada Kelantan sahaja. Nik Amar harus melepaskan pakaian dan pemikiran kedaerahannya, tetapi menjadi figure nasional.

Cara Nik Amar berpolitik itu adalah cara lama yang sempit. Cara dimana zaman arwah ayahanya berpolitik yang cuba menafikan orang-orang bukan Melayu. Nik Amar mungkin tidak memikirkan kepada perkembangan dan nasib PAS di luar Kelantan. Sikap mementing diri sendiri ini adalah sikap cara berpolitik "gogat", atau jejentik.

Gogat yang ditelur kemudian membesar di dalam kelontong nyiur tidak pernah berasa dunia lain luas dan indah melainkan kelontong nyiur itu sahaja, sehinggalah ia tumbuh sayap kemudian keluar dari kelontong nyiur. Tetapi apabila Nik Amar bersikap demikian nampaknya dia lebih dahsyat daripada gogat. Kesimpulannya Nik Amar belum ketumbuhan sayap politik.

Sikap dan semangat ditunjukkan Nik Amar itu juga tidak mencerminkan kehandalan politik yang dipraktikan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maslahat yang dianjurkan oleh Nik Aziz agar berbaik-baik dengan bukan Melayu untuk mendakwah mereka tidak diteruskan oleh Nik Amar. Ertinya di sini Nik Amar cuba memansuhkan pendekatan politik Tokguru Nik Aziz.

Kalau inilah pandangan dan apa yang dikehendaki Nik Amar ertinya PAS akan tetap kekal di atas landasannya sebagai gerakan dakwah semata-mata. PAS tidak dapat menguasai banyak kerusi kalau sikap negatif Nik Amar itu dijadikan amalan. Sikap ini juga menunjukkan Nik Amar menolak realiti politik di Malaysia ini. Mungkin dengan mengambil sikap politik "betap" beginilah maka beliau mula melaungkan slogan retorik PAS, yang mana PAS tidak mengharap kepada kemenangan kerusi semata-mata tetapi lebih kepada keredhaan Allah.

Nik Amar dan mereka sewaktu dengannya masih belum dapat menghuraikan antara kemenangan dengan keredhaan. Dalam kata lain, beliau masih tidak dapat memisahkan antara asap dengan api, asap yang memedihkan mata tetapi api yang membakar kulit. Bahawa dalam kerigidan hukum itu adalah kelonggran khilifiahnya.

Kalau demikian pegangan Nik Amar dan disetujui PAS, rasanya elok kalau Nik Amar memberi bayangan kepada presiden PAS agar mencadangkan dalam muktamar kelak PAS keluar dari mengambil bahagian dalam pilihan raya. PAS tidak menyertai pilihan raya dan berstatus sebagai gerakan haraki. PAS boleh jadi seperti jemaah tabligh , atau Hizbul Tahrir, atau pun arwah Arqam. Jemaah-jemaah berkenaan tidak menyibuk diri dalam pilihan raya tetapi mereka juga turut memberi sumbangan kepada pembangunan Islam khasnya dari sudut kerohanian dan pengamalan sunnah.

Cadangan sebegitu lebih tepat dan sesuai dengan apa yang Nik Amar kehendakkan itu. Tiada guna kalau PAS menyertai pilihan raya tetapi tidak mahu berkolobrasi dengan orang lain kerana penyertaan secara bersendirian itu tetap tidak akan membawa kejayaan. Adalah dibimbangi kalau Nik Amar berjaya menduduki salah satu kerusi naib presiden dia tidak menukar falsafah politiknya itu ia akan meletakkan PAS surut ke bekalang hidup dalam buana kegogatan.

Menteri kena tanggungjawab jawapan di Parlimen


Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
SHAH ALAM – Perdana menteri atau menteri perlu bertanggungjawab dengan segala isi kandungan jawapan yang dikeluarkan di Parlimen meskipun ia disediakan oleh pegawai-pegawainya.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun prosiding dalam Parlimen kebal dari undang-undang namun jika jawapan yang dikemukakan tidak benar, namun menteri masih perlu bertanggungjawab.
 
Malah katanya, pegawai yang berkaitan juga boleh didakwa atas tuduhan membohong dan boleh dituduh bersama menteri berkenaan.
 
 “Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan. Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran.
 
“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama. Menteri lebih bertanggungjawab kerana dikehendaki menyemak dan menentukan jawapan yang dibuat atas namanya adalah benar,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini.
 
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pindaan kepada jawapan kerajaan pada Mac lepas di Parlimen bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion, telah ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.
 
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa kemungkinan 1MDB terlibat dengan penggubahan wang haram.
 
