Oleh Zulkiflee Bakar
"SESUNGGUHNYA Allahyarham merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yang tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air." Itulah ulasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan kembalinya Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din ke rahmatullah kelmarin. Apa yang dikatakan oleh Zulkifli adalah gambaran tepat keperibadian, ketokohan dan perjuangan Allahyarham Haron - seorang ulama yang dihormati oleh kawan dan lawan. Meneliti satu demi satu catatan perjalanan kehidupan Allahyarham sejak kecil, tidak keterlaluan kalau dikatakan Allahyarham adalah insan yang dilahirkan untuk menjadi pejuang Islam. Namun perjuangan yang dirintis dengan matlamat syariat Islam dilakukan secara berhemah. Biarpun tegas dan istiqamah dalam perjuangan berkenaan namun beliau sentiasa menjaga adab dan akhlak yang digariskan oleh Islam. Allahyarham tidak pernah menjatuh hukum kepada sesiapa apatah mencela dan memaki hamun orang lain. Walaupun dianggap ulama hebat, namun Allahyarham amat merendah diri dan sentiasa bersedia menerima pandangan atau menyokong apa juga tindakan dalam satu-satu perkara waima oleh kerajaan sekalipun asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Berada dalam barisan kepemimpinan utama Pas tidak pernah dijadikan tiket untuk Allahyarham memusuhi mana-mana kelompok Islam atau orang Melayu yang tidak sehaluan dengan parti itu. Sebaliknya Allahyarham sentiasa berlapang dada dan berusaha mencari pendekatan terbaik agar misi dakwah yang dibawa khususnya dalam menegakkan perjuangan Islam Pas berjaya. Berikutan sikap itulah Allahyarham tidak bersekongkol atau berkongsi sentimen dengan mana-mana pihak termasuklah dalam parti itu untuk melihat UMNO sebagai 'musuh nyata'. Bagi Allahyarham selagi ada ruang dan kesempatan bak kata orang biar sebesar zarah asalkan Allahyarham boleh berdakwah, Allahyarham bersedia merebut peluang tersebut. Atas sebab itulah Allahyarham tidak tergugat atau berasa resah dengan pandangan politik sempit sesetengah pihak termasuk dalam Pas sendiri yang mempertikaikan keputusan Allahyarham menerima jemputan kerajaan untuk menjadi Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) pada Februari lalu. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika mempertahankan kesediaan Allahyarham menganggotai MPI menegaskan, "Apabila ada orang yang mahu dan komited untuk berdakwah seperti Haron Din, misalnya menunjukkan komitmen beliau terhadap kerja dakwah, walaupun beliau ahli Pas, kita tidak sepatutnya menjadikan pelantikan beliau sebagai satu kesilapan atau kesalahan kepada parti." Sememangnya berdakwah sudah menjadi darah daging Allahyarham. Dalam apa juga situasi Allahyarham meletakkan perjuangan menegakkan syariat Islam sebagai matlamat utama. Allahyarham sentiasa tegas untuk mempertahankan syariat Islam dan bersedia memberi pandangan berlandaskan kepada prinsip mencari keredaan Allah. Anak ketiga daripada 10 adik beradik ini, bersedia ke hadapan untuk menyatakan pendirian berhubung sesuatu isu yang menyentuh mengenai hal ehwal Islam. Berikutan ketika isu kalimah Allah hangat diperkatakan, Allahyarham muncul dalam rakaman video khas memberi penjelasan kenapa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah suci itu. Begitu juga dalam isu 'Saya Mahu Sentuh Anjing', Allahyarham secara terbuka menggesa penganjur yang beragama Islam bertaubat. "Jika dilihat dari sudut akidah, perbuatan menganjurkan perkara haram secara terbuka ini seolah-olah satu percubaan mencabar hukum Allah dan fatwa serta ada sifat-sifat kebanggaan mereka yang berbuat demikian," tegas Allahyarham. Dalam mempertahankan kesucian dan menegakkan perjuangan Islam, Allahyarham sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua. Mungkin kerana ketegasan inilah apabila Allahyarham meninggal dunia ada kelompok termasuk segelintir pemimpin parti pembangkang bagaikan 'meraikannya'. Tindakan biadab itu dilakukan kerana mereka memahami umat Islam kehilangan seorang lagi ulama yang selama ini menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam dan tidak pernah berputus asa memperjuangkan agama suci itu. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sepanjang berjuang bersama Pas, Allahyarham paling lantang menentang bekas sekutu parti itu, DAP yang dilihat sering sahaja memperkotak-katik maruah Pas. Allahyarham tidak meletakkan kepentingan atau keuntungan politik sebagai keutamaan sebaliknya menegaskan, "Pas lebih bimbangkan kemurkaan Allah daripada bimbang tidak mendapat sokongan manusia." Dalam soal politik juga, Allahyarham sentiasa bersangka baik dengan sesiapa juga asalkan ia membuka peluang untuk mendapat keredaan Allah. Ini terbukti apabila Allahyarham menyambut secara positif usaha mewujudkan kerjasama Pas dengan UMNO. Antara lain beliau berkata, "Kedua-kedua (parti) sememangnya mungkin bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai ketakwaan kepada Allah." Hakikatnya, negara kehilangan seorang tokoh yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk berdakwah bukan kerana mahu mencari kuasa politik tetapi demi membimbing ummah ke arah mendapat keredaan Allah. |
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
TEPAT pukul 10.10 pagi 16hb September 2016, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din, 74, kembali ke rahmatullah ketika menjalani rawatan jantung di Hospital Standford University, San Francisco, Amerika Syarikat. Pemergian Allahyarham bukan sahaja satu kehilangan besar kepada parti tersebut tetapi umat Islam Malaysia secara keseluruhannya. Walaupun berjuang bersama Pas namun Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor, Mali Kangar, Perlis adalah ulama sejati.
