Written By zabidi morad
Oleh
UMAT Islam sepatutnya menyedari bahawa objektif kehidupan mereka di dunia adalah untuk menjadi hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Jika setiap individu Islam memahami bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara sebelum roh kembali kepada Ilahi, maka amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak akan berleluasa dalam masyarakat Islam.
Kerakusan dan keinginan untuk menjadi orang yang paling berkuasa dan kaya adalah penyakit hati yang sukar untuk dibendung jika hasil kekayaan yang diperoleh itu tidak diredai Allah. Umat Islam yang memahami erti kehidupan dan sentiasa memahami kematian adalah satu kemestian tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum hakam Allah.
Firman Allah dalam Surah 62 (al-Jumu’ah) ayat 8 yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Kesedaran terhadap kematian dan bagaimana roh manusia dipisahkan daripada jasad sepatutnya disemat dalam minda umat Islam supaya kerakusan terhadap kuasa dan kekayaan dapat dihakiskan dalam hati nurani umat Islam.
Jika di dunia ini setiap korupsi dan penyalahgunaan kuasa dapat dipertahankan dan dilindungi, maka fahamilah ketahanan dan kekebalan itu adalah terlalu rapuh. Ketahanan untuk melindungi nyawa dan harta benda di dunia ini adalah terlalu kerdil jika dibandingkan benteng perlindungan Allah.
Kecintaan terhadap kekayaan dan kuasa yang keterlaluan sukar dibendung jika hati nurani dan minda beranggapan bahawa kekayaan dan kuasa adalah satu kebahagiaan yang hakiki.
Pemikiran begini hanyalah khayalan yang dipaparkan oleh musuh utama manusia sejak azali lagi. Oleh itu, Allah memperingati umat Islam dalam Surah 102 (al-Takathur) ayat 1-8 yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu) dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.
“Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin. Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
Kekayaan dan kuasa jika diperoleh secara menindas dan menyukarkan kehidupan orang lain adalah api yang menyemarak dalam diri yang mana belas kasihan dan kemanusiaan sudah terhapus dalam sanubari.
Apabila diri sudah dikuasai oleh perasaan begini, maka rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan akan menjadi fenomena dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara yang mana akhirnya umat Islam akan kehilangan kuasa dan kewibawaan.
Kekayaan dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah kepada setiap individu adalah tanggungjawab atau amanah Allah yang perlu dilaksanakan.
Jika kekayaan diperoleh, maka berkongsilah dengan orang yang miskin. Perkara ini diperingati oleh Allah dalam Surah 57 (al-Hadid) ayat 7 yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya memperoleh pahala yang besar.”
Berdasarkan penjelasan tersebut, maka umat Islam perlu mengimbangi kecintaan terhadap dunia dan akhirat supaya kehidupan di dunia diberkati Allah dan memperoleh ganjaran yang istimewa di hari akhirat.
PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment