Thursday, August 3, 2017

Dr M: Scorpene tak timbul semasa kabinet saya


MALAYSIAKINI


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat kabinet semasa pentadbirannya tidak pernah membincangkan tentang pembelian dua kapal selam tentera laut Perancis.

Menurut The Malaysian Insight, Mahathir berkata beliau pasti akan membantah pembelian berkenaan kerana ia terlalu mahal dan tidak sesuai untuk perairan Malaysia yang cetek.

"Saya memang tak nak beli kerana kita tak boleh guna. Kapal selam itu kita tak boleh guna di Selat Melaka. Dan kita tidak ada duit, kosnya tinggi.

“Tetapi tiba-tiba setelah saya bersara, saya dapat tahu menteri pertahanan (Najib) sudah buat pesanan untuk mendapatkan dua buah Scorpene.

"Keputusan itu mungkin dibuat ketika saya menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak dimaklumkan tentangnya," katanya.

Keputusan Malaysia untuk memiliki dua kapal selam kelas Scorpene dari DCNS Perancis dimeterai pada Jun 2002.

Ketika itu, Datuk Seri Najib Razak adalah menteri pertahanan. Tempoh Mahathir sebagai perdana menteri berakhir pada tahun 2003.

Mahathir berkata sistem ketenteraan Malaysia adalah berdasarkan pertahanan dan kapal selam, yang dilihat sebagai peralatan untuk menyerang adalah tidak sesuai.

"Lagipun saya kata kita nak perang dengan siapa? Kalau kita beli pun berapa banyak. Kita tak boleh perang dengan sesiapa.

“Korea Utara ada berapa puluh biji. Kita nak beli dua biji nak lawan dengan siapa? Kita tak ada rancangan nak perang dengan Indonesia ataupun Singapura.

"Saya anti perang. Saya tidak boleh selesaikan apa-apa konflik melalui peperangan. Iyalah, kita mesti ada tentera tetapi tentera kita adalah pertahanan. Kapal selam bukanlah untuk pertahanan,” katanya.

Pembelian kapal selam itu kini menjadi subjek penyiasatan oleh pihak berkuasa Perancis mengenai pemberian sogokan.

Setakat ini, empat orang warga Perancis dan penganalisis politik Malaysia, Abdul Razak Baginda dilaporkan sedang dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment