Azmin Ingkar Parti Lobi Jawatan MB: Lima Adun tarik balik sokongan ke atas Dr Wan Azizah
PETALING JAYA: Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor nampaknya tidak menamatkan kemelut dalam Pakatan Rakyat apabila kepemimpinannya digesa mengambil tindakan disiplin terhadap pihak yang ingkar keputusan parti berhubung isu berkenaan.
Azmin juga dinamakan antara yang perlu dikenakan tindakan kerana didakwa melobi untuk mendapat jawatan itu.
Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin berkata, selain itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yang menyokong Azmin juga wajar dikenakan tindakan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa tiga Adun PKR dan dua mewakili DAP itu telah menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar selepas membuat surat akuan berkanun berbeza untuk taat kepada siapa sahaja yang dipilih oleh istana.
"Masing-masing menarik balik sokongan ke atas Dr Wan Azizah dan kononnya taat setia dengan pilihan Sultan Selangor.
"Muncul persoalan, siapa yang menyediakan surat akuan berkanun yang dilihat seragam format dan ayatnya," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Chegubard berkata, beliau mempunyai bukti surat akuan berkanun tersebut, tetapi tidak bersedia mengedarkannya atau mendedahkan nama Adun yang dimaksudkan kerana mahu menuntut penjelasan daripada mereka.
"Saya akan dedah mengikut respon mereka. Setakat ini tak ada sebarang penafian, tapi kalau mereka nafi, mungkin mereka kata ini (bukti) palsu...saya hanya mahu penjelasan," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau bersedia memberikan semua bukti yang ada berhubung dakwaan ini jika Lembaga Disiplin parti memberi jaminan akan mengambil tindakan serius terhadap mereka.
"Lobi diri sendiri dan sengaja tidak akur keputusan mesyuarat untuk hanya memilih Dr Wan Azizah ialah perlanggaran disiplin parti.
"Persoalannya apa tindakan disiplin parti? Adakah Azmin begitu berkuasa kerana bukan sahaja dia dengan jelas dan sengaja tidak akur keputusan parti tetapi mampu membuat u-turn dan mengikut kehendaknya," katanya.
Beliau turut membandingkan dakwaan terhadap Azmin ini dengan nasib Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat kerana tidak berdisiplin dan tidak mengikut arahan parti.
"Adakah PKR mengamalkan dua set undang-undang berbeza, satu untuk anggota biasa dan satu set undang-undang untuk mereka yang istimewa," katanya.
Chegubard yang kini digantung keahliannnya berkata, beliau tidak bimbang tindakan mendedahkan perkara ini akan menyebabkan keahliannya dilucutkan kerana ia melibatkan integriti parti.
"Saya lebih sayangkan nilai perjuangan menegakkan integriti dan kebenaran.
"Biar saya tak jadi apa-apa tapi dikenang sebagai orang yang bercakap tentang kebenaran," katanya sambil menambah turut menerima sokongan daripada pimpinan peringkat atas dan akar umbi.
-mstar-
P/S :sudah lah tuh..rakyat dah makin meluat...
kalau dari umno tuh...umnolah jugak....
tak habis habis susahkan rakyat...
No comments:
Post a Comment