Tuesday, August 26, 2014

KALAU PR KUAT, PM NAJIB TUMBANG SENDIRI ???

Dia buat lagi. Dr M ulang lagi.

Dulu Pak Lah. Sekarang Najib. Rentaknya serupa. Tarinya saja yang berbeza. Dulu dia kritik, dia hentam. Kemuncaknya dia isytihar keluar UMNO. Maka bertempiklah hulubalang dan dato bendahara UMNO, memujuk dan merayu. Tidak berganjak dia selagi Pak Lah masih bertakhta.

Akhirnya Pak Lah tunduk. Kerana Pak Lah sayangkan UMNO. Pak Lah dari keturunan orang baik-baik, tidak punya cita-cita tinggi melangit, begitu juga isteri tercinta. Pak Lah turun takhta dan anakanda tersisih beberapa ketika.

Dulu perancangan Dr M cepat terlaksana. Ada tangan yang sambut. Ada suara yang menyokong. Kritik bertukar gesaan pindah kuasa. Perbahasan hangat di bahagian, di kedai kopi dan di media massa. Ada orang yang sedia mengganti. Semua ahli sayang UMNO, sayang Dr M. Orang UMNO tak mahu Dr M terus merajuk, takut Dr M dilamar PAS seperti dulu-dulu. Itu yang Pak Lah kena ‘check-mate’ dan terpaksa akur dengan kehendak Dr M dibantu oleh seluruh UMNO.

Tapi kali ini percaturannya berbeza. Tiada ugutan keluar parti. Tiada suara sokongan sana sini. Yang ada cuma suara kecil dari seorang bekas menteri. Akhbar media perdana senyap dan sunyi. Menteri Dalam Negeri bersuara, Menteri Pertahanan mempertahankannya, dan ramailah menteri , Melayu dan Cina nyatakan taat setia kepada Najib. Zaman berbeza, cabaran berbeza, itu kata mereka. Paling akhir Timbalannya bersuara, kali ini tidak menyokong Dr M seperti waktu Pak lah, tapi memberikan sokongan padu kepada bosnya.

Apakah ini tanda sengat Dr M sudah tidak berbisa? Apakah umpan menarik balik sokongannya terhadap Najib tidak berjamah? Apakah orang UMNO dah muak dengan karenahnya? Yang pasti Dr M bukan calang-calang orangnya. Dr M banyak membaca dan berfikir. Dr M pakar strategi. Percaturannya sentiasa mengena. Kalau tak masakan tiga timbalannya kecundang di tengah jalan.

Ramai orang yang bertanya, UMNO dan di luar UMNO, berapa lama lagi Najib dapat bertahan? Apakah Najib akan mengikut jejak Pak lah atau Dr M yang akan mengalah? Masa dan keadaan yang akan menentukan, juga mengikut ketentuan Tuhan.

Banyak faktor yang tidak menyokong dan membantu strategi Dr M kali ini. Biarpun data dan fakta dikemukakan atas kepincangan Najib, tapi tidak didengarnya. Dari prestasi Barisan Nasional (BN) yang lebih buruk di PRU 13, hingga kepada polisi dan cara Najib menangani isu semasa, semua terlondeh dalam chedet.

Yang pasti, UMNO ketandusan pemimpin pelapis yang berkaliber. Buat masa sekarang, tiada siapa yang dapat menggantikan Najib. Walaupun ada orang kata, kalau Najib boleh jadi Perdana Menteri (PM), orang lain pun sebenarnya boleh menggantikannya, malah boleh jadi PM yang lebih baik dari Najib. Tapi hakikatnya tidak demikian pada UMNO Baru hari ini. Inilah mungkin legasi Dr M yang gagal menyediakan pelapis yang berkarisma dan berkaliber. Semua yang bagus dicantasnya. Tinggallah kerak-kerak yang tidak dapat memperbaiki atau membawa UMNO ke mercu yang lebih tinggi.

Timbalannya tidak menunjukkan tanda-tanda inginkan takhta. Mungkin dia menunggu sehingga Dr M tiada, baru rasanya aman untuk berkuasa. Yang nampak riak-riak rasa hanyalah sepupunya dan Menteri Dalam Negeri.

Media arus perdana juga pandai memainkan peranannya. Mungkin ada arahan dari Putrajaya. Dulu kritik Dr M jadi isu perdana, tapi kini bayangnya pun tiada. Mujur ada blog chedet. Dapatlah rakyat mengikuti dan menilai kesahihannya. Sebenarnya apa yang dikata ada benarnya, hanya keikhlasan dan kesungguhan Najib untuk memperbetulkan kepincangan diri dan pemerintahannya. Bukan Dr M nak menjatuhkannya, tetapi untuk menyelamatkan Najib dari terus dibuai cerita dongeng dari pengampu-pengampunya.

Keadaan Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi saingan BN juga penyebab betapa kukuhnya Najib. Walaupun Najib telah dimalukan dengan kegagalannya merampas Selangor biarpun berjuta-juta ringgit telah ditaburkan. Namun krisis Menteri Besar (MB) Selangor menjadikan seluruh orang UMNO melupakan kegagalan Najib. Seluruh perhatian difokuskan untuk merampas Selangor dari PR. Kritikan Dr M dilupakan buat sementara waktu, kalaupun tidak selamanya.

Mereka berharap PR tumbang. Kalau tidak pun, berdasarkan laporan di alam maya, UMNO mempunyai Presiden PAS sebagai kuda tunggangan. Presiden yang begitu beriya-iya untuk menubuhkan ‘Unity Government’ dengan UMNO dan beberapa ADUN PR yang ditawarkan untuk berpaling tadah. Setiakawan dilupakan, janji dimungkiri dan amanah rakyat yang memilih dipinggirkan. Hebat permainan politik Presiden dari Parti Islam ini.

Selagi taufan PR belum reda, selagi itu kedudukan Najib tetap kukuh. Dan perancangan Dr M tidak pasti jayanya. Kita doakan yang terbaik untuk Malaysia.

No comments:

Post a Comment