Masalah orang Melayu memang kerap dibincangkan dalam pelbagai peringkat, tetapi hingga kini masih belum menunjukkan sebarang perubahan signifikan.
Baik ketika atau selepas dijajah dan memperoleh kemerdekaan, isunya masih berputar pada perkara hampir sama, iaitu pendidikan, pekerjaan dan pegangan ekonomi.
Tidak sedikit pemimpin Melayu pernah mengupas masalah itu secara tuntas. Antaranya, Datuk Onn Jaafar yang amat kritis membahaskan isu orang Melayu ketika memimpin pelbagai penerbitan akhbar.
Namun, walaupun dilanda pelbagai masalah belum selesai, apa boleh dianggap sebagai penyelamat membolehkan orang Melayu masih bernafas lega adalah kuasa politik dan memerintah masih dalam genggaman orang Melayu.
Orang Melayu berpegang keyakinan kuasa memerintah akan kekal dan sukar digugat memandangkan negara ini majoritinya adalah mereka.
Ditambah Perlembagaan Persekutuan jelas dan tegas menyebut kedudukan atau keistimewaan orang Melayu, maka mereka tidak gusar terhadap risiko kehilangan kuasa politik untuk memerintah bagi tempoh lama.
Namun, pemikiran begini ada risiko dan implikasi buruk tersendiri. Rasa selesa menyebabkan orang Melayu cukup mudah percaturan dan mengambil enteng dengan kesalahan dilakukan.
Konsep politik naungan dipraktikkan UMNO menyaksikan bagaimana politik dan perniagaan menjadi saudara kembar hampir tidak mungkin dipisahkan.
Konsep ini mengukuhkan UMNO di persada kuasa sebagai kerajaan Persekutuan dalam tempoh enam dekad. Hampir sukar orang Melayu boleh menjadi peniaga berjaya jika tiada kaitan dengan UMNO.
Barangkali, disebabkan konsep politik beginilah, walaupun kerajaan melancarkan pelbagai program ekonomi bertujuan membantu rakyat, hasilnya hanya dinikmati pihak tertentu sahaja.
Adakah ini salah dari segi undang-undang atau tidak, ia terbuka dan perlu dibahaskan dalam kalangan cerdik pandai. Namun, hakikatnya selepas enam dekad, sukar kita menyatakan orang Melayu berada pada tahap membanggakan, sebaliknya muncul pelbagai masalah baharu menghambat orang Melayu.
Mungkin tidak ramai bersetuju, tetapi menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui orang Melayu masih dibelenggu dengan kemiskinan.
Malah menurut beliau, kemiskinan berpunca daripada banyak tanah terpaksa dijual kepada orang bukan Melayu.
RASUAH PUNCA KEMISKINAN TERUS MEREBAK
Namun, jika kita merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 22 September lalu, baginda bertitah dengan tegas meletakkan rasuah sebagai punca kemiskinan terus merebak.
Selain menatijahkan kemiskinan, rasuah juga, titah baginda, menyebabkan kemunduran terus melanda, pertumbuhan ekonomi terbantut, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga.
Lebih memburukkan keadaan, hak rakyat menikmati perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan juga dinafikan.
Bukan sesuatu menghairankan apabila kita melihat sebuah negara atau negeri memiliki kekayaan khazanah, tetapi nasib penduduk tidak berubah, malah infrastruktur awam seperti jalan raya, sekolah dan jambatan seolah-olah berada pada zaman prakemerdekaan.
Mengubah sesuatu dianggap norma tentulah menuntut komitmen cukup besar. Begitu juga rasuah. Terpekik menolak rasuah sahaja tidak cukup untuk memastikan jenayah ini dihentikan.
Namun, harus diingatkan, sikap sambil lewa dan mengambil mudah terhadap jenayah rasuah akan menyebabkan bukan sahaja rakyat, bahkan negara berisiko musnah.
Demikian titah Sultan Nazrin menegaskan apabila tiada kesungguhan membanteras rasuah, perlakuan itu akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan negara bangsa.
LAKSANA PROGRAM CELIK POLITIK
Justeru, langkah pemulihan wajar diambil segera. Sultan sudah bertitah, maka giliran rakyat menjunjung perintah.
Bagi menghadapi situasi cukup meruncing ini, tentulah orang Melayu dalam dilema kerana mereka menganggap perubahan hanya boleh dilaksanakan pemimpin sahaja.
Malangnya, orang Melayu berpecah-belah kerana perbezaan parti politik pelbagai ideologi walaupun dipimpin mereka memiliki anutan agama dan bangsa sama.
Mendepani kesulitan dan krisis ini, cendekiawan perlu membantu rakyat membincangkan model kepemimpinan baharu mempunyai kualiti melakukan perubahan dan berwatak sebagai pendidik atau murabbi.
Watak guru atau pendidik tentunya inginkan golongan dididik menjadi manusia berguna dan bermaruah serta boleh diharapkan menjadi aset negara.
Oleh itu, program celik politik perlu dilaksanakan untuk menyedarkan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya agar memiliki keupayaan menilai serta memilih, sekali gus mengangkat pemimpin berwibawa dan bermaruah demi menyelamatkan masa depan negara.
Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
Ahli Sekretariat Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)
No comments:
Post a Comment