Monday, September 19, 2016

Berita Hubungan PAS UMNO Ini Diharap Benar





Hubungan PAS-Umno baik untuk perjelas arah politik masa depan Oleh Liew Chin Tong

Ramai rakan terutamanya mereka yang tidak membaca akhbar Cina bertanya kepada saya tentang berita eksklusif di muka depan Nanyang Siang Pau bertarikh 18 September, 2016,mengenai kerjasama Umno-PAS untuk memenangi kuasa di Selangor. Berita ini diedar secara meluas di luar kelompok pembaca Mandarin.

Laporan tersebut memetik sumber yang tidak dinamakan, mencadangkan Umno dan PAS menjalankan satu rundingan dengan satu perjanjian, dan kini hanya menunggu lampu hijau dari Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Menurutnya lagi, perjanjian itu melibatkan satu pakatan pilihan raya yang akan memastikan kedua-dua Umno dan PAS tidak akan bertanding melawan antara satu sama lain, sebaliknya Umno akan bertarung menentang PKR manakala PAS akan menghadapi Amanah.

Adalah suatu yang sukar untuk memastikan kesahihan laporan ini tetapi kemungkinan untuk ianya berlaku (kerjasama pilihanraya Umno-PAS) tidak boleh dipandang ringan.

Sememangnya, ia adalah logik berdasarkan perkembangan berkaitan hubungan yang semakin erat antara Umno dan PAS.

Kita seharusnya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia akan membuka satu garis yang jelas bagi penjajaran semula politik negara.

Apa yang diperlukan sekarang ialah suatu garis yang jelas, yang mengukuhkan lagi kesatuan di kalangan orang yang menentang Najib.

Dalam beberapa tahun yang lalu, semenjak pembubaran Pakatan Rakyat, ada suara dalam gerakan anti-Najib yang mahu bekerjasama dengan PAS dengan harapan untuk mencapai prinsip “satu lawan satu” dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Jika laporan berita Nanyang ini boleh disandarkan, maka adalah jelas sekarang PAS tidak berminat sama sekali dengan prinsip itu.

Terdapat juga teori jika 4% undi Melayu beralih arah, ia akan menumbangkan Umno jika terdapat kerjasama dengan PAS.

Walau bagaimanapun, dengan cadangan persempadanan pilihan raya yang baru ini, yang memberi kelebihan kepada Umno, maka teori kerusi marginal ini kini diragui.

Saya masih berpendapat bahawa keadaan politik dan ekonomi akan menyediakan asas untuk berlakunya Gelombang Kaum Melayu. Tetapi ini hanya boleh dicapai apabila terdapat garis yang jelas dalam penjajaran semula politik negara.

Kita perlu membuat pilihan, di antara mereka yang mahu mengekalkan status quo, yang menyokong Najib dan juga agenda politik perkauman Umno-PAS, dengan orang yang mahukan perubahan dan pembaharuan, iaitu Pakatan Harapan, kumpulan anti-Najib, bekas ahli Umno seperti pemimpin Bersatu, dan majoriti rakyat Malaysia.

Penyusunan semula perlu bermula dengan orang yang mahukan perubahan dan pembaharuan. Terdapat keperluan mendesak untuk mempunyai satu konsensus bagi menjelaskan garis pemisah ini kerana kepimpinan PAS hari ini hanya seperti cawangan tambahan bagi Umno Najib.

Hubungan Umno-PAS akan meletakkan puluhan ribu ahli PAS dalam keadaan serba salah bila mana ramai di kalangan mereka berjuang menentang Umno dan Barisan Nasional selama berpuluh tahun dengan memakai jenama Islam yang inklusif, yang kini tidak lagi menjadi agenda utama kepimpinan semasa.

Oleh itu, garis yang jelas diperlukan untuk penyusunan semula politik Malaysia demi membentuk pilihan baru bagi rakyat, termasuk ahli PAS yang mahu berjuang menentang Umno dan yang tidak bekerjasama dengan Umno. Liew Chin Tong mengetuai biro pendidikan politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang.

ULASAN GB



Setakat ini Ketua Lajnah Penafian PAS belum keluarkan apa-apa kenyataan atau menafikan laporan Nanyang Siang Pau itu atau belum ada sebarang respons dari pimpinan dua-dua parti, samada PAS atau UMNO.

Namun sebelum ini beberapa kenyataan dari pimpinan PAS dan pemudanya seperti mengiyakan laporan di atas. Contohnya:



Kita berharap ia adalah benar supaya senarionya lebih jelas untuk rakyat membuat pilihan.

Ia adalah hak PAS untuk bersama dengan UMNO dalam apa bentuk hubungan sekalipun. Namun PAS perlu jujur untuk mengakuinya secara terang dan jelas, bukan mewujudkan hubungan dalam gelap seperti sebelum ini.

InsyaAllah, hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kebenaran laksana cahaya matahari akan tetap muncul juga akhirnya sekalipun sekali sekala matahari itu ditutup awan gelap kebatilan.

No comments:

Post a Comment