Rakyat marhaen sudah mengeluh...dan minyak pula naik 20sen..!!
Oleh SELENA TAY
PENULIS mewawancara 35 orang warga kota di KL untuk mengetahui apakah pendapat mereka mengenai Belanjawan 2015 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober depan.
Buat masa ini, isu politik sudah tidak dipedulikan lagi oleh kebanyakan warga ibu kota kerana semua kini sibuk menguruskan hal kehidupan seharian.
Tidak kurang juga yang telah merungut bahawa harga barang yang kian meningkat telah merunsingkan mereka terutamanya mereka yang mempunyai tiga atau empat orang anak yang sedang bersekolah.
Cukup bulan sahaja gaji bulanan yang diperolehi oleh golongan yang berpendapatan rendah mesti digunakan untuk pelbagai jenis perbelanjaan dan selepas itu tinggal sahaja baki yang sedikit. Itu pun kadangkala hanya kurang RM100 untuk dimasukkan ke dalam akaun bank sebagai wang kecemasan.
Kerajaan harus faham dan prihatin bahawa masih terdapat ramai rakyat yang berpendapatan rendah yang duduk di bandar raya KL. Kini ramai daripada mereka telah pun menyuarakan bahawa hari ini kita tidak boleh mengetahui nasib hari keesokannya dan setiap hari merupakan satu cabaran yang baru.
Mereka semua telah menyatakan kebimbangan bahawa minyak RON95 akan dikenakan 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nanti. Kalau RON95 dikenakan cukai tersebut maka kesan berantainya akan mengakibatkan semua barang mengalami kenaikan harga.
Kini pun harga barang sedang naik. Kalau bukan makanan dalam tin yang naik harga, minuman dalam kotak yang akan naik harga pula.
Kerajaan harus prihatin dan selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang selalu diuaruarkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak, janganlah lagi membebankan rakyat.
Selain dari rakyat yang perlu berjimat, kerajaan juga harus berjimat.
No comments:
Post a Comment