Monday, July 21, 2014

MENTERI AGAMA : HANGPA BAYAR DAH LA, JANGAN TANYA BELANJA KE MANA ...

Dr. Asri belasah PUZ, pandai kutip tapi tak tahu nak agih katanya...


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur peranan pusat pengurusan zakat yang dianggap sudah hilang fungsi dan peranannya yang sebenar.

Menerusi blog dan akaun Facebooknya, Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata, beliau tidak menafikan usaha baik yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan zakat selama ini.

Bagaimanapun beliau mendakwa, berlaku kepincangan di dalam pusat zakat apabila terdapat pegawainya sendiri yang bersifat materialistik dengan menunjukkan sikap berwajah manis di hadapan pembayar zakat dan akan berubah sebaliknya apabila yang datang adalah pemohon zakat.

“Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih 1.5 bilion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji mereka yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi.

“Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba ada si miskin kita terpaksa merintih simpati daripada pihak lain termasuk gereja,” katanya.

Mohd Asri mendakwa, tidak ada semangat dakwah dan ukhuwah Islamiyyah dalam urusan zakat.

Beliau turut mempersoalkan urusan permohonan zakat yang terlalu sulit hingga membuatkan pemohonnya diibaratkan seperti peminta sedekah hingga menyebabkan ada di antara mereka yang berhak menerima zakat tidak sanggup untuk ke pejabat zakat.

“Apa tidaknya, jika seorang makcik yang sudah tua dan uzur disuruh mengisi borang yang pelbagai,” ujarnya.

Dengan mengambil contoh dari program rancangan terbitan sebuah syarikat televisyen swasta yang sanggup mencari orang miskin dan menyiarkannya di dalam rancangan tersebut.

Katanya, peranan seperti itu harus diambil oleh pusat zakat bagi mengesan mereka yang layak menerima bantuan kerana ia penting dan bukannya hanya sekadar menunggu mereka datang.

Ini kerana jelas beliau, tidak semua orang miskin sanggup untuk datang ke pejabat zakat mengadu masalah yang dihadapi.

“Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat.

“Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan Islam yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf.

“Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim juga akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam,” tegasnya lapor The Rakyat Post

No comments:

Post a Comment