“Perdana Menteri telah jelaskan bahawa wang sebanyak USD 1 bilion tidak dibawa balik ke Malaysia kerana Bank Negara akan mengganggu urusan keluar masuk wang yang lebih dari 50 juta. Setahu saya bank-bank telah diarah menyoal urusan yang lebih dari RM50,000. Jika urusan tidak ada kaitan dengan ‘money laundering’, iaitu yang didapati secara haram, ia tidak jadi masalah.
 
“Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan ‘money laundering’, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura? Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah ‘money laundering’. Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore?
 
“Atau apakah tujuan sebenar untuk berbohong berkenaan penyimpanan wang ini di Singapura, iaitu sebenarnya tidak ada wang yang disimpan di sana, bahawa wang sebanyak lebih USD 1 bilion sudah hilang? Jika tidak dapat dibuktikan wang ini ada di Singapura, maka sekali lagi, pegawai dan menteri bersalah kerana berbohong,” katanya.
 
Menurutnya lagi, Bank Negara Malaysia (BNM) juga bersalah berdasarkan undang-undang negara jika didapati melindungi pembohongan berkaitan wang 1MDB tersebut.
 
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan apabila berlaku pilih kasih dalam siasatan sebarang jenayah di negara ini.
 
“Pegawai-pegawai kerajaan yang hidup lebih mewah daripada pendapatan mereka biasanya disiasat oleh jabatan hasil dalam negeri. Tetapi apabila Menteri atau orang awam tertentu diketahui hidup terlalu mewah, siasatan tidak dibuat. Sebaliknya orang yang membuat laporan polis berkenaan perkara tertentu disiasat.
 
“Amatlah menyedihkan apabila ternampak ada pilih kasih dalam siasatan jenayah. Hari ini, Malaysia sudah disenaraikan sebagai antara 10 negara yang rasuah berleluasa. Rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang yang sama. Janganlah hendaknya ada pilih kasih dan diskriminasi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

SAHAM FGVH TINGGAL RM1.94



 Mazlan Aliman
Hari ini saham FGVH tinggal RM1.94 sen, paras terburuk sejak dilancarkan pada 28 jun 2012. Penganalisis ekonomi meramalkan bahawa FGV bakal dinyahkan sebagai 'contituent ' di dalam pengiraan Indeks Komposit Kuala Lumpur jun ini, bermakna saham FGV tidak lagi di ambil kira dalam mengira indeks tersebut. Ini tidak memeranjatkan kerana harga saham FGV yang terus merudum dan berada dalam keadaan tertekan, juga bilangan saham FGV yang di jual beli di dalam pasaran, relatif kecil. Maka hilanglah kegemilangan FGV seperti yang di war warkan.
 Peneroka Felda yang diperdaya untuk meminjam bagi tujuan membeli saham FGV dengan nilai 800 unit/RM 3,560 pada harga di terbitkan RM4.45 sesaham, telah menanggung kerugian. Setiap bulan membayar hutang RM50. Dahulunya, boleh cagarkan tanah ke bank untuk pinjaman; sudah tidak mendapat kelulusan lagi dari mana mana institusi kewangan.
Felda(20%),Felda Asset Holding Company Sdn Bhd(18.7), Lembaga Tabung Haji(7.8%),Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(8.1%),Kumpulan Wang Amanah Pencen(6.9%) Kerajaan Negeri Pahang(5%) selaku pemegang utama yang mewakili 66.5 % dari saham FGV, telah mengalami kerugian yang besar.
 Lebih malang, Koperasi Permodalan Felda(KPF), yang memiliki kepentingan 51% saham dalam Felda Holding, telah menjual kepentingan tersebut kepada FGV dengan nilaian RM2.2 bilion. Sekitar RM850 juta di guna pula 'secara paksa' membeli saham FGV. Nasib KPF ibarat ' sudah jatuh ditimpa tangga'. Ia memberi kesan besar terhadap keuntungan KPF yang selama ini menyumbang terhadap dividen memberangsangkan. Saya akan dedahkan dalam kenyataan berasingan nasib KPF menjelang AGM pada 14 jun ini, bilamana dividen setinggi 15% selama 15 tahun yang diterima oleh pencarum khususnya peneroka(pencarum terbesar), bukan sahaja tidak dinikmati; untuk memberi dividen sekitar 10% pun belum tentu lagi!

