Dalam sidang dewan hari ini, wakil rakyat Umno berjenaka sesama sendiri ketika sesi soal jawab berkaitan isu Rohingya yang dilakukan secara spontan mencetuskan derai tawa semua wakil rakyat dari BN dan pakatan pembangkang.
Suasana jenaka itu tercetus apabila sesi soal jawab di awal sidang oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap tentang kesan rombongan kemanusiaan Malaysia untuk masyarakat Rohingya pada Februari lalu.
Sebelum itu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengemukakan soalan mengenai langkah kerajaan bagi membantu etnik beragama Islam di Myanmar itu.
Kata Abdul Azeez, kerajaan perlu melipatgandakan usaha yang sebelum ini digerakkan oleh Datuk SeriMohd Najib Razak bagi membela nasib masyarakat terbabit.
"We have to walk the talk (Kita kena buat apa yang dikata), ikutlah kita pergi (ke sana).
"Seputeh (Teresa Kok-DAP) jangan bising dalam dewan saja, mari ikut.
"(Ikut) contoh macam PAS, 100 pemimpin (mereka) ikut (rombongan dulu),
"Lepas itu saya minta Pakatan Harapan (ikut sama), yang mana kutty, tak kutty - semua sekali - ikut pergi sana untuk beri bantuan," katanya.
Ekoran 'soalan' Abdul Azeez itu, Reezal Merican kemudian berkata: "Panjang sungguh soalan dia, macam itulah kalau mamak bertanya soalan".
Kenyataan itu disambut dengan ketawa anggota dewan.
Kemudian Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangkit mencelah: "Yang menjawab pun sama, sekapal saja!"
Namun ia mendapat reaksi segera daripada Reezal Merican.
"Yang jawab ini kasta tinggi sikit," katanya.
Isu nama kutty masih hangat diperkatakan selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad - yang kini menjadi seteru ketat Umno - mempunyai darah keturunan India.
Ahmad Zahid membuat pendedahan itu ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya pada Ahad lalu.
Pada awal Februari lalu 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagih-agihkan kepada etnik Rohingya di negeri Rakhine.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya akan memastikan bekalan itu diterima oleh komuniti Rohingya di Myanmar.
Abdul Azeez adalah ketua misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar itu.
Rombongan berkenaan turut disertai beberapa anggota dan pemimpin PAS.
No comments:
Post a Comment