Perbezaan politik sama sekali tidak pernah menjadi halangan untuk Allahyarham sentiasa berusaha bagi menyatukan umat Islam dalam menegakkan perjuangan Islam. Allahyarham bukan sahaja aktif dalam politik tetapi juga adalah tokoh perubatan Islam dan ulama yang cukup disegani. Atas sebab itulah, pemergian Allahyarham bukan sahaja amat dirasai oleh pemimpin, ahli dan penyokong Pas tetapi seluruh umat Islam di negara ini.
Sepanjang membuat liputan perjuangan politik Pas sejak awal 1990-an, tidak pernah penulis melihat Allahyarham membuat kenyataan atau melakukan tindakan politik yang boleh memecahbelahkan umat Islam. Bagi penulis, Allahyarham adalah ulama yang benar-benar mahu menjadikan politik sebagai platform bagi menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia. Justeru, Allahyarham sentiasa berhati-hati dalam sebarang kenyataan atau ucapannya kerana tidak mahu umat Islam terus berpecah-belah. "Saya menyeru ahli Pas jangan menyerang sesiapa, sama juga saya menyeru kepada bukan Pas supaya tidak menyerang Pas. Kenalilah siapa musuh kita yang sebenar dan kenalilah kawan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Berpada-padalah menyayangi kawan kamu, mungkin satu hari dia akan menjadi musuh kamu dan berpada-padalah membenci musuh kamu kerana mungkin satu hari dia berubah menjadi kekasih kamu." Beberapa rakan dalam Pas pernah memberitahu, Allahyarham amat tidak menyenangi perbuatan mana-mana pemimpin parti tersebut yang tidak menjaga adab Islam ketika berpolitik termasuk memaki hamun lawan politik mereka. Allahyarham berkata: "Dalam bermusuhan, menyerang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya bukan daripada akhlak Islam tetapi menasihati apa sahaja yang boleh membawa kebaikan adalah ajaran Islam. Jauhilah fitnah kerana akibatnya kamu tidak dapat menanggung balasannya." Allahyarham yang berkelulusan dalam bidang syariah dari Universiti Ain Shams, Kaherah dan pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1977 hingga 1985 dilihat sentiasa bercakap dan menyatakan pendirian berdasarkan prinsip mencari keredaan Allah. Walaupun ada ketikanya pendirian Allahyarham dalam soal politik khususnya berkaitan kerjasama dalam pakatan pembangkang tidak disenangi namun Allahyarham tidak pernah berundur walaupun setapak daripada pendirian tegasnya terutama bagi mempertahankan prinsip perjuangan Pas. Allahyarham menegaskan: "Kita berpolitik kerana mencari keredaan Allah, jawatan bukan matlamat, yang memegang jawatan adalah yang memegang amanah." Disebabkan pendirian itulah, Allahyarham pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 di Perlis. Allahyarham menyifatkan tindakan beberapa pemimpin Pas keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai meninggalkan perjuangan Islam. Atas prinsip ini jugalah Allahyarham sentiasa tegas dan berani mempertahankan pendirian Pas bagi melaksanakan hukum hudud khususnya dalam berhadapan dengan DAP. "Pas tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang," tegas Allahyarham ketika Pas diasak oleh DAP supaya tidak berjuang untuk melaksanakan hukum hudud. Satu lagi fakta menarik mengenai Allahyarham yang menyertai Pas sejak 1974 ialah sentiasa menyatakan yang benar walaupun pahit biarpun ada sesetengah pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkan itu tidak menguntungkan politik Pas. Di bawah kepemimpinan beliaulah, Dewan Ulama Pas membuat keputusan meminta parti itu mengkaji semula tahaluf siyasi dengan DAP yang dilihat sejak dulu menentang perjuangan Islam Pas. Bagi umat Islam, pemergian Allahyarham bermakna mereka bukan sahaja kehilangan seorang tokoh yang disegani dan dihormati, malah seorang tok guru yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk menyampaikan ilmu-ilmu Allah melalui ceramah dan kuliah agama. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Allahyarham menubuhkan pusat perubatan Islam yang memberi manfaat kepada jutaan umat Islam Malaysia. Allahyarham ialah pengasas Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa'). Pada Mac tahun lalu, Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am Pas bagi menggantikan Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat. Kini Pas sekali lagi kehilangan Mursyidul Amnya manakala umat Islam kehilangan seorang ulama berwibawa, namun semangat perjuangan, titisan pengorbanan dan ilmu yang disampaikan oleh Allahyarham pasti akan kekal sehingga akhir hayat. Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi kepada Allahyarham. - AL FATIHAH. |