Justeru, Ngo ANAK dalam memo kepada Bursa Malaysia, menyeru agar:-

1. Siasatan terperinci dilakukan keatas FGV bagi mempastikan FGV tidak mengkesampingkan mana mana peraturan dan undang undang pasaran saham dalam proses penyenaraian dan dalam urusniaganya. Janji janji manis atau dorongan tidak wajar hingga pelabur keliru mengenai keuntungan lumayan rupanya jauh dari realiti.
2. Membuat siasatan terperinci keatas FGV jika ada perbuatan manipulasi dan kolusi di dalam menentukan harga pembelian 51% kepentingan KPF dalam Felda Holding. Jika ada pelanggaran peraturan dan undang undang pasaran saham, manipulasi, pengkhianatan dan penipuan; tindakan sewajarnya mesti diambil kepada pihak terbabit.
3. Membuat siasatan kenapa badan badan dana awam seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP dan lain lain memonopi saham FGV, sedangkan pelaburan dalam FGV berisiko tinggi?
Saya ingin mempertegaskan sekali, Pengerusi Felda yang juga Pengerusi FGV, Tan Sri Samad, wajib meletakkan jawatan serta merta dan di siasat oleh SPRM atas berbagai tuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa selama menerajui Felda. Bukan itu sahaja, CEO FGV, Dr Emir Avani dan Lembaga Pengarah FGV juga meletakkan jawatan sebagai pertanggungjawaban atas situasi kritikal yang melanda FGV. Ia langkah awal memulihkan keyakinan pelabur dan masyarakat Felda. Alasan2 yang dikemukakan mengenai kejatuhan saham FGV dan keuntungan mengecil yang diperolehi adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana ianya telah di peringatkan berkali kali sebelum penyenaraian lagi. Pengurusan yang tidak cekap, tiada pengalaman, boros dan pelaburan yang semberono oleh FGV telah diketahui umum. Ego dan sombong dari menerima pandangan berbagai pihak telah menjerumuskan FGV ke kancah yang buruk. Ianya telah di ramalkan Ngo ANAK; kini menjadi kenyataan!
Marilah sama sama kita bermunajat kepada Allah; antaranya melakukan Solat Hajat, memohon Selamatkan FGV dan tentu sekali nasib 1.5 juta warga Felda. Ngo ANAK akan terus berperanan mengambil langkah susulan demi menyelamatkan Felda; institusi bumiputera yang cukup berjasa ini. Moga usaha kita di permudahkan Allah.
' MENERAJUI PERUBAHAN'

Mazlan Aliman
Presiden,
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)
27 mei 2015.

Saham Felda Jatuh Ke Paras RM1.92, Bakal Dikeluarkan Dari Senarai Bursa Malaysia




Kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) yang kini hanya tinggal RM2.02 sesaham pada 25 Mei 2015 (RM1.92 pada hari semalam 27 Mei 2015 5.01 ptg -GB) menyebabkan enam pemegang saham utamanya mengalami kerugian hampir RM5.4 bilion.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr. Rosli Yaakop berkata, keenam-enam pemegang utama saham FGV memegang saham lima hingga lapan peratus yang disifatkan satu jumlah yang agak besar.

Enam pemegang tersebut adalah Lembaga Tabung Haji, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan, Felda Badan Berkanun, Felda Asset Holding Company SB dan Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut Rosli, keenam-enam pemegang saham terbabit membeli saham pada 25 April 2013 pada harga RM4.55 berjumlah RM9.6 bilion dan nilai saham ini pada 25 Mei lalu telah merundum kepada RM4.3 bilion.

Felda Badan Berkanun mengalami kerugian sebanyak RM1.84 bilion, Felda Aseet Holding Company SB rugi sebanyak RM1.26 bilion, Lembaga TH rugi RM717.7 juta, KWSP pula rugi RM527.7 juta, Kumpulan Wang Persaraan rugi sebanyak RM546.2 juta dan Kerajaan Negeri Pahang menanggung rugi RM461.5 juta.

"Keenam-enam pemegang ini memegang kira-kira 2/3 daripada jumlah saham FGV yang diurus niaga di Bursa Saham Malaysia. Keadaan ini umpama pemilikan yang tidak sihat bagi mana-mana pasaran saham apabila saham merundum pemegang akan kerugian. Hanya dalam masa dua tahun kerugian yang begitu besar," katanya kepada Harakahdaily.

Berdasarkan semakan saham FGV pada jam 11 pagi hari ini harga saham itu terus turun kepada RM1.92 sesaham.

Yang menjadi kebimbangan, katanya, prospek harga saham FGV akan kekal rendah dalam tempoh dua hingga enam tahun dan jauh sekali untuk mencapai nilai saham RM4 hingga RM5 sesaham.

Ini kerana katanya, beberapa faktor penting akan menekan harga saham FGV iaitu harga minyak sawit rendah, kos pengurusan FGV agak tinggi, dan hasil buah sawit yang terhad kerana 50% pokok sudah tua.

"Dalam jangka masa pendek ini enam badan dan dana awam terbabit akan terus tanggung kerugian yang besar.

"Kenapa badan ini melabur begitu banyak dalam FGV sedangkan FGV sebuah syarikat perladangan khasnya kelapa sawit. Risiko barang-barang sektor pertanian ini sangat tinggi. Kita hairan mengapa syarikat ini sudah tahu risiko tinggi tetapi terus melabur dalam FGV," soal beliau.

Justeru, katanya, Anak menuntut pengurusan badan-badan dana awam ini memberi penjelasan mengenai perkara ini sama ada kepada pendeposit Tabung Haji dan pencarum KWSP.

