Monday, August 7, 2017

Perlu siasat RM5.32 bilion dari anak syarikat 1MDB kepada syarikat kosong


 Tony-Pua-Irwan-Serigar
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah didesak menyiasat pembayaran sebanyak AS$1.243 bilion (RM5.32 bilion) oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited (1GIL) kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini berkata laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menunjukkan beberapa transaksi kepada syarikat itu dari 8 Oktober hingga 14 November 2014.

Pihak berkuasa AS sebelum ini mendakwa wang 1MDB disalurkan ke Aabar BVI, sebuah syarikat kosong yang didakwanya diberi nama yang memberi gambaran ia mempunyai kaitan dengan Aabar Investment PJS, anak syarikat sebenar syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Adakah beliau akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia – pembayar cukai – supaya pihak bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini diambil tindakan? Ataupun Irwan Serigar akan bertindak seperti pengerusi 1MDB lalu, Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin dan Tan Sri Ismee Ismail, yang terpaksa meletak jawatan?

“Saya tahu dia tidak lakukan sebarang kesalahan dalam perkara ini, tetapi sebagai pengerusi 1MDB, Irwan kena dedahkan perkara sebenar yang berlaku,” kata wakil rakyat DAP itu pada sidang media di Parlimen.

Merujuk laporan DoJ Jun lalu, Tony berkata 1GIL membuat pinjaman sebanyak AS$458 juta daripada Bank Deutsche pada 29 September 2014.

Kemudian, 1GIL memindahkan sejumlah AS$378 kepada sebuah dana perantara, yang seterusnya memindahkan sejumlah AS$375 juta kepada syarikat Bridge Global Fund pada 1 Oktober 2014.

Kemudian, pada 7 Oktober, Bridge Global Fund kemudian membayar AS$375 juta kepada syarikat Brazen Sky, yang seterusnya memindahkan wang itu kepada 1GIL.

Kemudian, 1GIL memindahkan AS$356 juta kepada Aabar BVI.

Menurut Tony, kitaran pembayaran itu dilakukan beberapa kali pada 14 Oktober, 23 Oktober, 30 Oktober dan 14 November 2014.

Tony hari ini mendakwa, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat menyiasat pembayaran itu memandangkan presiden dan pengarah eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy enggan memberikan sebarang dokumen.

“Dalam siasatan PAC ada 2 perkara berlaku, pertama beliau jelaskan bahawa bayaran AS$1.243 bilion itu adalah bayaran cagaran tambahan dan pampasan. Sebab yang teliti tidak diberikan, kita (PAC) minta juga tidak diberikan. Dia (Arul) hanya umumkan kepada PAC.

“Keduanya, 1MDB enggan berikan dokumen bank bagi syarikat di luar negeri kepada ketua audit negara dan PAC. Saya rasa sebab inilah mereka tidak dedahkan dokumen bank di luar negeri walaupun diminta beberapa kali,” katanya.

Pada Ogos 2016, seorang pegawai kewangan, Khadem al-Qubaisi, dilaporkan ditahan polis Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu selepas pihak berkuasa AS mendakwa beliau menerima ratusan juta dolar yang dicuri dari urusjanji perniagaan antara 1MDB dan IPIC.

Khadem didakwa pengarah di Aabar BVI. Khadem menerajui IPIC sehinggalah beliau meninggalkan syarikat itu secara mengejut pada 2015.

DoJ mendakwa Khadem terlibat dalam konspirasi untuk menggelapkan AS$1.37 bilion dari 2 bon jaminan IPIC yang dikeluarkan 1MDB pada 2012 dan bernilai AS$3.5 bilion. Menurut DoJ, Khadem menerima hampir AS$473 juta dari wang yang dilencongkan itu ke dalam akaun bank miliknya pada 2012.

Khadem menafikan sebarang salahlaku.

No comments:

Post a Comment