Oleh Zakaria Ismail
Tiada yang mudah dalam perjalanan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din untuk menjadi seorang ulama. Setelah bergelar ulama, tiada apa juga yang mudah bagi beliau dalam berperanan sebagai ulama yang berada betul-betul di tengah-tengah gelanggang masyarakat. Perjalanan itu dipenuhi dengan rintangan, cabaran, desakan dan ujian; kecil, besar dan kadang-kadang mengelirukan. Apatah lagi beliau juga adalah seorang juru dakwah, seorang ahli akademik, seorang perawat, seorang pemimpin masyarakat, seorang ahli politik, seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan seorang yang mepunyai banyak peranan dalam pelbagai bidang. Menjadi al-Mursyid al-Am kepada parti Islam di negara kita sejurus kembalinya al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah, tentulah menjadi tanggung jawab besar yang tidak mudah juga untuk beliau galas. Pendek kata, kehidupan beliau sepanjang 76 tahun itu adalah sentiasa dalam keadaan berjuang dengan segala susah payah. Seolah-olah tiada ruang untuk istirehat daripada terus berjuang. Mungkin itulah tafsiran secara amali tentang firman Allah SWT dalam surah al-Balad, ayat 4; لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ Bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah." Seperti kata Imam Hasan al-Basri, "manusia itu sentiasa bersusah payah berusaha menghadapi cabaran-cabaran kehidupan di dunia dan kesukaran-kesukaran negeri akhirat". Kata Imam Qatadah, "engkau sentiasa melihatnya berjuang menghadapi rintangan urusan dunia dan urusan akhirat". Begitulah umurnya yang berkat itu, dipenuhi dengan perjuangan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. BIDANG PENGUBATAN ISLAM Dalam dunia pengubatan Islam, beliau gigih berjuang untuk menghapuskan kebergantungan masyarakat kepada kaedah perubatan tradisional yang mencampurkan unsur-unsur syirik dalam rawatan. Untuk itu, beliau mendekati perawat-perawat tradisional itu dan cuba memahami dan mengkaji amalan dan bacaan mereka. Setelah itu, amalan dan bacaan mereka ditapis mengikut neraca syarak. Sebahagian mereka berterima kasih kepada beliau. Sebahagian lagi pula tidak menyenangi beliau. Tidak cukup dengan itu, beliau berusaha melatih perawat-perawat yang bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu perubatan dan rawatan, tetapi juga diajarkan dengan konsep akidah yang benar, ibadah yang sahih serta bacaan-bacaan ayat al-Quran, hadith-hadith dan doa-doa yang jelas sebutan huruf daripada makhrajnya, serta terang maknanya. Beliau merasakan tugas itu seperti fardhu ain ke atas dirinya. Kerana beliau berkebolehan dalam bidang rawatan dan beliau juga seorang pakar dalam bidang syariah. Sedangkan, golongan masyarakat yang menghadapi masalah gangguan yang tidak bersifat fizikal pula cenderung untuk menemui bomoh-bomoh yang tidak diketahui susur galur ilmu perubatannya. Ada di kalangan yang mendakwa bomoh itu pula, rupanya mencari duit mudah dengan memberikan rawatan palsu. Ada juga yang memberikan rawatan, tetapi rawatan yang bercampur dengan unsur-unsur syirik melalui kaedah pemujaan atau cara-cara lain-lain yang mengundang murka Allah dan membuka pintu kekufuran. Berkat sokongan dan dokongan murid-murid utama beliau, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa' ditubuhkan, dan akhirnya berkembang ke seluruh negara dan luar negara bagi menawarkan khidmat rawatan dan perubatan alternatif mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syarak. Sungguhpun begitu bersepadu usaha beliau dalam memerangi amalan syirik dalam perubatan melayu tradisional, beliau sendiri tetap juga tidak selamat daripada dituduh mengamalkan amalan syirik. Sebahagian daripada ulama-ulama