Bekas Menteri dedah sebab Mahathir kritik Najib
Kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah cabaran kepada pewakilan akar umbi menjelang Perhimpunan Agung Umno November ini, kata bekas menteri kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin.
Bekas menteri penerangan itu berkata, kenyataan Dr Mahathir itu bertujuan menyeru akar umbi supaya berani dan mengkritik perdana menteri daripada sekadar membodek.
"Ini adalah suatu strategi Dr Mahathir yang akan membangunkan gelombang baru dari kocak arus yang tidak kelihatan di permukaan dalam kehilangan keyakinan suatu bangsa yang merasa terumbang-ambing dalam kepimpinan yang tidak jelas dan tidak tegas untuk menjamin masa depan mereka di negara sendiri.
"Gelombang ini diharap akan melanda Perhimpunan Agung Umno," kata Zainuddin dalam tulisan blog terbarunya di zamkata.blogspot.com.
Dalam tulisan terbarunya bertajuk "Apakah tujuan Mahahir tarik balik sokongan pada Najib?", bekas menteri kabinet itu berkata kritikan Dr Mahathir dibuat ketika semua Umno bahagian akan menjalankan mesyuarat sebelum perhimpunan yang dijadualkan November ini.
Beliau yang juga bekas ketua pengarang akhbar Umno, Utusan Malaysia berkata, tujuan kritikan tersebut bagi mencabar semua ahli Umno termasuk pemimpin supaya tampil ke depan untuk menyatakan rasa tidak puas hati.
Sebaliknya, beliau berkata semua perwakilan perlu berani untuk membidas Najib secara terbuka ataupun semasa mesyuarat bahagian mahupun semasa perhimpunan nanti.
Menurutnya, langkah Dr Mahathir itu mampu memberi kesedaran dan mampu menjadi gelombang kuat, menekan Najib yang sedang bergelut dalam krisis antarabangsa dan usaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Namun, Zainuddin tidak menolak penyokong setia Najib, antaranya Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Seri Jamaluddin Jarjis akan mempertahankannya sedaya upaya.
"Tetapi suara Dr Mahathir adalah arus di bawah yang menunggu masa dan saat akan membadai menjadi ribut dan taufan di permukaan yang kelihatan tenang.
"Beliau mengambil tanggungjawab ini dan sanggup menerima apa juga akibatnya kerana beliau sendiri amat kecewa kerana semua nasihat peribadinya dan juga yang mewakili orang ramai tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh Najib," katanya.
Semalam, Dr Mahathir dalam tulisan blognya berkata beliau menarik balik sokongan untuk Najib dan tegurannya kepada pemimpin itu tidak diendahkan.
"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur," kata Dr Mahathir.
Beliau bagaimanapun berkata semalam, kritikannya terhadap Najib bukanlah isu peribadi, dan bukan gesaan supaya pemimpin itu meletakkan jawatan.
"Tidak, saya tidak minta beliau letak jawatan, saya cuma tidak bersetuju dengan polisi beliau," kata Dr Mahathir kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Beliau berkata, Najib terlalu lembut dan lebih suka mendiamkan diri ketika berhadapan dengan masalah.
"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respons, senyap... ada masalah tetapi tidak ambil tindakan.
"Beliau tidak buat dengan baik dalam pilihan raya lepas. Saya harapkan beliau buat lebih baik," katanya.
Awal hari ini, The Malaysian Insider melaporkan akhbar utama Malaysia senyap berkenaan kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran dan polisi Najib lapor The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment