Temuramah saya yang dibuat oleh ISMA berhubung isu Oktoberfest telah banyak menimbulkan kontroversi. Mungkin kerana ramai hanya membaca tajuk. Sepertimana biasa. Malas untuk membaca dan faham tetapi teringin sangat mengutuk. Lebih-lebih lagi bila yang memberi komen itu adalah diri saya. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidak faham dan terus menceritakan mengikut selera mereka. Sampai ada yang mengatakan saya 'sokong' dan ucapkan tahniah. Biasalah. Kalau semua sudah faham, kurang pulalah kerja untuk saya!
NEGARA MAJMUK
Perenggan pertama ada disebut, penganjuran Oktoberfest ini tidak boleh dihalang kerana Malaysia adalah Negara Majmuk. Ada yang tanya pada saya, apa beza pendirian saya dengan UMNO? Sama sahaja, ujar mereka.
Bagi UMNO, bila dikatakan masyarakat majmuk ini bererti syariat Islam tidak boleh diguna-pakai. Bagi saya bila saya sebut masyarakat majmuk, maka kemajmukan itu perlu ditangani mengikut kehendak syariat Islam! Rasanya jauh berbezakan?
Mengikut syariat Islam, yang sememangnya direka Allah untuk masyarakat manusia yang bersifat majmuk, orang bukan Islam boleh hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam. Hak mereka tidak akan dicerobohi termasuk agama mereka. Mereka tidak akan dipaksa memeluk agama Islam dan mereka dibenarkan mengikut ajaran agama mereka dengan aman damai. Apa yang dibenarkan oleh agama mereka untuk dimakan minum, mereka akan terus dibenarkan makan dan minum. Maka mereka dibenarkan makan makanan yang haram bagi ummat Islam seperti daging khinzir, daging binatang yang tidak disembelih atas nama Allah dan sebagainya. Begitu juga dengan minuman mereka. Apa yang haram bagi ummat Islam tetapi halal mengikut agama mereka, mereka tidak akan dihalang meminumnya. Termasuklah beer dan wine yang merupakan minuman arak yang memabukkan.
SOAL 'KETUANAN ISLAM'
Ada yang membantah kenyataan saya atas alasan 'ketuanan Islam', 'Islam berkuasa', 'Islam agama persekutuan' dan sebagainya. Saya cadangkan sekiranya ingin ikut kehendak Islam maka tangani persoalan ini mengikut ajaran Islam. Ikut syariat, bukan ikut emosi.
Kebebasan sebegini yang dijamin syariat Islam terhadap orang bukan Islam di bawah pemerintahannya adalah di antara bukti kebenaran dan keagungan Islam. Ianya juga merupakan bukti bahawa Islam mampu memerintah Negara yang bersifat majmuk.
'Ketuanan Islam', 'Islam agama persekutuan' dan sebagainya bukan merupakan alasan untuk ummat Islam untuk menyimpang dari syariat sehingga prinsip hormat kepada hak bukan Islam menjadi kabur. Ianya bukan alasan untuk menekan bukan Islam sehingga memaksa mereka mengikut kehendak orang Islam. Itu merupkan Islam chauvanis seperti yang diperjuangkan ISMA.
Hujjah sensitiviti dan sebagainya adalah persoalan yang boleh ditangani dalam keadaan hak bukan Islam terus dijamin. Ianya ditangani dengan dikenakan syarat tertentu ke atas penganjurnya seperti tidak dibenarkan orang Islam bersama, tidak diiklankan di kawasan dan akhbar kebiasaan orang Islam, dianjurkan di kawasan majoriti orang bukan Islam dan sebagainya.
MASALAH ARAK DAN PEMERINTAHAN ISLAM
Dalam soal arak di kalangan masyarakat bukan Islam yang duduk di bawah pemerintahan Islam, ianya merupakan persoalan yang telah wujud sejak dari dulu lagi dan ianya bukan perkara baru.
