"Transformasi Dalam Umno Perlu Segera, Seiring Dengan Ajaran Islam", Pensyarah Kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah Tegur Umno
Transformasi Umno perlu dilakukan seiring dengan ajaran Islam supaya mendapat keredaan Allah, kata pensyarah Dr Ridhuan Tee Abdullah |
Transformasi dalam Umno perlu segera dilakukan seiring dengan ajaran Islam supaya apa yang dilakukan pemimpinnya mendapat keredaan Allah, kata Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Pensyarah kontroversi itu berkata, pemimpin dalam Umno perlu menanamkan rasa takut kepada Allah dalam mencari makna integriti yang sebenar.
“Transformasi perlu seiring dengan ajaran Islam bagi mendapat reda Allah. Pemimpin daripada segenap lapisan perlu ditanamkan rasa takut kepada Allah. Itu makna integriti sebenar.
“Proses pentarbiahan hendaklah dimulakan kepada ahli Umno supaya lebih mengutamakan rakyat daripada diri sendiri, Itu saja cara jika Umno mahu kekal berkuasa.
“Rakyat melihat apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap,” katanya menerusi kolum di akhbar Sinar Harian hari ini.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno tahun lalu menggariskan lima hala tuju transformasi parti bagi membolehkan ia terus kekal relevan.
Lima aspek itu ialah memperteguhkan ekonomi Melayu dan Bumiputera, mempertegak Maqasid Syariah, memperkukuh pengkaderan parti, mempersiaga jentera transformasi dan menetap petunjuk prestasi utama (KPI) Umno.
Najib berkata, ahli Umno tidak boleh duduk berpeluk tubuh sebaliknya memperbaharui tekad dan menggalas semula formula kejayaan berteraskan pengisian transformasi berkenaan.
Katanya, Umno akan menjunjung Islam selagi 'hayat dikandung badan' dan umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama'ah saja daripada segi akidah, syariah dan keperibadian.
Ridhuan berkata, Umno perlu sedaya upaya mengelak pertelingkahan sesama mereka dan tidak terus melihat pemimpin parti pembangkang sebagai musuh.
Katanya, ahli Umno juga perlu berhenti menggunakan pertimbangan emosi dalam membuat keputusan sekiranya berdepan dengan rasa tidak puas hati.
“Berusaha minimumkan pergeseran dalam parti dan mengajak pembangkang agar tidak menjadi seteru berpanjangan tetapi bersama berperanan ke arah kebaikan.
“Saya teringat kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad, orang cerdik dalam Umno sukar untuk naik, berbanding yang tidak cerdik.
Maka tidak hairan, berlaku perkara seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya menerusi artikel yang bertajuk “Allah Peliharakanlah Terengganu."
Profesor Universiti Sultan Zainal Abidin ini juga menyelar sikap pemimpin Umno yang sering memandang remeh pemimpin Islam lain sehingga melemahkan ikatan silaturrahim.
Katanya, parti politik Melayu perlu bersatu mengenal pasti kekuatan masing-masing agar Islam dilihat sebagai wadah penyatuan.
“Hanya kerana marahkan PAS, kita mengambil pendekatan bermusuh. Kita kubur segala kekuatan dan bakatnya.
Akhirnya, semua tidak dapat dimanfaatkan. “PAS pula terusan melihat Umno sebagai seteru. Transformasi ini perlu disegerakan.
Layani saudara seagama kita dengan baik tanpa mengira apa latar belakang dan ideologinya,” katanya menerusi akhbar itu.
Ridhuan turut mahu melihat ahli Umno yang mengimarahkan masjid dan bukan dengan hanya ucapan yang berkobar-kobar mahu memartabatkan Islam saja.
“Pastikan masjid dan surau berfungsi sebagai agen penyatuan. Kalau boleh biarlah orang Umno dulu sampai dan yang mengimarahkannya.
“Baharulah cakap serupa bikin. Kita tidak mahu mendengar solat dua imam seperti yang pernah berlaku,” katanya.
Najib semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu menggesa ahli parti mengimarahkan masjid dan surau supaya ia dilihat sinonim dengan perjuangan parti itu.
Katanya, ahli Umno perlu mengambil tanggungjawab itu supaya institusi masjid dan surau tidak didominasi oleh kumpulan tertentu.
“Masjid, surau, siapa keluar duit? Umno keluarkan duit. Siapa kawal masjid dan surau sekarang ini?
Secara percuma saja, kita buat susah-susah, dia ambil alih tempat itu. “Sebab apa? Sebab kita tidak ambil berat perkara ini, mengimarahkan masjid, surau.
Ini mesti dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab parti kita di peringkat akar umbi. Mesti!,” katanya.
- The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment