Tahniah Pas Kerana Akhirnya Tidak Masuk Perangkap UMNO
Pas akhirnya dilaporkan bersetuju dengan hasrat untuk menukar Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang telah direncanakan oleh PKR sejak beberapa bulan lalu. Walaupun parti itu belum memutuskan persetujuannya tentang calon pengganti itu, sama ada Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Azmin Ali tetapi dengan bersetuju mengenai pertukaran itu sudah dianggap perkembangan paling positif ketika ini.
Dengan bersetujunya Pas untuk menukar Khalid serta calon penggantinya juga kekal daripada PKR, tentulah tidak banyak masalah juga untuk Pas turut akur dengan calon yang bakal dicadangkan oleh Anwar Ibrahim nanti.
Maka, seharusnya ucapan tahniah diberikan kepada Pas, meskipun persetujuan ini hanya dicapai setelah beberapa siri rundingan dilakukan dengan pimpinan parti itu. Sekurang-kurangnya dengan bersetujunya Pas menukar Khalid Ibrahim yang dijangka akan dilakukan selepas Aidilfitri in, parti itu tidak membiarkan dirinya hanyut dalam perangkap dan racun yang ditaburkan oleh UMNO.
Sejak isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Pas dilaporkan menjadi halangan kepada hasrat itu berikutan menantu Haji Hadi Awang, Zaharuddin Mohamad dan Raja Idris Kamaruddin, dua individu yang rapat dengan Presiden Pas kini berkhidmat dengan Kumpulan Perangsang Selangor melalui perlantikan yang dibuat oleh Khalid.
Bekerjanya dua individu ini dengan pentadbiran Khalid dikatakan menjadi halangan kepada pertukaran itu kerana mereka ini diketahui lebih mahukan Menteri Besar Selangor sedia ada terus dikekalkan sehingga pilihanraya umum akan datang. Malah mereka ini juga dilaporkan memainkan peranan membawa Haji Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali ke kediaman Khalid pada kira-kira 11 malam, minggu lalu yang dipercayai berkaitan dengan desakan yang semakin kuat mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor.
Dengan PKR hanya mempunyai 14 kerusi DUN manakala Pas dan DAP pula masing-masing mempunya 15 kerusi, pertukaran Menteri Besar Selangor boleh mengundang masalah jika Pas enggan bersetuju dengannya. Ia juga akan meretakkan hubungan dalam PR yang sudah terjalin erat sejak pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 1998 lagi.
Dalam masa yang sama, melihatkan air sudah mulai keruh, UMNO mula memberi sokongan kepada Khalid Ibrahim untuk terus kekal memimpin negeri itu. Para pemimpin UMNO yang dulunya mencerca dan memaki Khalid, kini berbondong-bondong melontarkan pujian pula. Pas yang dilihat mempunyai pengaruh kuat tidak lagi dihentam, tetapi diminta menilai semula sumbangan serta kecemerlangan Khalid selama ini.
Media pro kerajaan seperti Utusan dan TV3 pula tidak henti-henti mencipta logik betapa perlunya Khalid terus dikekalkan memimpin Selangor, malah tanpa segan silu juga memuji kecekapan Menteri Besar Selangor itu dalam mengurus kerajaan dan kewangan negeri sehingga mempunyai rizab tunai melebihi RM3 billion.
Sedangkan, isu pertukaran Khalid bukan lagi berkaitan kecekapannya mengurus kewangan negeri tetapi lebih kerana jajaran atau alignmentnya yang sudah lari, kerap membuat keputussn sendiri serta membelakangkan konsep permuafakatan yang diamalkan oleh PR selama ini.
Khalid bukan saja mempersetujui secara sulit rundingan mengenai air dengan Pusat dan bersetuju secara dasar mengenai projek lebuhraya Kidex yang banyak dibantah oleh penduduk, malah juga sudah mulai melapangkan dada menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Najib Razak. Meskipun tiada salahnya menghadiri majlis berbuka anjuran UMNO itu, soalnya kenapa sepanjang enam tahun sebelum ini beliau tidak terdetik hati menghadirinya?
UMNO bukan saja sedang memerangkap rakan-rakan PR dalam isu Menteri Besar Selangor ini, bahkan Khalid akhir-akhir lebih dilihat sebagai pemimpin kesayangan UMNO serta menjadi primadona kepada media-media miliknya.
Ini bermakna jika Pas terbuai dengan nyanyian lagu merdu yang sedang didendangkan UMNO dan bersetuju agar Khalid terus dikekalkan, yang menang sebenarnya bukanlah parti itu dan perjuangan Islamnya, tetapi yang akan menjulang trofi kemenangan ialah UMNO, Utusan dan TV3.
Meskipun persetujuan Pas ini dicapai setelah melalui beberapa proses rundingan dan memakan masa, Pas ternyata telah menunjukkan kematangannya serta tahu apakah keutamaannya dalam perjuangan sebagai sebuah parti politik. Pas dan Haji Hadi juga nampaknya tidak menjadikan kepentingan peribadi atau kedudukan menantunya yang bekerja dengan Khalid sebagai alasan untuk melakukan sesuatu yang betul bersama PR.
Sebagaimana yang dilaporkan bahawa pertukaran Menteri Besar Selangor ini akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti, PR juga tidak harus berlengah lagi mengenainya. Lakukanlah dengan kadar segera dan tertib agar ruang selebihnya boleh digunakan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat Selangor yang mengikut kajian terbaru Umcedel sudah pun merudum kepada 35 peratus saja lagi sekarang ini.
Jika gagal menukar atau melengahkannya lagi, sokongan rakyat akan terus merudum tetapi dengan segera menggantikan Khalid Ibrahim, PR akan mempunyai kekuatan untuk memulihkan semula kedudukannya. Ini kerana, sama ada Dr Wan Azizah mahupun Azmin Ali sebagai bakal penggantinya, kedua-duanya adalah lebih baik daripada pemimpin UMNO Selangor yang ada sekarang. (SH 21/07/2014)
nukilan Shahbudin Husin
No comments:
Post a Comment