"Ini adalah perkara yang kita perlu beri perhatian, sepatutnya pemegang saham ini melabur dalam pelaburan yang selamat dan menguntungkan bukannya berisiko tinggi. Akhirnya rakyat yang menampung kerugian ini," katanya.



ULASAN GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Seperti yang GB pernah utarakan sebelum ini, perkataan-perkataan jelek dan hina itu akan kembali kepada penuturnya. Masihkah ingatkan kita tentang perkataan HARAMJADAH yang dituturkan oleh seorang PM bernama Mohd Najib kepada peneroka FELDA yang membantah penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV)? Apa jadi akhirnya? Najib ditimpa HARAMJADAH sampai ke hari ini dan sebuah akhbar melaporkan FGV bermungkinan terpaksa dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia kerana mengalami kerugian yang berterusan...

Wednesday, May 27, 2015

WAJARKAH NAJIB DEDAHKAN SOKONGAN ISTANA KEPADANYA

MB DAN PEMIMPIN UMNO AKAN IKUTI LANGKAH INI 


Saya tidak faham mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib berasa perlu untuk mendedahkan sokongan Sultan Pahang ketika  beliau telah pun mendapat sokongan ribuan rakyat  di mana-mana  juga dalam menghadapi cabaran hanya dari seorang sahaja supaya meletak jawatan.

Beliau sendiri telah mengistiharkan  di mana-mana beliau pergi ribuan rakyat menunjukan sokongan kepadanya, Di Tawau lebih 40,000, di Johor lebih 15,000, di Gopeng lebih 25,000, di Kuantan 12,000 dan perhimpunan rakyat yang  lebih besar sedang menunggunya di mana-mana .

Jika beliau telah yakin dengan sokongan rakyat yang kuat dan hebat  maka kenaapakah beliau perlu mendapatkan sokongan dari Istana? Apakah sokongan dari Istana walaupun dari hanya seorang Sultan lebih besar dari sokongan ribuan rakyat?.

Rakyat memberikan penghormatan tertinggi kepada Sultan dan  Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan tetapi apabila Raja di bawa ke dalam kencah pertarungan politik antara rakyat maka dibimbangi akan menjejaskan penghormatan terhadap raja. Jika menang baiklah tetapi jika kalah orang yang di sokongnya bagaimana?

Najib telah dilihat oleh rakyat melakukan kesilapan dalam menghapuskan ISA dan rakyat bangkit  menyekatnya dari menghapuskan Akta Hasutan dan dalam hal dakwaan Sultan menyokongnya , Najib terlihat sebagai mahu melanggar pindaan perlembagaan yang jelas membataskan kuasa raja-raja sebagai Raja Perlembagaan untuk memurni dan  memuliakan kedudukan mereka.

Jika Sulan dilibatkan dengan percaturan poltik kepartian, maka apakah  pemimpin -pemimpin UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak melihat ini sebagai suatu permainan politik yang tidak sihat yang akan menjejaskan kuasa demokrasi di tangan rakyat dan mahu membina feudalisme  dalam UMNO.

UMNO  ditubuhkan diatas atas perjuangan rakyat dan untuk rakyat!

Dengan Perdana Menteri sendiri membawa sokongan Istana ke dalam politik,maka bagaimanakah pula jika Menteri-Menteri Besar atau pemimpin-pemimpin UMNO  yang hampir dengan Sultan-Sultan  di setiap negeri mendakwa Sultan atau Raja masing-masing  menyokong mereka dalam pertandingan merebut kedudukan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Dengan pendedahan Najib  bahawa Sultan Pahang menyokongnya  maka yakinlah rakyat ada  kebenaran dalam bisik-bisik selama ini  mengatakan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendapat sokongan Istana dalam persaingannya dengan Mukhriz Tun Mahathir  untuk merebut jawatan Naib Presiden  UMNO yang lalu.

Saya tidak disokong atau mendakwa sokongan Tun   Dr.Mahathir dalam memberikan padangan ini dan rakyat hendaklah melihatnya sebagai pandangan tulus ikhlas  dari seorang wartawan,dari rakyat biasa, dari seorang ahli UMNO   yang ingin melihat UMNO kekal diatas kekuatan  rakyat yang bebas dan demokratik  tanpa campur  tangan luar dalam menentukan hak dan masa depan rakyat.

Elok PAC juga soal Najib


SEBUKA MATA                                                                               

Cadangan Rafizi Ramli supaya Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) memanggil sama Najib Razak dalam siasatan terhadap 1MDB berhubung isu yang berbangkit dalam syarikat pelaburan strategik itu merupakan satu cadangan terbaik dan tepat. Najib tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, kerana selaku pengerusi kepada syarikat itu beliau mesti tahu apa yang berlaku di dalamnya.

