Sunday, August 13, 2017

SEDAR TAK SEDAR, AS$50 JUTA DUIT KITA MELAYANG BEGITU SAJA DAN ADAKAH IA WANG DARI CHINA?


shahbudindotcom



Akibat gagal menepati janji dan menangguhkan bayaran sebanyak dua kali kepada IPIC, sedar tak sedar kita sebenarnya sudah kerugian sebanyak AS$50 juta hanya dalam sekelip mata.


Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, 1MDB perlu membayar kepada 1PIC sebanyak AS$603 juta atau RM2,600 juta sebelum 31 Julai 2017 yang lalu.


Disebabkan gagal menunaikan janji kerana ketiadaan wang, tetapi dikatakan cuma masalah teknikal, 1MDB kemudian diberikan tempoh selama 5 hari lagi.


Selepas 5 hari, 1MDB gagal sekali lagi membuat pembayaran dan akhirnya diberikan tempoh sehingga 31 Ogos untuk membuat pembayaran tersebut.


Tetapi, penangguhan yang diberi IPIC itu tetap ada syaratnya. Sebagaimana yang disahkan oleh Pengerusi 1MDB, Irwan Siregar Abdullah, lanjutan tempoh sehingga 31 Ogos itu adalah dengan syarat bayaran sebanyak AS$310 juta (kira-kira separuh daripada jumlah hutang AS$603 juta) perlu dibayar sebelum 12 Ogos.


Seperti yang dikehendaki, 1MDB semalam dilaporkan sudah menunaikan janjinya kepada IPIC itu, sehari lebih awal daripada tempoh 12 Ogos yang ditetapkan.


Tetapi, bayaran yang dibuat bukan AS310 juta, sebaliknya AS$360 juta.


Kenapa tiba-tiba ada tambahan jumlah sebanyak AS$50 juta atau lebih RM200 juta?


Dan sepertimana yang ditanyakan oleh Lim Kit Siang, apakah AS$50 juta lebihan itu sebenarnya merupakan faedah lewat bayar atau denda kerana gagal menepati janji?


Harus disedari bahawa 1MDB kini adalah syarikat milik Kementerian Kewangan dan ia bermakna sebarang bebannya adalah ditanggung oleh rakyat Malaysia juga.


Selain beberapa kerugian sebelum ini, kini sekali lagi kita kerugian sebanyak AS$50 juta hanya disebabkan gagal menepati janji.


Bayangkan apa boleh dilakukan dengan wang sebanyak AS$50 juta itu jika dibelanjakan untuk membantu rakyat miskin, program pendidikan, perumahan atau sebagainya?


Namun kerana kita dipimpin oleh pemimpin yang gagal, tak pasal-pasal AS$50 juta melayang begitu saja.


Secara kebetulan pula, bayaran AS$360 juta kepada IPIC itu dilakukan hanya selepas dua hari berlangsungnya majlis pecah tanah projek Keretapi Pantai Timur atau ECRL oleh Perdana Menteri di Kuantan, Pahang.


Selain projek ECRL bernilai RM55 bilion itu dibiayai sepenuhnya oleh China, pakar-pakar tempatan sebelum ini turut mempertikaikan kos yang dianggap terlalu tinggi bagi projek tersebut di mana mereka menilai kos yang munasabah adalah tidak melebihi RM40 bilion.


Daripada gagal membuat bayaran, pelik juga tiba-tiba 1MDB ada wang AS$360 juta?

Adakah ini bermakna wang dari China telah mula turun dan menolong 1MDB?

No comments:

Post a Comment