Monday, October 13, 2014

BUDGET 2015 : BUDGET MESRA ISTERI ???

3.05 billon utk Permata... berbaloikah? @afifbahardin


KENYATAAN MEDIA : Keberkesanan Program PERMATA Negara

Angkatan Muda Keadilan meneliti di dalam bentangan Belanjawan 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak - antara pengumuman yang telah dibuat adalah penyaluran dana untuk program PERMATA Negara yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Program PERMATA Negara yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Perdana Menteri ini ditubuhkan semenjak 2007, untuk menggubal satu dasar pendidikan awal kanak-kanak yang bersepadu dan menyeluruh dan penubuhan Pusat Anak PERMATA Negara sebanyak 82 buah di seluruh negara. Program ini menerima belanjawan khas daripada Kerajaan Pusat dan mengikut pengumuman terbaru Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2015; program PERMATA Negara akan menerima peruntukan sebanyak RM711 juta. Dengan pengumuman ini, jumlah peruntukan yang disalurkan untuk program ini semenjak 2010 adalah hampir mencecah RM3.05 billion.

Kepentingan untuk menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti tidak dinafikan. Usaha untuk menggubal satu dasar yang baik dan holisitik sewajarnya dirai. Ini juga adalah sebahagian daripada agenda yang ingin dibawa Pakatan Rakyat di dalam reformasi sistem pendidikan negara.

Namun begitu beberapa persoalan timbul mengenai perbelanjaan peruntukan program PERMATA Negara dan juga keberhasilan program ini untuk rakyat Malaysia. Antara persoalan yang timbul adalah, dengan 82 pusat di seluruh negara, menurut laman web rasmi PERMATA Negara (www.permata.jpm.my) - sebanyak 1780 kanak - kanak sahaja menghadiri pusat - pusat ini di seluruh negara dan ini hanyalah sebahagian daripada hampir 2.4 juta kanak - kanak di bawah umur empat tahun (iaitu 0.074% sahaja). Menurut laman web ini juga, daripada 82 pusat di seluruh negara, ada 17 pusat gagal mengemukakan berapa jumlah kanak - kanak yang menghadiri pusat yang berkenaan. Jika dinilai, pelaburan yang telah PERMATA Negara lakukan adalah hampir RM1.8 juta untuk seorang kanak - kanak yang hadiri Pusat Anak PERMATA Negara hari ini.

Dengan persoalan yang timbul ini, sewajarnya Perdana Menteri memaklumkan kepada rakyat apakah nilai peruntukan yang disalurkan adalah benar - benar berbaloi dan mencapai tujuan asal penubuhan PERMATA Negara? Mengapakah jumlah penyertaan kanak - kanak terlampau rendah berbanding populasi kanak - kanak Malaysia? Apakah kriteria pemilihan kanak - kanak ini untuk menyertai program PERMATA Negara?

Kami menyarankan agar Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Wanita dan Menteri Pelajaran agar mengkaji semula keberkesanan program PERMATA dengan peruntukan sebesar RM3.2 billion ini. Sewajarnya sejak 2007 sehingga sekarang, lebih 7 tahun penubuhan, dasar kurikulum yang telah digubal harus digunakan menyeluruh untuk semua rakyat. Kami menyarakan agar kerajaan melihat kepada usaha untuk mewajibkan pendidikan awal kanak - kanak di seluruh sekolah - sekolah rendah awam.


Sekian, terima kasih

Dr Afif bin Bahardin
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan.‎

No comments:

Post a Comment