Apa lagi Najib adalah perdana menteri, apa-apa yang berlaku dalam negara ini terutama berkaitan negara mesti dalam pengetahuannya. Tidak ada satu pun yang terlepas dari pengetahuannya. Apa lagi mengikut Rafizi perjalanan syarikat 1MDB itu sama dengan perjalanan atau peraturan syarikat "culikannya" Lembaga Pelabuhan Terengganu (TIA).

Menurut memorandum dan tatacara syarikat TIA, semua keputusan dan kegiatan syarikat itu mestilah dibawah penegathaun perdana menteri. Ertinya apa-apa yang hendak dilakukan mesti mendapat persetujuan perdana menteri. 1MDB adalah penamaan semula daripada syarikat TIA. 

PAC harus lebih telus dan terbuka serta berani dalam hal ini untuk memanggil sama Najib. Mungkin Najib boleh memberi penjelasan sejauh mana beliau tahu mengenai perjalanan syarikat berkenaan. Mungkin juga beliau hanya mendapat laporan dan maklumat daripada lembaga pengarahanya tanpa mendalami kesan dan akibatnya. Ada kemungkinan Najib tertipu atau ditipu dalam hal ini.  

Kepercayaan Najib kepada mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan 1MDB tanpa ada semakan sesuatu yang merbahaya. Kita juga tahu sejauh mana kebolehan dan arifnya Najib dalam soal perniagaan ini. Tidak ada rekod menunjukkan Najib cemerlang dalam perniagaan dan pengurusan keeangan. Latar belakang ini memberi ruang besar untuk orang pertikaikan sejauh mana kemampuan Najib memantau syarikat dibawahnya itu. 

Sebaik-baiknya Najib tidak perlu sampai dihantar surat oleh PAC memintanya hadir, tetapi sebaiknya dia hadir secara terhormat untuk memberi apa-apa penjelsan berhubung isu dalam 1MDB untuk menyelamatkan dirinya serta menangkis tuduhan buruk ke atasnya terutama yang dilemparkan oleh Dr Mahathir Mohamad. 

Tanpa Najib dipanggil dan Najib memberi penjelasan mengenai apa-apa tentang 1MDB itu, Najib tetap berada dalam keadaan misteri dan beliau tetap dituduh terlibat dan bertanggungjasab tehadap apa yang berlaku. 

PAC pula diulang sekali lagi tidak perlu "malu alah" dengan Najib. Dan pengerusinya walaupun dilantik dengan persetujuan Najib beliau harus meletakkan kepentingn awam mengatasi kepentingan lain. Jawatan PAC itu adalah demi orang ramai bukannya memelihara sesiapa.

