Sunday, September 18, 2016

Belasungkawa Datuk Dr Haron Din (1940 - 2016) [TONTON VIDEO]


Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar



SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada jam 10.10 pagi tadi merupakan seorang tokoh politik yang disegani ramai pihak, termasuk pesaingnya.

Haron menghembus nafas terakhirnya di Hospital Stanford University, Amerika Syarikat disamping isteri dan anak-anaknya.

Allahyarham dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Simpang Empat, Perlis. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah di Bohor Mali, dan Madrasah al-Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah.

Bukan itu sahaja Allahyarham turut mendapat pendidikan di Kolej Islam Malaya kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Syariah dan Pendidikan sebelum menerima Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang yang sama di Universiti Darul-Ulum Qahirah.

Allahyarham memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah di beberapa institusi bank seperti CIMB, RHB dan Public Bank, selain Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Kerjaya dakwahnya pula bermula selepas menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulamak Malaysia; Ahli Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam; Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Penasihat Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Malaysia (Darussyifa') dan Pengerusi Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam Malaysia.

Penyertaan dalam Politik

Langkah politiknya dalam PAS mula aktif sejak 1974 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1975 hingga 1983.

Atas kredibilitinya, Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan di dalam PAS, antaranya sebagai Ketua Penerangan, Ahli Majlis Syura Ulama', Timbalan Mursyidul Am PAS dan kini sebagai Mursyidul Am PAS, menggantikan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 2014.

Allahyarham juga pernah mewakili PAS dalam dua Pilihan Raya Umum pada 2004 dan 2008 untuk Parlimen Arau. Beliau bagaimanapun tewas terhadap calon Umno-Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya berkenaan.

Pendakwah terkemuka ini amat disegani bukan sahaja di kalangan pemimpin dan ahli PAS, bahkan pesaing-pesaing politiknya yang lain, termasuk Umno.

Pemergian tokoh politik ini disifatkan satu kehilangan yang besar buat PAS selepas parti itu kehilangan Nik Aziz, yang juga pemimpin kanan PAS yang amat dihormati oleh parti dan pesaing politik.

Ini kerana Haron antara pemimpin parti yang menyokong kerjasama antara PAS dan Umno yang pernah menjadi polemik politik di kalangan ahli-ahli parti yang menganggap 'ia mustahil untuk dilakukan'.

Hujah Haron, sebagai parti yang mendokong Islam, PAS tidak boleh menolak perkara yang boleh mencapai dan memerlukan pertolongan kerana ia merupakan suruhan Allah SWT asalkan ia membawa kebaikan dan bertunjangkan kebajikan.

Keadaan Kesihatan

Pendakwah terkemuka ini mula menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2 April 2012 di Hospital Stanford San Francisco, California.

Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Haron, pada beberapa hari lalu berlepas ke AS di hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan jantung berhubung masalah jantung yang dihadapinya.

Beliau dikhabarkan dalam keadaan koma pada malam tadi dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan selepas mengalami pendarahan yang teruk.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

LIHAT VIDEO DI SINI


https://www.youtube.com/watch?v=laoQLGCaJTA

No comments:

Post a Comment