Sunday, August 13, 2017

APA SEBENARNYA AKTA164


1. Asas pindaan ini adalah khusus menyebut tentang jika salah seorang pasangan yang bukan Islam memeluk Islam. Implikasi kepada permaslahan ini ialah bagaimana status ikatan perkahwinan ini? Bagaimana status agama anak dan kebajikannya serta bagaimana tuntutan-tuntutan harta dan pembiyaan anak-anak.
2. Pemelukan Islam salah seorang pasangan yang berkahwin sebelumnya terikat bawah akta 164. Disinilah isu yang menjadi perbahasan dari sudut ‘remedi’ atau ‘jalan keluar’ yang mencadangkan, asasnya ialah ikatan perkahwinan pasangan tersebut hendaklah dibubarkan di Mahkamah Sivil di mana sebelumnya tiada klausa yang mengkhususkan peruntukan ini iaitu di bawah seksyen 51.
3. Lompong atau Lakuna sebelum ini menyebabkan berbagai masalah kerana salah satu pasangan yang memeluk Islam hanya tercerai secara perundangan di Mahkamah Syariah sahaja(yang Muslim) manakala di peringkat sivil perkahwinan mereka masih lagi dianggap kekal kerana tiada pembubaran berlaku. Implikasinya ialah kebajikan anak bawah umur di mana ada kes yang membabitkan anak di bawa lari dan anak yang diIslamkan tanpa kerelaan salah seorang pasangannya ibu atau bapanya. Berlakulah konflik yang tak berkesudahan dan mahkamah tiada remedi kerana tiada peruntukan dalam akta tersedia ada maka seksyen 51 cuba mengatasi sebahagian kelompongan perundangan ini.
4. Asas perbahasan saya ialah, kontraversi ini perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap perkara yang lebih besar dari sentimen dan perasaan berpandukan pada nilai Kerahmatan, Keadilan dan Karamatul Insan. Inilah prinsip Maqasid Syariah yang menentukan apa sahaja keputusan yang dibuat dalam memahami akta ini.
5. Saya berhujah lagi bahawa ulamak muktabar berbeza dalam memahami masalah status agama anak. Mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali menetapkan status anak berpandukan keIslaman mana-mana pasangan. Pandangan Malik berbeza dengan menyatakan status agama anak berpandukan nasab (jalur keturunan) maka ia mengikut agama bapa. Imam Al Thawri berpandangan status agama adalah atas pilihan anak terhadap agama ibu atau bapanya setelah akil baligh.
6. Walaupun seksyen 88 tentang status agama anak bawah umur ditarik balik pindaannya pada saat-saat akhir, akta ini masih tetap ‘separuh masak’ kerana tidak menggarap persoalan yang telah menimbulkan berbagai konflik perundangan yang telah memangsakan kebajikan kanak-kanak yang terpaksa membesar dengan penuh tekanan emosi.
8. Tuduhan liar kononnya akta ini menggadaikan Islam dan segala teori konspirasi di sebaliknya adalalah tidak berasas malah boleh dianggap keluar dari konteks sebenarnya mengapa akta ini dipinda.
9. Status agama anak dalam pindaan akta 164 bukan soal menggadaikan aqidah ataupun menidakkan kepentingan Islam tetapi ia mesti diletakkan atas piawaian tujuan utama Syariat Islam didatangkan iaitu menjaga AGAMA. Yang dimaksudkan menjaga AGAMA ialah memelihara Keadilan, Kerahmatan dan Karamatul Insan.
10. Pihak yang menuduh hanya ahli parlimen partinya sahaja yang membela Islam dengan menolak pindaan 164 ini, sekali lagi ‘mensucikan’ diri mereka dan telah buta hakikat bahawa yang menjadi perbahasan kami di Parlimen ialah memastikan nama baik Islam tidak dicemari dengan sentimen dan emosi pemikiran sempit yang hanya melihat satu sisi.
11. Penulisan seorang AJK Pas Pusat yang bukan ahli parlimen pun menuduh bukan-bukan telah memainkan sentimen agama yang cukup berbahaya dan gagal melihat tugas dan fungsi ahli legaslatif memelihara artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sekian
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia (Parit Buntar)
Naib Presiden AMANAH
11 Ogos 2017

No comments:

Post a Comment