Selesaikah masalah Selangor, jika Khalid diberhentikan oleh Pakatan Rakyat khususnya PKR? Selesaikah masalah Pakatan Rakyat di Selangor jika Khalid digantikan oleh seorang wanita, Presiden parti keluarga Anwar itu? Sudahkah difikirkan keadaan yang akan datang setelah Khalid digantikan dengan ADUN Kajang, iaitu isteri Anwar sendiri itu?
'In the first place' sudah kah pihak Tuanku Selangor bersetuju dengan seorang Menteri Besar wanita yang bakal dicalonkan itu? Apabila terlalu berkehendakkan TS Khalid berhenti, senanglah untuk mengaku seorang wanita itu tidak ada masalah jika dijadikan Menteri Besar walaupun ini merupakan kali pertama ia berlaku dinegara ini.
Mungkin seorang wanita itu tidak ada masalah jika dijadikan MB, tetapi biarlah penggantian itu dilakukan dalam keadaan aman seperti selepas memenangi pilihanraya umum nanti. Tetapi untuk menggantikan seorang MB yang menyandang dan dalam keadaan berkrisis meletakkan seorang wanita sebagai gantinya, mungkin satu tindakan yang tidak difikirkan dengan semasak-masaknya dahulu.
Persoalan yang sangat penting lagi ialah bersetuju kah Tuanku Sultan untuk Khalid dibersarakan? Bagi pandangan ramai yang saya diberitahu, mengekalkan Khalid adalah lebih mudah dari menggantikannya dengan seorang wanita itu. Kenapa perlu melalui jalan yang lebih susah untuk menyelesaikan isu yang sudah sedia susah sekarang ini?
PKR tidak boleh begitu yakin yang pengganti Khalid itu semestinya dari PKR. PAS juga perlu dihormati kerana PAS adalah rakan kongsi PR yang paling kanan di Selangor dengan mempunyai kerusi yang lebih dari PKR. Itu sebabnya kita tidak boleh bergaduh dan didengari oleh rakan kongsi yang telah berkorban diatas semangat kebersamaan. Jika dari hukum politiknya, PAS sepatutnya menjadi MB Selangor itu kerana mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Selangor itu.
Itu sebabnya jika PKR menunjukkan kegolojohan untuk berebut kuasa sesama sendiri, maka ia tidak boleh lagi memegang kuasa itu kerana tidak mampu untuk menjaga kestabilan kerajaan PR itu. Maka adalah lojik jika jawatan MB itu diberikan kepada PAS yang mempunyai banyak kepimpinan yang berkualiti di Selangor.
Jika keputusan diambil diatas premis kebersamaan dalam Pakatan Rakyat, maka PAS wajar mengambil alih dari PKR jawatan MB itu. Parti yang berpecah tidak boleh mengetuai PR di Selangor kerana dalam masa tidak sampai empat tahun lagi pilihanraya akan diadakan sekali lagi. Semasa itu nanti jika benar Khalid sudah dibersarakan ia akan menjadi bahan kempen oleh pihak BN.
Mungkin PKR sudah berbaik-baik kembali diantara pimpinan mereka tetapi orang ramai akan melihat parut yang kekal yang ada kepada parti itu sebagai alasan untuk menolak parti itu. Jika dikalangan pemimpin sudah kembali bertaut, boleh kah dipastikan dibawah-bawah ini akan bertaut?
Kita perlu ingat kewujudan PKR adalah diatas perpecahan UMNO pada tahun 1998 dahulu dan penubuhan PKR bukannya diatas perpaduan rakyat. PKR tertubuh dari 'offshoot' kepada perpecahan diantara pemimpin berpengaruh dalam UMNO dahulu, iaitu Anwar dan Mahathir. Maka perpecahan dibawah-bawah ini amat mudah berlaku.
Maka adalah molek jika Khalid tamatkan edahnya sebagi MB sehingga pilihanraya umum yang akan datang. Kepada sesiapa dalam PKR yang melilih air liornya untuk menjadi MB atau kuasa disebalik MB itu, elok bersabar dan kesat air lior yang sedang meleleh itu dahulu.
Jika Khalid hendak juga ditukar dan diganti maka pilih parti yang stabil untuk mengetuai kerajaan Selangor, dan yang kita nampak hanya PAS yang berkelayakan sebagai gantinya kerana parti itu tidak ada perselisihan faham diantara mereka.
Jika ada pun perbezaan diantara pimpinan PAS di Selangor perselisihannya tidak di hebahkan dan berkelahi sesama sendiri dikhalayak ramai. Kejayaan melakukan 'suppression' terhadap masalah dalaman itu sendiri menunjukkan kematangan pimpinan sesebuah parti itu.
Bagi saya jika yang terlalu mahukan Khalid diberhentikan, maka eloklah PAS membuat persediaan untuk mengambil alih parti yang bergolak yang tidak ada surutnya ini. Jika Wan Azizah atau Azmin dijadikan gantiannya, ia pasti akan mewujudkan pihak dan gulungan dalam PKR itu yang menentang Wan Azizah, Azmin dan Anwar sendiri.
Kita mesti ingat dalam pergelutan diantara pimpinan PKR ini yang menang tidak akan memenangi semua dan yang tewas pun tidak akan hilang semua. Perpecahan akan terus berlarutan. Tiada siapa diantara mereka akan menjadi pemimpin yang 'legitimate' di Selangor jika Khalid diganti dan dianjak sekarang ini.
Pendeknya hanya dua pilihan dan pilihlah satu darinya. Pertamanya Khalid berhenti selepas pilihanraya yang akan datang, keduanya PAS mengambil alih kepimpinan negeri Selangor itu. Salah satu dari pilihan ini akan mengembalikan kestabilan Selangor setidak-tidaknya sampai ke pilihanraya umum nanti.
Jika tidak mahu menerima andaian ini, maka UMNO akan kembali dan PKR akan menjadi sejarah di Selangor. Khalid pun nampaknya mempunyai ramai kawan dalam UMNO dari PKR sendiri sekarang ini. Lebih lagi Khalid seolah-olah tidak merasa terancam pun sekarang ini. Beliau 'confident' seperti biasa.
No comments:
Post a Comment