Sunday, August 13, 2017

'Terima Kasih SPRM' bukan bermaksud saya yang buat laporan - Dr Norlela




Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar



SHAH ALAM: ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin menegaskan tiada maksud tersirat disebalik tindakannya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan tangkapan Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang kelmarin.

Beliau juga menafikan dirinya membuat aduan sehingga pihak berkuasa itu membuat tangkapan terhadap Phee Bon Poh yang didakwa atas salah guna kuasa.

Norlela sebaliknya berkata aduan dari pihaknya mengenai isu kilang haram disuarakan semenjak 2015 menerusi apa yang disuarakan penduduk setempat.

"Aduan sejak 2015 kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pejabat Daerah, seperti biasa. Begitu juga di Sidang DUN Pulau Pinang dah buat usul. (Tapi laporan) pada SPRM ini saya tak buat.

"Tahun ini saya ada terima petisyen 18 muka surat daripada penduduk berkenaan bantahan mereka. Saya bertanya kepada Pejabat Daerah apakah tindakan yang hendak diambil.

"Memandangkan ramai yang buat aduan dan ia dihantar ke merata tempat, bukan saya sahaja. Saya tidak tahu jika aduan ini sampai kepada SPRM atau tidak. Namun bukan saya yang fail laporan kepada SPRM," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Malah beliau menambah aduan berkenaan isu kilang haram ini juga pernah disalurkan kepada pimpinan PKR Pulau Pinang.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman berkata pihaknya menjarakkan diri dengan Norlela selepas wakil rakyat itu mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana mengambil tindakan ke atas Phee.

Mansor berkata parti tetap menyokong kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP, namun memberitahu tidak ada tindakan yang akan diambil terhadap Norlela.

Mengelakkan salah faham di kalangan pimpinan parti, Norlela kemudiannya mengharapkan SPRM tidak pilih bulu dalam menyiasat mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan.

"Apabila ia diselesaikan dan saya menulis 'Alhamdulillah terima kasih SPRM' dalam konteks isu aduan berkenaan kilang ini.

"Saya merasakan semua pihak seperti marahkan saya. Harapan saya SPRM atau sesiapa pihak bertanggungjawab hanya buat siasatan terpilih. Kena adil, tidak zalim.

"Jika ada tindakan dibuat (terhadap sesuatu kes), maka kes-kes lain seperti 1MDB yang melibatkan hutang berbilion ringgit juga diambil tindakan yang sama," ujarnya.

Kelmarin Phee yang juga ADUN Sungai Puyu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung operasi sebuah kilang haram yang memproses penapis karbon di Kampung Sungai Lembu.

Penahanan itu sebahagian daripada siasatan pelbagai agensi ke atas kilang berkenaan yang didakwa telah melanggar undang-undang alam sekitar dan sebagainya.

Kilang terbabit didakwa 'kebal' dan dilaporkan telah beroperasi secara haram sejak '10 hingga 15 tahun' lalu

Mahkamah Majistret pada semalam mengeluarkan perintah tahanan reman selama lima hari terhadap wakil rakyat DAP itu.

No comments:

Post a Comment