Berita Ini Pasti Tidak Di Gembar Gemburkan Di Media Arus Perdana

Berita Ini Pasti Tidak Di Gembar Gemburkan Di Media Arus Perdana. Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (Maseu), kesatuan pekerja terbesar dan lantang memperjuangkan hak kakitangan syarikat penerbangan tersebut, tidak lagi wujud apabila Malaysia Airlines (MAS) selesai dengan penstrukturan semulanya.
Maseu yang mewakili 13,500 pekerja MAS, dijangka dibubarkan kerana pengurusan baru itu membayangkan ia tiada tempat dalam syarikat baru itu nanti, yang akan mula beroperasi pada 1 September.
Kesatuan itu menerima perkara itu buat masa ini dan sedang melihat kepada usaha menukarkan entiti itu sebagai sebuah koperasi.
Setiausaha Eksekutif Maseu, Mohd Jabarullah Abd Kadir, mengesahkan langkah tersebut dan memberitahu The Malaysian Insider, dua mesyuarat luar biasa dipanggil setakat ini bagi membincangkan pembubaran kesatuan tersebut.
"Kita ambil keputusan dalam perjumpaan itu, pertama kita akan bubar. Kedua, kita akan tukar menjadi koperasi," katanya.
Katanya, walaupun dua mesyuarat luar biasa itu diadakan, terakhir pada 18 Mei, mereka masih perlu memanggil satu lagi mesyuarat bagi menjalankan proses pengundian di kalangan ahli kesatuan.
"Kita akan buat undi sulit dalam masa terdekat. Selepas undi sulit, baru kita tahu apa keputusannya, untuk lihat mana satu kehendak ahli," katanya.
Berita Ini Pasti Tidak Di Gembar Gemburkan Di Media Arus Perdana
Menurut Jabarullah, langkah tersebut diambil memandangkan pengurusan baru MAS yang dibentuk dalam pelan penstrukturan Khazanah Nasional Berhad enggan mengiktiraf mereka sebagai sebuah kesatuan.
"Kita ambil langkah ini kerana pengurusan yang baru tidak mahu iktiraf kita untuk sambung sebagai kesatuan," katanya.
Dibebani dengan hutang dan dua tragedi malang melibatkan MH370 dan MH17, kerajaan melalui cabang pelaburannya Khazanah, dalam usaha terakhir merombak MAS yang makin tenat itu.
Menurut laporan, 20,000 pekerja MAS akan ditamatkan perkhidmatan tetapi dua pertiga daripada mereka akan diambil semula bekerja dengan syarikat baru, MAS Bhd, yang akan mula beroperasi pada 1 September.
Difahamkan yang syarikat baru itu mahu membentuk satu kesatuan yang terdiri daripada orang mereka sendiri, yang rapat dengan pihak pengurusan.
Jabarullah berkata keengganan pengurusan baru mengiktiraf Maseu sebagai kesatuan berpunca daripada akta MAS baharu yang bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955.
MAS dilaporkan mempunyai 20,000 tenaga kerja sedia ada, di mana kira-kira 6,000 hingga 8,000 dijangka diberhentikan Khazanah sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula RM6 bilion.
Terdapat sekurang-kurangnya 9 kesatuan dan persatuan pekerja di MAS.
Selain Maseu, terdapat juga Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang mewakili kira-kira 1,500 anak kapal kabin, Kesatuan Pekerja MAS Semenanjung Malaysia dan Persatuan Juruterbang MAS.
Jabarullah berkata, kakitangan mungkin akan menerima dua surat – pertama bertujuan menamatkan perkhidmatan mereka dengan MAS, dan kedua tawaran sama ada menyertai MAS Bhd atau melaporkan diri ke Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang ditubuhkan untuk melatih semula pekerja dipecat.
Dalam pada itu, seorang jurutera MAS yang hanya mahu dikenali sebagai Syukri memberitahu The Malaysian Insider, dengan pembubaran Maseu, beliau dan rakannya bimbang mengenai kebajikan pekerja selepas ini.
"Kesatuan tidak boleh buat apa sekarang, mereka pun sudah nak dibubarkan. Bila syarikat nak tutup, secara automatik kesatuan pun habis.
"Syarikat baru ini mungkin tidak akan ada (kesatuan), mungkin mereka tidak benarkan bentuk kesatuan," katanya.
Mengulas situasi terbaru tersebut, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Kishnam menyifatkan Maseu tidak wajar mengambil langkah sedemikian.
"Ia langkah tidak wajar. Mengapa mahu dibubarkan dan tidak terus memperjuangkan hak mereka?" katanya kepada The Malaysian Insider.
Gopal mempertikaikan hak pengurusan MAS membentuk sebuah kesatuan baru, menyifatkan ia tidak masuk akal kerana pekerja berhak sepenuhnya membentuk kesatuan dan bukan majikan.
Bagi Jabarullah, langkah pengurusan baru MAS itu seolah-olah mereka tidak ingin lagi mengambi kira pandangan pekerja, sebaliknya mahu mengawal sepenuhnya pekerja dan ini akan mengundang persoalan sama ada hak kakitangan MAS akan terbela atau sebaliknya. "Mereka seolah-olah mahu mengawal sepenuhnya," kata Jabarullah.
Khazanah pada 29 Ogos tahun lepas mengumumkan 12 Pelan Pemulihan MAS (MRP) untuk tempoh lima tahun mendatang, pelan pemulihan itu termasuklah pengecilan skala tenaga kerja.

DAP: Najib perlu perjelas sudah 'kantoi' atau tak



MALAYSIAKINI
Parlimen digesa gantung perbahasan berkaitan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) segera dan memberi laluan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan peranannya dalam kontroversi berkaitan 1MDB.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan laporan bahawa kelulusan perdana menteri diperlukan untuk sebarang komitmen kewangan pelopor 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), dan sama ada peraturan itu masih terpakai.

Lim berkata jika perkara itu benar Najib ternyata berpura-pura di Parlimen dan kepada orang awam dengan berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap operasi harian 1MDB dan hanya mempengerusikan lembaga penasihat syarikat itu.

“Ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara apabila perdana menteri 'kantoi' berpura-pura besar,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini Lim berkata perkara itu seperti undi tidak percaya di Parlimen sama ada beliau patut kekal sebagai perdana menteri.

Persoalan berhubung bidang kuasa Najib timbul selepasMalaysiakini melaporkan bahawa Memorandum dan Tata Urusan Syarikat (M&A) bertarikh 2 September 2009, menyebut kelulusan bertulis perdana menteri diperlukan untuk sebarang komitmen kewangan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ini termasuk urusan pelaburan, penstrukturan semula atau sebarang keputusan berkaitan dasar kerajaan pusat.

Jika itu keadaannya, bermakna banyak perjanjian kontroversi 1MDB yang kini diperkatakan ramai mungkin dijalankan dengan keizinan perdana menteri.

Apa yang jelas, Najib berkuasa penuh ke atas agensi berkenaan ketika ia masih dikenali sebagai TIA.