muda yang baru menamatkan pengajian di luar negara tanpa teragak-agak menuduh Darussyifa' mengamalkan amalan syirik lantaran selawat asy-syifa' dan selawat tafrijiyyah. Ironinya, negeri kelahiran beliau sampai mengeluarkan fatwa mengharamkan selawat tafrijiyyah dan menuntut orang yang mengamalkannya supaya bertaubat. Masalah ini sebenarnya seputar memahami makna selawat tersebut mengikut kaedah bahasa arab dan kaedah usuluddin. Tetapi pihak yang mengharamkannya hanya mengambil maknanya yang zahir dan ditafsirkan mengikut kefahaman ringkas mereka sahaja. Saya pernah mendengar beliau diminta mengulas tentang isu selawat ini. Jawabnya ringkas dan tidak mahu memanjangkan polemik, "Ya lah, kita ini orang sekolah atap saja". Tentulah artikel ini, tidak bertujuan untuk membahaskan polemik ini. Sekadar memberikan gambaran. Namun begitu, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah meninggalkan karya agung yang memberikan pencerahan tentang pengubatan Islam dan dalil-dalil syarak berkaitannya dalam 5 jilid buku dalam siri pengajian dan pengubatan Islam, terutamanya dalam jilid pertama yang berjudul Pengantar Pengubatan Islam. Siri itu juga turut memuatkan jilid berkaitan penyakit rohani, jasmani dan sihir. BIDANG POLITIK Dalam bidang politik, beliau tentulah memilih aliran politik Islam. Beliau adalah sarjana syariah yang sangat memahami Islam adalah penyelesaian untuk semua masalah ummat manusia. Apatah lagi, tamadun Islam begitu kaya dengan teori dan praktikal sistem politik Islam yang merentasi masa ribuan tahun serta merentasi sempadan geografi dan kaum. Dan ia adalah adil dan praktikal untuk semua. Jika dunia sahaja sahaja yang menjadi buruan beliau, menyertai kepimpinan PAS adalah langkah yang paling merugikan. Bahkan, jika beliau mencari akhirat semata-mata, kerja buat beliau sebagai seorang ahli biasa PAS adalah sebahagian daripada perjuangan Islam. Tetapi PAS memerlukan kepakaran beliau, dan beliau sekali lagi tidak lokek untuk bersusah payah bersama PAS dalam pelbagai posisi kepimpinan. Bersama dengan PAS, beliau pernah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden tetapi menarik diri daripada bertanding. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS dan kemudiannya menjadi Timbalan al-Mursyidul Am PAS sehinggalah beliau dipilih menggantikan al-marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai al-Mursyid al-Am PAS yang ke-3. Beliau pernah dituduh orang sebagai agen Umno dalam PAS oleh golongan yang ingin melihat beliau merajuk dan meninggalkan PAS. Beliau juga pernah dianggap tidak bijak dalam seni sepak terajang politik. Pandangan berbeza beliau dengan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Injil berbahasa melayu pada peringkat awal, juga digunakan oleh pihak tertentu untuk menjadikan beliau tawar hati dengan PAS. Tetapi beliau adalah insan pejuang yang memiliki pendirian seteguh gunung. Tidak mudah merajuk dek perkataan manusia, lantas mahu meninggalkan perjuangan Islam sewenang-wenangnya. Perjuangan Islam tidak boleh ditinggalkan. Perjuangan Islam wajib diteruskan. Beliau terus istiqamah dengan perjuangan Islam, walaupun beliau memiliki banyak keuzuran. Beliau tegak di atas kebenaran, tidak pernah takut kepada celaan orang yang mencela. Beliau terus bersabar dan terus lagi bersabar, sama-sama mengemudi bahtera PAS, terutamanya pada saat-saat getirnya. Begitulah keadaannya sebagai insan pejuang, alim mujahid. Solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah, Tuhan Semesta Alam! PENUTUP Semoga Allah SWT merahmati al-Marhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dengan limpahan rahmat-Nya yang tidak bertepi dan mengampuni segala kesalahan beliau, serta memasukkan beliau di kalangan para siddiqin, para syuhada' dan para solehin. "Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku!" (Surah al-Fajr: 27-30) Zakaria Ismail AJK PAS Kawasan Marang |
Wednesday, September 21, 2016
Tuan Guru Datuk Dr Haron Din : Perginya seorang ulama sejati - Berdakwah hingga akhir hayat - Hidup berjuang:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment