Monday, October 31, 2022

Waa!! Depa Dah Tutup Bilik Gerakan Laa..

 


ARAU: Rentetan desas-desus penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beberapa bilik gerakan BN Parlimen Arau juga mulai ditutup, bermula semalam.

Tinjauan di beberapa bilik gerakan BN di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang yang terletak bawah Parlimen Arau, pagi ini, mendapati kebanyakan bilik gerakan itu ditutup bermula petang semalam ketika khabar angin Shahidan digugurkan daripada senarai calon.

Penutupan bilik gerakan berkenaan dilihat sebagai protes terhadap penolakan pencalonan Shahidan yang sudah menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan selama empat penggal bermula 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Malah, beberapa petugas bilik gerakan BN di sekitar DUN Tambun Tulang juga dilihat mula menurunkan dan mencabut kembali bendera BN yang sudah dikibarkan hampir seminggu.

Bilik gerakan BN Parlimen Arau dilihat jentera politik yang paling awal bertugas untuk berkempen ketika Parlimen dan parti lain belum menggerakkan gerak kerja jentera mereka.

Cubaan untuk mendapatkan Pengerusi BN Negeri Perlis merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Azlan Man gagal kerana beliau dikatakan tidak berada di Perlis, selain tidak mahu komen terhadap apa yang sedang berlaku di Parlimen Arau.

Semalam, kemelut dalaman berkait pemilihan calon BN untuk bertanding kerusi Parlimen Arau pada PRU15 dilihat semakin memuncak selepas Shahidan memberi bayangan bahawa dirinya digugurkan daripada senarai itu apabila semua bilik gerakan BN Parlimen Arau ditutup, selain bendera parti itu juga diturunkan.

Malah sebelum itu beberapa suara akar umbi UMNO Bahagian Arau turut mendesak agar kepemimpinan tertinggi parti terus mengekalkan Shahidan sebagai calon Parlimen Arau pada PRU15.

Mereka memberi peringatan akan memastikan calon UMNO atau BN yang bertanding selepas ini tewas di kerusi berkenaan sekiranya nama Shahidan digugurkan pada kali ini.

Penutupan bilik gerakan parti berkenaan dan penurunan semula bendera BN yang sudah digantung sebaik Parlimen dibubarkan turut dilaporkan menerusi hantaran Facebook oleh Shahidan, malam tadi.

"Malam ini malam kesedihan teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera sudah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah," tulis beliau ~ BH


No comments:

Post a Comment