Sebagai contoh, dalam soal percukaian, para ulama' berbahas samada cukai boleh dikenakan atas arak yang dimiliki dan diniagakan oleh orang bukan Islam yang hidup di bawah pemerintahan Islam. Ada mazhab yang mengatakan tidak boleh dan tidak perlu kerana ianya barangan haram. Ada juga mazhab yang mengatakan ianya harta rakyat bukan Islam dan oleh itu ianya boleh dikenakan cukai tetapi cukai yang dikutip dari sumber sebegini perlu diasingkan dari cukai dari sumber yang halal dan bersih. Dan ianya juga perlu digunakan hanya untuk perkara tertentu seperti pembinaan jalan dan kemudahan awam. Ia boleh juga digunakan untuk pembaik-pulihan rumah ibadat yang bukan Islam. Ia tidak boleh digunakan untuk membayar gaji dan sumbangan kepada ummat Islam.
Maka perbahasan ulama' adalah berhubung samaada dibolehkan mengambil cukai atau tidak ke atas arak. Maka tidak timbul samada ianya dibenarkan untuk orang bukan Islam memilikinya, kerana semua faham ianya hak orang bukan Islam. Ianya makan minum mereka.
Mengambil dari prinsip itu, maka saya sebut bahawa program Oktoberfest yang dianjurkan untuk orang bukan Islam tidak boleh dihalang. Kerana Syariat Islam menjamin kebebasan beragama bagi mereka. Namun ianya tidak boleh dihadiri orang Islam dan dari sudut perlaksanaannya dan cara ianya diurus, pihak PBT perlu memantau dan mengawal. Ini telah juga saya sebutkan dalam interview berkenaan.
Pendirian Islam yang sebegini menjadikan Islam mampu memerintah dunia yang bersifat majmuk.
ISLAM AGAMA RAHMAT
Ada yang berhujjah bahawa arak ini sesuatu yang buruk. Keburukannya bukan sekadar untuk orang Islam, tetapi juga bagi yang bukan Islam. Oleh itu sebagai penganut agama yang membawa rahmat untuk semua, maka kita perlu melarangnya. Ini golongan orang yang menentukan hukum mengikut akal dan nafsu mereka. Kalau ikut lojik sebegitu, rahmat yang terbesar adalah Islam maka adakah kita boleh selepas itu memaksa yang bukan Islam memeluk Islam? Atas sebab sayangnya kita terhadap semua manusia? Sudah pasti tidak!
Sememangnya Islam itu rahmat untuk semua dan antara rahmatnya ialah dasar menghormati hak penganut agama lain dan ini dipertahankan Islam. Namun tidak boleh berhujjah untuk menyelamatkan mereka dari bencana arak dengan menyeru kepada Islam atau paling kurang dari sudut kesihatan dan sebagainya. Tetapi bukan dengan paksaan dan menggunakan kuasa. Ini akan memberi gambaran bahawa Islam tidak menghormati hak mereka untuk mengikut agama mereka.
KISAH PENDEK
Saya ingin berkongsi cerita yang pernah saya dengar semasa saya sedang belajar di United Kingdom. Yang menceritakannya adalah seorang alim dari India. Dia menyebut bahawa apabila Islam membuka bumi India, pada mulanya pada zaman Abasiyyah melalui seorang general bernama Muhammad bin Kassim, maka ummat Islam bertemu dengan masyarakat Hindu. Bila ditanya kepada Muhammad bin Kassim berhubung kuil Hindu yang penuh dengan berhala, Muhammad bin Kassim jawab, kuil Hindu diberikan kedudukan sama seperti rumah ibadah ahlul kitab, iaitu tidak akan diroboh atau dicerobohi.
Pada masa yang sama, di dalam kawasan yang diperintah ummat Islam, mereka telah melihat berlakunya amalan 'suttee' iaitu amalan di mana janda dibakar hidup-hidup bersama jenazah suaminya apabila suaminya meninggal. Dia mengisahkan satu peristiwa dua orang Islam yang berkuda sedang melihat seorang janda dibawa untuk dibakar bersama jenazah suaminya. Ahli keluarga wanita malang itu menangis kesedihan.