Peruntukan 117 dalam memorandum itu juga menyatakan, kelulusan bertulis perdana menteri diperlukan untuk meminda sebarang butiran dalam M&A serta pelantikan pengarah syarikat dan ahli pengurusan kanan.

Perkasakan Pakatan, kata Ahmad Awang


MALAYSIAKINI
Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang berkata, beliau akan memperkukuhkan parti serta menyatupadukan ahlinya yang mempunyai pelbagai latar belakang sekiranya menang jawatan tersebut.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, bekas naib presiden PAS itu berkata, perkara itu perlu dilakukan memandang ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan seorang presiden parti bagi memastikan semua ahli bersatu.

"Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan.

"Itu tugas dan kewajipan presiden," katanya yang turut berharap supaya tiada perpecahan ahli PAS selepas muktamar pada awal Jun depan.

Ahmad berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Hadi dalam pemilihan PAS kali ke-61 di Kuala Selangor.

Hadi pertama kali dicabar sepanjang 13 tahun kepimpinannya.

Ini dipercayai susulan kenyataan dan tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Berikut sedutan temubual Ahmad bersama Malaysiakini.

Selepas tahun 1956 - selepas 13 tahun, kenapa baru sekarang ustaz bertanding jawatan presiden parti. Selama ini jawatan itu menang tanpa bertanding. Apa yang menyebabkan ustaz memutuskan untuk bertanding jawatan itu?

Bila kata mencabar, saya tak ambil pengertian "mencabar" presiden. Cuma saya menganggap saya ambil tanggungjawab memenuhi tuntutan atau permintaan daripada sebahagian ahli parti yang mencalonkan saya untuk jawatan tersebut. Dan dalam PAS, memang kita parti yang amalkan sistem demokrasi dan dalam perlembagaan, kita diberi hak kepada setiap ahli untuk dicalonkan apa jua jawatan dalam parti. Dari jawatan presiden sampailah ke peringkat ahli jawatankuasa.

Soal sebelum ini tak ada mana-mana pihak yang dicalonkan untuk mengisi jawatan itu, itu bergantung pada keadaan parti setiap masa. Mungkin disebabkan parti sekarang melihat jawatan presiden perlu ada calon lain. Calon presiden sekarang adalah golongan yang dilihat sebagai golongan agamawan atau ulama dan (calon) yang lain saya lihat tak ada persediaan (untuk bertanding), jadi saya menyahut dan hormati kehendak sebahagian mereka (ahli).

Jadi kecenderungan ramai mahu saya dicalonkan. Dan apabila saya fikir dan timbang serta hormati kehendak ahli, berdasarkan perlembagaan parti dan dari segi hukum agama pun tak jadi kesalahan jika seseorang bersedia untuk dicalonkan bagi parti gerakan Islam.

Ini bukan perlawanan nak tentang satu sama lain tapi ini satu pertandingan dan persaingan yang sihat dan sebagai persaingan idea, pemikiran untuk dilihat oleh perwakilan. Mereka boleh memilih bagi menentukan sama ada sesuai atau tidak menerajui PAS sekarang yang dilhat sebagai pertubuhan bukan hanya sebuah parti seperti zaman 30-an dulu yang macam kampungan. Kerana dalam PAS sekarang ada pelbagai ahli dari latar belakang berbeza. Jadi saya sahut cabaran untuk bersetuju menerima pencalonan ini setelah berfikir amat dalam.

Ustaz dianggap memecah tradisi parti?

Saya menghormati beliau (Hadi) dan kalau jumpa pun saya panggil dengan panggilan mesra iaitu 'ayah chik'. Itu menunjukkan kemesraan kami. Walaupun lima tahun sejak kebelakangan ini jarang bersama. Dan saya rasa tak timbul (pecah tradisi), saya tetap hormati dia sebagai rakan, sahabat dan juga salah seorang naib presiden Persatuan Ulama Sedunia. Saya pula ada menubuhkan cawangan Persatuan Ulama Sedunia dan dengan sendiri dalam konteks hubungan Persatuan Ulama Sedunia pun kami bersama.

Dulu walau ada konflik dalaman parti, jawatan presiden tetap tidak dicabar. Adakah masalah yang melanda PAS sekarang begitu kronik sehingga ahli meminta ustaz bertanding?

Amalan demokrasi itu satu perkara. Macam kita lihat tadi, barangkali PAS dalam suasana politik hari ini berada dalam politik negara dan parti nasional kerana duduk di dalam Pakatan Rakyat dan ia merupakan saingan kepada BN. Jadi perkara mutakhir ini mungkin dirasakan sebahagian ahli untuk melihat persaingan di kalangan pimpinan dalam konteks kepimpinan iaitu pelaksanaan tanggungjawab dalam parti supaya lebih komprehensif yang menunjukkan kepada amalan kebijaksanaan dalam kepimpinan. Mungkin mereka kini nak lihat sesuatu yang lebih baik. Bukan bermakna sekarang tak baik.

