Wednesday, October 29, 2014

KES ANWAR : PHIR BIL DI HAI HINDUSTANI ...


Pengadilan Anwar dan implikasi terhadap masyarakat antarabangsa



Oleh Muhammad Nazreen
Tanggal 28 Oktober 2014, masyarakat antarabangsa sedang memerhatikan Malaysia

 kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh politik yang dianggap paling kontroversial di Malaysia. Penghakiman kali ini penting kerana ia menyingkap kesungguhan Malaysia untuk menempatkan dirinya dalam peralihan sistem demokrasi di rantau Asia Tenggara.

Masyarakat antarabangsa sedang melihat sejauh mana Malaysia, komited untuk melaksanakan agenda reformasi sistem politik di Malaysia. Pertama, pengadilan terhadap Anwar memainkan peranan penting untuk melihat kesungguhan kerajaan menerusi agenda reformasi politik seperti yang dicanangkan Datuk Seri Najib Razak.

Kedua, kes ini juga simbolik terhadap usaha memulihkan imej sistem kehakiman negara yang calar berikutan skandal membabitkan campur tangan ‘orang atasan’ di dalam institusi kehakiman tertinggi negara. Ketiga, ia menzahirkan kesungguhan Malaysia memperbaiki rekod hak asasi manusia. Keempat, kes ini bakal memberikan kesan diplomatik Malaysia dan dunia Islam. Kelima, ia menzahirkan masa depan politik pembangkang di Malaysia menerusi gabungan politik Pakatan Rakyat.
Tekanan masyarakat antarabangsa
Kes perbicaraan kali ini mendapat perhatian gerakan sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia. Wakil pemerhati daripada Inter-ParlimentaryUnion (IPU), International Court of Justice (ICJ), Human Right Watch (HRW), Amnesty International mengikut rapat perbicaraan kali ini.
Amnesty International, misalnya, memohon supaya kerajaan Malaysia menghentikan pendakwaan politik terhadap Anwar. HRW menggesa Malaysia memberikan keadilan kepada Anwar.
Pendakwaan kali ini jelas bermotif politik. Justeru, ia menggambarkan kesungguhan Malaysia memperbaiki mutu demokrasi di Malaysia. Portal Bloomberg melaporkan pendakwaan Anwar sebagai ‘satu langkah mundur buat demokrasi’ buat Malaysia, manakala menggambarkan Indonesia, di bawah pentadbiran Jokowi merupakan berita baik ke arah proses pendemokrasian di rantau Asia Tenggara.
Pentadbiran Najib menjanjikan perubahan politik di Malaysia sebelum ini. Langkah beliau benar-benar teruji menerusi kes pendakwaan membabitkan Anwar, ketua pembangkang. Masyarakat antarabangsa menilai kes ini sebagai batu loncatan ke arah proses demokrasi di Malaysia.
Kes ini dianggap sebagai pendakwaan bersifat politik. Sekiranya Malaysia mahu dilihat penting oleh masyarakat antarabangsa, maka, Malaysia perlu berhati-hati dengan perbicaraan kes ini.
Usaha memulihkan sistem kehakiman negara
Tatkala ini, kes perbicaraan Anwar menduga usaha memulihkan imej sistem perundangan yang calar teruk. Kemasukan peguam yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetuai pendakwaan ke atas Anwar membawa persepsi buruk terhadap kebebasan institusi kehakiman di Malaysia.

Proses pendakwaan yang meragukan seperti saksi utama tidak dipanggil memberi keterangan, kelemahan barang bukti dan jawapan plaintif yang tidak konsisten merencatkan lagi usaha untuk membebaskan institusi penghakiman daripada campur tangan politik.
Phil Robertson, timbalan pengarah Human Right Watch cawangan Asia Pasifik mendakwa kes liwat ini melibatkan campur tangan politik dan pendakwaan ke atas Anwar harus segera dihentikan. Bekas presiden Filipina, Joseph Estrada mengutus surat memohon kerajaan Malaysia menghentikan kezaliman politik ke atas musuh politik mereka. Senator bebas dari Australia, Nick Xenophobe pula menggesa Malaysia menamatkan intimidasi politik ke atas Anwar.
Masa depan hak asasi manusia
Salah satu inti penting daripada Universal Declaration of Human Right (UDHR) 1948 adalah jaminan hak mendapat perbicaraan yang adil (right of free trial). Perbicaraan kali ini menguji sejauh mana akses terhadap kes perbicaraan Anwar buat seluruh rakyat Malaysia.
Kerajaan Malaysia hanya menandatangani 3 daripada 8 perjanjian hak asasi antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Laporan yang dikeluarkan oleh Universal Periodic Review (UPR) menunjukkan penindasan hak asasi manusia di Malaysia masih tidak memuaskan.
Amnesty International, badan hak asasi berprestij di dunia mengeluarkan amaran Anwar adalah ‘prisoner of conscience’ sekiranya disabitkan bersalah. Jelas masyarakat antarabangsa melihat pendakwaan ke atas Anwar adalah konspirasi politik untuk melemahkan politik oposisi di Malaysia.
Kes Anwar adalah kemuncak kepada penindasan hak asasi di Malaysia. Sekiranya, perbicaraan kes ini dianggap berat sebelah, maka Malaysia tidak dilihat serius untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia yang semakin corot.
Kesan diplomatik terhadap dunia Islam
Malaysia dianggap memiliki hubungan penting dengan dunia Islam. Gagasan wasatiyah dan moderat yang cuba dimainkan oleh Malaysia, setidaknya memainkan peranan penting untuk menghindari kelompok Muslim garis-keras seperti Islamic State, Al-Qaeda dan Boko Haramdan mengerah kekuatan mempamerkan versi Islam yang lebih moderat dan terbuka.
Namun, kes pendakwaan terhadap Anwar akan mencalarkan hubungan rapat di antara Malaysia dan dunia Islam. Tidak dapat dinafikan Anwar mempunyai dokongan kuat di kalangan komuniti Islam antarabangsa. Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusof Qaradawi menyampaikan perutusan khas menggesa kerajaan Malaysia menghentikan kezaliman dan fitnah terhadap Anwar.
Tokoh ulama Islam seperti Maulana Ihsan Hendrick, Syeikh Mustafa Ceric dan Rashid Ghanoushi menggesa supaya Anwar mendapat akses terhadap keadilan. Selain itu, Anwar mempunyai pengaruh agak kuat di beberapa negara Islam yang berpengaruh seperti Turki, Indonesia dan Mesir. Ketidakadilan terhadap Anwar akan menyebabkan hubungan diplomatik Malaysia dan dunia Islam menjadi semakin renggang.






P/S : MAKIN LAMA..MAKIN PELIK..


MAKIN LAMA..MAKIN MENJADI-JADI HAKIM bn NEH...

No comments:

Post a Comment