Monday, October 10, 2022

RAKYAT KECEWA, PRU MUSIM BANJIR MANIFESTASI KERAKUSAN UMNO/BN

 




Respon awal yang diterima susulan pembubaran Parlimen sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob petang tadi ialah rata-rata rakyat kecewa dengan keputusan tersebut.

Hujan lebat juga turun di beberapa negeri mengiringi keputusan itu seolah-olah turut sama bersedih dengan perangai manusia yang lebih mementingkan diri sendiri berbanding nasib orang lain.

Sebaik pengumuman pembubaran itu, saya telah menghubungi beberapa rakan, kenalan dan saudara mara untuk bertanyakan pandangan awal mereka mengenainya.

Saya juga sempat bercakap dengan beberapa pekedai yang saya singgahi sebentar tadi dan mengambil peluang bertanyakan perkara yang sama.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya turut bertemu dua tiga orang jiran dan kemudian melalui Grup Whatsapp jiran-jiran setaman, saya juga cuba mencuit respon mereka berkenaan PRU yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Dalam semua respon yang didapati setakat ini, semua mereka – saya ulang – semua mereka, tanpa sembunyi telah melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan pembubaran itu.

Kata mereka, kenapalah mereka yang berkaitan tidak memikirkan langsung keadaan negara dan cuaca yang sedang melanda sekarang ini?

Yang lain pula berkata, apa guna Jabatan Meteorologi mengeluarkan kenyataan media dan amaran berkenaan ancaman hujan lebat dan banjir jika orang-orang yang berkuasa tidak memperdulikannya?

Mengapa juga mereka tidak boleh bersabar sedikit sehingga Mac depan untuk mengadakan PRU, sebagaimana diramalkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa ketika itu sudah berakhir musim tengkujuh dan hujan lebat?

Secara umumnya, mereka menempelak UMNO dan BN kerana terlalu dan tidak henti-henti memberi tekanan kepada Ismail Sabri agar segera memohon pembubaran Parlimen.

Mereka sebenarnya sedar Ismail Sabri tiada pilihan lain selain akur dengan kehendak UMNO, BN dan Zahid Hamidi.

Ismail Sabri sebenarnya amat disedari oleh banyak pihak tidak begitu mahu PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, tetapi kemampuan beliau untuk menahan kehendak dan kerakusan UMNO dan BN untuk berkuasa sepenuhnya dan secara solo begitu terhad sekali.

Maka, itulah yang difahami ramai mengapa pembubaran Parlimen dicadangkan dalam waktu yang tidak sesuai ini.

Kini, dengan cuaca mendung bertarusan sejak beberapa hari lalu dan banjir juga telah berlaku di beberapa negeri, kita berserah kepada Allah sajalah jika selepas ini hujan terus turun tidak henti-henti dan banjir lebih besar berlaku di kebanyakan negeri.

Kalau Shah Alam yang selama ini tidak pernah banjir pun boleh dilanda banjir besar tidak lama sebelum ini, tidak mustahil sesuatu yang tidak terduga juga akan berlaku selepas ini jika itu yang dikehendaki Tuhan.

Kerakusan UMNO dan BN di bawah kepimpinan sedia ada ini memang sukar mahu dikompromi, tetapi mereka boleh diajar jika rakyat bersatu hati dan menolak mereka sekali lagi.

Nasib kita harus kita sendiri yang menentukannya, jangan kita berharap kepada sesiapa selain Yang Maha Kuasa. – ShahbudinHusin 10/10/2022.

No comments:

Post a Comment