Thursday, August 3, 2017

UMNO Perosak Melayu, Bukan Tun Mahathir – PAS


Rafa Azmir

perosak


SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan individu yang merosakkan fikiran orang Melayu walaupun didakwa bukan daripada keturunan bangsa itu.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa, sebaliknya dasar Umno yang membela Melayu tertentu dan menzalimi bangsa berkenaan kerana beraliran politik dengannya adalah punca kepada kerosakan tersebut.

“Walaupun Mahathir telah meninggalkan Umno, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam. Pas tidak menentang individu tetapi sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Justeru, kami menyeru kepada bangsa Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai penyelesaian. Bukan penyelesaian cara Umno yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemuliaan orang Melayu adalah dengan agama Islam dan bukannya dengan zat bangsanya.

“Inilah beza perjuangan berasaskan Islam dan perjuangan berasaskan perkauman sempit. Umno yang memperjuangkan kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja, bukan pada roh serta jati dirinya.

“Di mana kedudukan tulisan jawi menjadi jati diri kepada bahasa Melayu dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Di manakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ia digadaikan oleh bangsa sendiri. Di manakan kedudukan politik Melayu Islam setelah pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang sekelilingnya?” soalnya.

Menurutnya, pemimpin Umno sendiri mengakui wujud penyakit rasuah kronik dalam Umno namun dan dalam masa sama menyebarkan kepada bangsa Melayu demi kepentingan sokongan. – Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment