Majlis Pemulihan Negara (MPN) diterajui Muhyiddin Yassin akan dibubarkan jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, MPN atau majlis seakan badan itu akan dibubarkan kerana tidak mempunyai fungsi jelas dan bertindih dengan agensi kerajaan lain, selain hanya digunakan bekas perdana menteri itu sebagai platform propaganda politiknya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendakwa, Muhyiddin menjadikan MPN sebagai platform politik dengan mengambil contoh kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Katanya, Muhyiddin menggunakan cadangan majlis itu sebagai bahan bagi menggambarkan seakan kerajaan akan gagal jika cadangannya tidak dilaksanakan.
Zahid berkata demikian sebagai membalas kritikan Muhyiddin terhadap Putrajaya yang membidas kelewatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertindak ke atas beberapa cadangan MPN.
“Selain fungsi MPN yang bercelaru, pengerusi MPN yang bukan seorang perdana menteri dilihat melemahkan majlis itu sendiri.
“Meskipun MPN dianggotai oleh pakar-pakar dan ‘subject matter experts’ (pakar dalam bidang masing-masing), namun keberadaan pengerusi MPN yang bukan ketua eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang political will (kehendak politik) dan mungkin juga dilihat tidak perlu,” katanya di Facebook.
Katanya, menteri pula sentiasa menyelaras fungsi untuk membawa dasar di peringkat kementerian untuk dibawa ke Kabinet sebelum dilaksanakan.
“Itu sahaja sudah mencukupi untuk kerajaan berfungsi dan berjalan dengan baik,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menjelaskan, cadangan dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri menerusi memorandum pada 18 Mei berhubung masalah aliran tunai dan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ini termasuk cadangan spesifik membenarkan bank meneruskan program moratorium untuk PMKS, katanya.
Bagaimanapun, Ismail hanya memaklumkan pada bulan ini bahawa beliau akan membincangkan perkara itu dengan kementerian berkaitan sebelum membuat keputusan.
Secara keseluruhan, MPN mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan pentadbiran Ismail, dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus, kata Muhyiddin.
Daripada 86 saranan yang diluluskan, hanya 16 saranan dilaksanakan sepenuhnya, 30 sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 14 masih belum dilaksanakan.
Membalas kenyataan itu, Zahid berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya merungut jika ada cadangan MPN yang ditolak.
“Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik…Dengan kerajaan yang melaksanakan 16 daripada 69 cadangan MPN, menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangannya meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya.
No comments:
Post a Comment