Sunday, August 13, 2017

Isu 1MDB: PAS perjelas lagi pendirian ‘berpuas hati’






Sheith Khidhir Bin Abu Bakar

Menjelaskan kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, parti itu berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB tetapi tidak bermakna mereka berpuas hati dengan dakwaan penyalahgunaan dana melibatkan syarikat itu.






PETALING JAYA: PAS sekali lagi memperjelaskan kritikan-kritikan keras dilontarkan terhadap parti itu susulan pendirian “berpuas hati” selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan 1MDB awal minggu lalu.

Susulan pertemuan itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata partinya berpuas hati dengan penjelasan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang 1MDB dan rancangan rasionalisasi.

Menjelaskan kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, parti itu berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB tetapi tidak bermakna mereka berpuas hati dengan dakwaan penyalahgunaan dana melibatkan syarikat itu.

“Kami mengecam (elemen) rasuah dan penyelewengan wang rakyat tetapi melemparkan penghinaan dan fitnah tidak akan menyelesaikan masalah ini,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Empat hari lalu, Tuan Ibrahim berkata 1MDB wajar diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang ditanggung tetapi pada masa yang sama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu dibentuk bagi menyiasat kemelut firma itu.

Katanya, pada masa yang sama partinya berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

Hari ini Tuan Ibrahim menjelaskan, selepas pertemuan dengan Arul Kanda, parti itu menyedari terdapat beberapa pilihan dalam soal menangani masalah yang wujud selain menjual asetnya.


Katanya, PAS tidak menyukai perkara itu tetapi tidak gunanya menangis kerana kelemahan dan masalah yang wujud.

“Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan cepat.”

Beliau mendakwa PAS telah membuat keputusan untuk mengelakkan politik tidak matang yang diamalkan kebanyakan parti politik pada hari ini tetapi terbuka untuk perbincangan dan rundingan dengan sesiapa sahaja yang sanggup berbuat demikian.

Ini mendorong para wartawan bertanya sama ada ia bermakna PAS juga bersedia untuk merunding pengagihan kerusi dengan PKR dan DAP, terutamanya apabila ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap persaingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

“PAS telah menjelaskan keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan kedua-dua parti itu dan ia adalah dasar kami.

“Bagaimanapun, kami terbuka kepada sebarang rundingan dan perbincangan walaupun mereka tidak melibatkan politik,” jawab Tuan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment