Sunday, October 2, 2022

Parti mana hendak disokong?

 


RENCANA KHAS

SAYA sering ditanya oleh rakan-rakan media sosial (medsos) khasnya dari kalangan anak muda, parti mana yang hendak sokong dalam pilihan raya akan datang. Saya faham kenapa mereka mengajukan demikian kerana mereka tidak begitu arif dengan "fiil rupa" parti politik. Mereka orang baru yang mengikuti perkembangan politik lewat medsos.

Pertanyaan sebegitu juga tidak terkecuali datang daripada mereka yang berparti, dan ada yang memegang jawatan diperingkat cawangan, bahagian atau kawasan. Ini sedikit memelikkan saya kenapa sampai begitu sekali. Apakah mereka menyertai parti dahulu dibuat bukan atas kesedaran atau ketaakulan sendiri, sebaliknya kerana ikut-ikutan atau pun disuruh menyertai parti politik?

Telatah golongan pertama itu tidak menghairankan kerana mereka orang baru. Tetapi golongan kedua itu agak pelik sedikit. Kenapa mereka bertanyakan saya, walhal mereka setengah adalah pejuang parti, bahkan ada yang terbabit sebagai pengasas parti berkenaan.
 
Situasi ini berlaku ada beberapa sebab musbab yang berbeza; bagi mereka yang pertama kali akan mengundi, menjadi pengundi kerana didaftar secara automatik,  dan akan mengambil bahagian mereka agak jahil dan kabur tentang parti politik. Justeru mereka mahukan pencerahan dan penjelasan. 

Mereka seperti ini wajar kalau mereka bertanya sesiapa sahaja yang mereka yakin rasa dapat memberi penjelasan baik. Sebaliknya yang sudah menjadi ahli parti politik agak aneh kalau mereka seolah-olah tidak tahu parti mana yang hendak dipilih.

Mungkin kenapa mereka bertanya saya, kerana mereka berpendapat memandangkan saya dikira banyak mengetahui hal-hal parti politik. Beberapa catatan saya mengenai parti politik diikuti, lantaran itu mahu kepastian dengan bertanya saya langsung.

Sementara mereka yang sudah berparti, ada jawatan; bertanya saya kerana konfius dengan parti mereka. Mereka tidak dapat menyaring terhadap tuduhan kepada parti mereka. Segala fitnah dan tohmahan kepada parti mereka benar-benar mengganggu minda mereka. Ukuran juga dibuat mungkin dengan melihat dan mengalami sendiri perasaan tidak tenang atau selesa dalam partinya.

Misalnya apabila berlaku perebutan jawatan dalam parti mereka huni. Wujudnya politiking dalam parti. Atau pun setelah membuat penilaian ada pemimpin yang tidak sepatutnya memegang jawatan penting dalam parti, tetapi dibiarkan. Sebaliknya mereka yang dilihat lebih bekelayakan, ada bakat kepimpinan ada leadership dibiarkan berada di luar.

Itulah antara sebab musabab kenapa mereka jadi konfius, keliru dan mengajukan pertanyaan kepada saya. Boleh jadi mereka bertanya saya untuk dijadikan pertimbangan atas apa yang mereka fikir. Atau dijadikan perbandingan sebelum mereka membuat keputusan muktamad. Atau mungkin sekadar mahu menguji saya. Tetapi untuk apa?

Secara jujur, saya menjawab dengan penuh kehematan tidak cuba mempengaruhinya agar berbuat sesuatu kepada parti yang mereka sokong mengikut naluri saya. Sementara kepada yang tidak berparti saya mejelas dan menghuraikan satu-satu mengenai sesebuah parti itu, baik sejarahnya, pencapaiannya dan juga sifat pemimpinnya yang ada. 

Empat buah parti.

Dalam hal ini saya sering menyebut, ada empat buah parti sahaja yang menjadi perhatian saya, yang saya kira patut diberikan sokongan. Atau mereka yang berhajat untuk memilih parti dalam pilihan raya nanti, terdapat empat buah parti sahaja; parti-parti itu ialah Umno, Keadilan, Pas dan DAP.

Kepada saya empat parti ini sudah mewakili kesemua citarasa yang diingini oleh rakyat negara ini. Umno parti bernuansakan bangsa (Melayu), Pas bernuasanakan agama (Islam) sementara Keadilan parti berfahaman liberal yang membawa keadilan dan kesaksamaan untuk berbilang kaum dan DAP parti yang mirip kepada chauvenisme Cina. 

Keempat-empat parti ini juga idealismenya jelas, Umno nasionalisme, Pas agamanisme, Keadilan leberalisme untuk semua tanpa mengira kulit, manakala DAP sosialis demokrkat, yang yakin dengan sistem keadilan menerusi demokrasi.

Apa yang saya maksudnya dengan nasionalisme ialah bangsa Melayu. Umno menjadikan soal dan kepentingan bangsa sebagai matlamat utama perjuangan. Umno ditubuhkan untuk membebaskan bangsa Melayu yang dijajah. Kandati setelah negara mereka, Umno masih terus memperjuangkan soal bangsa. Ketaksuban Umno kepada perjuangan ini sehingga ia dianggap parti bersifat kaumiyah assobiyah.

Manakala Pas pula menjadi soal agama, kepentingan agama sebagai matlamat dan tujuannya. Pas bercita-cita untuk menyerap nilai-nilai Islam dalam semua aspek kehidupan dengan kemuncaknya mewujudkan perundangan Islam di negara ini. 

Keadilan pula yang semangatketerbukaan, berjuang untuk memberi keadilan dan kesaksamaan semua kaum di Malaysia dengan menjadikan Melayu sebagai asas dan tunjang perjuangan. Manakala DAP, sebuah parti memperjuangkan konsep sosialis demokrat. Memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat dalam rangka demokrasi sistem ciptaan manusia, sekular. 

Itulah asas untuk memberi sokongan kepada parti-parti itu. Masing-masing boleh membuat penelitian sendiri apakah yang menarik perhatian masing-masing dan sesuai dengan jiwa masing-masing. Rasanya tidak ada parti lain lagi yang memiliki idealisme dan tujuan serta matlamat perjuangan selain daripada itu. Kalau ada parti baru diwujudkan, ia juga berpegang kepada konsep dan matlamat yang sama.

Di sini tidak perlulah saya menghurai satu persatu parti yang wujud kemudian daripada empat parti asal ini. Kerana idealisme, konsep dan perjuangan yang dikandung oleh parti itu sudah mencukupi. Adapun parti yang terkemudian hanya menciplat atau mengubah suai idealogi dan matlamat seperti diperjuangkan empat parti asal itu sahaja. Begitu juga dengan uslub atau approach antara parti politik hampir sama sahaja.  

Cuma dalam sudut lain, mungkin juga boleh dijadikan ukuran dan pertimbangan untuk kita menyokong sesuatu parti itu ialah dengan melihat kepada sejarah atau track record perjuangan parti. 

Misalnya mereka berikrar kepada rakyat untuk membela nasib rakyat, apakah ia dilakukan dengan penuh keadilan dan saksama seperti mana dijanjikan. Atau ia sekadar retorik dan omong kosong semata-mata. Apakah intipati diperjuangkan itu sampai dan bermanfaat kepada kita.

Apatah lagi kepada parti yang pernah diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Apakah disepanjang mereka memerintah mereka melaksanakan apa yang menjadi cita-cita mereka itu. Atau pun sekadar retorik dan janji-janji palsu sahaja. Kepada parti yang berpeluang menjadi kerajaan seperti Umno cukup baik menilainya daripada peluang yang diberikan itu.

Adapun parti yang tidak berpeluang menjadi kerajaan, track record atau pencapaian mereka tidak boleh dijadikan perbandingan. Apa lagi kalau mereka hanya sempat menjadi kerajaan dengan menempel kepada parti lain, apa lagi dalam jangka masa yang pendek.

Selain daripada perkara itu, hal lain yan boleh dinilai juga untuk menyokong sesuatu parti itu ialah pemimpinnya. Sesuatu parti itu ada pemimpin utamanya. Pemimpin inilah yang boleh dijadikan kayu ukur yang tepat untuk memilih parti. Tidak ada guna parti mempunyai matlamat dan tujuan yang baik, tetapi kalau pemimpin mereka tidak ada wibawa untuk mencapai apa dihajat itu.

Kombinasi pemimpin dengan matlamat dan dasar parti adalah penting yang boleh dijadikan titik nilai. Ada beberapa perkara yang boleh dinilai daripada pemimpin ini. Antaranya kebolehannya atau leadership, prinsip dan juga saksyiah dirinya. 

Sebuah parti yang dikira mantap itu ialah mempunyai pemimpin yang mempunyai ciri-ciri dan sipfat demikian. Sekadar pemimpin itu popular, atau pun hebat dalam pedato semata-mata tidak mencukupi. Yang lebih penting pemimpin berprinsip dan tidak mudah menjual beli prinsip perjuangannya.

Selain itu pemimpin yang tahan diuji juga adalah kriteria yang patut dihitung sama. Aspek ini jarang berlaku dan ia terjadi kepada pemimpin yang ulet dan hebat sahaja. Setengah pemimpin akan kalah apabila ditimpa cabaran dan dugaan seperti dipenjara dan sebagainya.

Kesimpulannya untuk untuk memilih parti politik yang diharap akan membentuk kerajaan, biarllah kombinasi antara parti yang ada track record, berprinsip dan bersih manakala pemimpin yang bersaksiah dan tidak ada terbabit dengan kegiatan atau perbuatan bobrok apa lagi yang jelas boleh merosakan negara dan bangsa. [wm.kl. 11:19 am, 02/10/2022]

No comments:

Post a Comment