Bajet 2023 berkemungkinan bakal ditolak blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jika tiada jaminan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadaka pada tahun depan bukan tahun ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan meneliti terlebih dahulu perkembangan semasa bagi menimbang untuk menolak Bajet 2023 sekiranya UMNO berterusan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen selepas pembentangan pada 7 Oktober nanti.
“Kita sedang teliti (untuk menyokong atau menolak Bajet 2023).
“Kita nak tekankan soal pengurusan kerajaan dan rasuah, projek yang tidak telus seperti masalah pembelian ubat-ubatan termasuk vaksin, kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) mengenai 5G yang sampai sekarang belum ada ketelusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia hari ini kepada media.
Sebelum ini, PH menyokong Bajet yang dibentang kerajaan Ismail Sabri susulan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai 13 September tahun lalu.
Kegagalan usul atau Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan akan menjadi satu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan.
Syarat itu bagaimanapun tertakluk penunaian dan pelaksanaan transformasi yang dipersetujui dalam MoU berkenaan, selain usul dan RUU yang dibentangkan kerajaan perlu dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kedua-dua pihak.
Untuk rekod, UMNO baru-baru ini memutuskan Ismail Sabri akan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.
Malah, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebelum ini sedia meredah banjir untuk berkempen sekalipun PRU-15 terpaksa diadakan semasa musim tengkujuh pada hujung tahun.
No comments:
Post a Comment