Wanita itu pun kelihatan keliru dan sedih. Maka salah seorang dari orang Islam tersebut bertanya kepada rakannya, "tidakkah sepatutnya kita halang amalan ini?" Rakannya jawab, "ianya ajaran agama mereka. Kita tidak boleh campur." (Kecuali sekiranya janda itu memeluk agama Islam). Maka jawab yang pertama tadi, "Alhamdulillah syukur kita kepada Allah yang telah menentu untuk kita agama Islam yang adil dan benar yang penuh dengan rahmat". Mengikut alim ini, melalui dasar tidak campur tangan dalam urusan agama lain, maka kebenaran Islam terserlah. Akhirnya amalan 'suttee' ini dikurangkan di kalangan masyarakat Hindu kerana terdapat wanita Hindu yang tidak ingin melakukannya. Sebahagian masyarakat Hindu memeluk Islam dan ada juga yang mengugut untuk memeluk agama Islam sekiranya terus dipaksa melakukannya.
Sedangkan sekiranya amalan itu dihentikan secara paksa oleh ummat Islam, maka para pemimpin Hindu akan menyeru masyarakat mereka bersatu menentang ummat Islam yang ingin merosakkan agama mereka. Dengan itu permusuhan akan terhasil dan penyebaran risalah dan dakwah Islam akan terbantut.
(Penjelasan tambahan al-Husseyn : Adat isteri yang wajib mati bersama suami ini tak wujud lagi sekarang di India. Pada 1987 seorang isteri yang kematian suami telah dibakar hidup-hidup di sebuah kampung di Rajashtan, India, yang masih berpegang kepada adat 'sehidup semati' ini. Ia menimbulkan kemarahan aktivis-aktivis wanita India yang meminta Kerajaan mengharamkan adat kuno itu. Akhirnya kerajaan negeri Rajasthan mewujudkan undang-undang yang membawa hukuman berat kepada sesiapa yang masih berpegang kepada adat sati.)
SELEPAS INI PESTA SEKS?
Ada juga yang berhujjah kalau begitu maka lain kali sekiranya orang bukan Islam inginkan pesta seks dan porno maka kita perlu benarkan juga? Saya ingin tanya, ada ke mana-mana agama yang membenarkan seks bebas dan porno? Setahu saya tiada. Kecuali bagi yang tidak beragama. Bagi yang tiada agama maka tidak perlulah dibawa berbincang kerana sudah pasti mereka tidak boleh menyatakan "agama saya membenarkan". Mereka tiada agama maka hujjah itu tidak boleh diguna-pakai oleh mereka.
Satu lagi sumber perundangan Islam adalah kebiasaan atau adat/budaya. Sudah jelas bahawa kebiasaan atau adat/budaya yang wujud di Malaysia, termasuk bagi yang bukan Islam, seks bebas dan porno merupakan sesuatu yang dianggap jelek. Ianya bukan sesuatu kebiasaan. Oleh itu ia tidak boleh dijadikan hujjah dalam soal membenarkan orang bukan Islam meminum arak.
Hujjah itu adalah 'Qias maal faariq' atau qiasan yang tidak kena kerana tiada persamaan.
IKLAN BILLBOARD PALSU
Ada juga yang timbulkan, ya benar kata YB! Tetapi billboard yang ada di Shah Alam ni bagaimana?
Saya jawab, "ada ke billboard tu? Di mana?"
Hakikatnya MBSA sudah sebut tiada billboard sedemikian rupa yang telah diluluskan oleh MBSA. Saya yakin ianya kerja cyber-trooper ISMA atau UMNO (sudah semakin sama) yang sengaja ingin membesar-besarkan isu ini. Hakikatnya sebelum ini tidak tahu mengenai program Oktoberfes. Dikatakan ianya telah diadakan di Subang pada 20 September. Ada yang tahu? Atau adakah yang hadir?
Kita tidak tahu kerana ianya tidak diiklankan di akhbar atau kawasan orang Islam. Ianya mungkin diiklankan di akhbar Cina, mungkin juga di akhbar Inggeris dan di tempat-tempat tertentu melalui media tertentu. Di papan tanda Masjid sudah pasti tiada. Utusan dan Berita Harian saya tidak tahulah sebab saya tidak baca, tapi rasanya tiada juga. Begitu juga di Sinar Harian. Maka, ummat Islam tidak tahu.
Masyarakat Islam hanya mula tahu apabila ISMA yang mengiklankan dan mempopularkannya. Sekira ISMA yang mengiklan dan mempopularkannya, maka adakah patut mempersalahkan orang bukan Islam? Yang ISMA sibuk sangat iklankan siapa suruh?
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment