Tuesday, October 4, 2022

PAS: Tak wajar bubar sekarang, PRU15 tak perlu disegerakan

 

mk-logo
BERITA

Diterbitkan:  Oct 4, 2022 9:42 AM
Dikemaskini: 11:00 AM

Pendirian terkini PAS kelihatan tidak sehaluan dengan Umno yang telah membuat keputusan bahawa parlimen perlu bubar dalam masa terdekat bagi membolehkan Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan.

"PAS berpandangan pembubaran parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurut ahli parlimen Marang itu, langkah-langkah pemulihan ekonomi kerajaan perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan

ADS

Abdul Hadi juga berkata parti itu juga akan meneruskan perbincangan dengan semua pihak untuk " mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan."

Jelasnya, ini termasuk rundingan bersama parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah bagi mencapai titik persamaan.

Parti politik selain daripada komponen BN sebahagian besarnya menolak PRU15 diadakan pada tahun ini, terutamanya atas faktor cuaca musim tengkujuh yang kebiasaannya membawa bencana banjir.

Namun, beberapa ahli politik, terutamanya daripada Umno, mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 secepat mungkin.

ADS

Malah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu bersedia walaupun mereka terpaksa mengharungi banjir untuk berkempen.

Pada 30 Sept lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran parlimen tahun ini kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 2 Okt mengingatkan Umno bahawa hak prerogatif untuk memanggil pilihan raya umum kekal berada di tangan perdana menteri bukan ahli parlimen secara individu.

"Umno berapa kerusi? 38? Dalam sistem kita 38 ahli parlimen tidak boleh paksa keputusan," kata presiden PKR itu.

Umno kini mempunyai 37 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara kerana rasuah.

Selain itu, pengkritik berpendapat keputusan MKT Umno bahawa PRU15 mesti diadakan dalam masa terdekat membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada 1 Okt lalu menjelaskan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan pula "amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen."

Untuk rekod parlimen akan terbubar secara automatik pada 16 Julai tahun hadapan, lima tahun dari tarikh ia mula bersidang selepas PRU14. Selepas itu tempoh 60 hari ditetapkan untuk mengadakan pilihan raya.

No comments:

Post a Comment