PAS kini dilihat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ahli PAS yang pro-ulama dan profesional. Ustaz yang mana satu?

Pada saya PAS hanya satu kelompok kumpulan sahaja iaitu ahli Parti Islam Se-Malaysia. Saya akui ahli mempunyai pelbagai latar belakang. Ada yang profesional, berpendidikan dan pelbagai arah pemikiran. Tapi kita melihat kepelbagaian pemikiran, pandangan, sudut pandang berbeza dalam parti itu sebagai satu perkara yang baik. Dan apabila diurus, dengan kepelbagaian itu capai objektif yang komprehensif dan keputusan bersama dapat diperolehi.

Berbeza pendapat, pandangan ini kepelbagaian yang cantik tapi perlu diolah dan diselaraskan sehingga lahir satu kesepakatan. Dalam Islam, ia mengaturkan prinsip dalam jamaah berdasarkan kepada permesyuaratan.

Jadi ustaz tak meletakkan diri ustaz di mana-mana pihak?

Saya kira yang memberi gelaran pro-ulama dan sebagainya ini, pada saya ia masalah yang mesti kita perbetulkan dan selaraskan. Dan dalam PAS pun ada perlembagaan parti dan menjadi tugas pemimpin untuk menyatupadukan ahli dengan segala usaha dan ikhtiar dan menjadikan parti yang didukung ini, ahlinya bersatu dengan pendapat yang berbeza. Dan akhirnya, pemikiran yang terbaik itu akan dipilih untuk dijadikan keputusan bersama.

Berdasarkan pemilihan kawasan, Hadi dilihat mempunyai peluang dan kelebihan yang lebih besar. Mungkin ustaz ada strategi ustaz untuk berkempen memenangi jawatan ini?

Soal berkempen tak timbul. Tetapi bila ahli calonkan saya, saya setuju dan oleh itu saya kena berusaha. Mereka yang calonkan saya juga kena usaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Dalam pertandingan ada menang dan kalah. Kalau masuk untuk main-main dan tak nak menang, saya pun tak menerima pencalonan ini. Tapi saya melihat, kita berusaha dan ikhtiar dan ahli perlu beri dukungan. Dengan ikhtiar ini, insya-Allah boleh capai kemenangan.Semua itu kita serahkan pada perwakilan. Ini usaha kita. Ia bukan tak boleh dicapai. Kita percaya dengan keyakinan itu, kita serahkan dan dalam berusaha, kita juga perlu beri maklumat yang diharapkan sampai kepada perwakilan.

Adakah ustaz meletakkan peratusan keyakinan untuk menang pada pemilihan kali ini?

Soal yang penting ialah usaha dan ikhtiar dan ia meyakinkan saya boleh capai kemenangan. Serah pada perwakilan. Benda ini bukan perkara yang tak boleh dicapai dan dari situ datang peratusannya.

Apa ustaz harapkan apabila menjadi presiden? Dan apakah perkara pertama ustaz akan lakukan sekiranya menang jawatan ini?

Pertama sekali ialah perkukuhkan dan perbaiki parti serta menyatupadukan sebahagian aliran-aliran yang telah membawa kepada seolah-olah tak boleh ada kebersamaan. Saya balik pada teras asal. PAS yang ada ini sudah baik dah, tetapi baiki berasaskan prinsip dan perlembagaan PAS. Itu tugas dan kewajipan presiden. Dan perkasakan Pakatan Rakyat. Tetapi sebelum ke sana, saya nak perkasakan jamaah dulu. Bagaimana cara nak laksanakannya, bagi saya menang dulu.

Saya tak mahu melihat yang kalah (dalam pemilihan) nanti diasingkan. Dan saya selalu mengetengahkan bahawa yang kalah jangan tubuh parti atau kumpulan lain. Saya percaya semua ahli PAS sayang parti seperti saya. Saya tak mahu terus ada perpecahan dalam PAS selepas muktamar. Usaha ini boleh dilaksanakan. Tambahan pula Majlis Syura ini terdiri daripada ulama dan mereka beri nasihat untuk membimbing agar jangan berlaku perselisihan faham pada jamaah.

Jika ustaz kalah, adakah tetap akan meneruskan visi ini?

Insya-Allah. Saya bersama sahabat saya pun, tujuan kita dalam kedudukan PAS adalah untuk terus maju ke hadapan bersama Pakatan dan slogan "PAS For All" kita nak terus terbina. (PAS) bukan hanya untuk Melayu dan ahli PAS sahaja.

Dalam erti kata lain, adakah presiden sekarang gagal untuk menyatupadukan dan kukuhkan parti?

Yang itu saya punya visi. Yang orang itu, dia punya visi dia. Kena tanya dia.