Monday, May 18, 2020

Rakyat berhadapan masa depan yang sukar, jangan heret negara ke kancah politik lagi -YDP Agong



PARLIMEN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Titah Seri Paduka, sejurus selepas peletakkan jawatan Dr Mahathir Mohamad, baginda telah mengadakan  pertemuan dengan semua ahli parlimen pada 25 dan 26 Februari.

Memperjelas rentetan kemelut politik negara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pelantikan perdana menteri kelapan dibuat selepas parti-parti politik diberi masa yang mencukupi untuk membuat perhitungan secara demokrasi bagi menamakan calon masing-masing.

"Sekitar jam 5 petang pada 24 Februari, beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam pertemuan itu, beta telah meminta Tun Dr Mahathir untuk tidak meletak jawatan (sebagai perdana menteri). Namun beliau tetap dengan keputusannya,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, pada 25 dan 26 Februari 2020, Tuanku telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli dewan rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

"Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli dewan rakyat sebagai bakal perdana menteri.

"Atas permintaan beberapa ketua parti politik, Beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

"Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

"Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan perlembagaan persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya di-lantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

"Sesungguhnya, Beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita," titah Seri Paduka Baginda.

Titah Seri Paduka, pada masa yang sama, Tuanku juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika bagi menggalas amanah tersebut.

"Kepada kerajaan Beta di bawah kepimpinan memanda Perdana Menteri, yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

"Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata," titah Tuanku.

Sidang Parlimen ini adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas pertukaran kerajaan.

Naratif landskap politik negara telah digegarkan dengan kancah politik setelah peletakan jawatan perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas tidak sampai dua tahun mentadbir Putrajaya.

Mengenai perpaduan masyarakat majmuk negara ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan mengenai polarisasi kaum yang masih wujud dan mahu semua kaum menunjukkan sikap dan teladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan.

Titah Seri Paduka, sebarang bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang negara biarpun dilakukan hanya segelintir pihak perlu dibendung sebelum merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara.

“Beta menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinisip Rukun Negara.”

Al-Sultan Abdullah menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahankan dan pada masa sama penganut agama lain bebas mengamalkan hak-hak dan agama mereka secara berhemah dan aman.

Teguran buat Ahli Politik

"Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta ingin berpesan kepada ahli-ahli yang berhormat sekaliannya. Sebagai seorang pemimpin, ahli-ahli yang berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat."

"Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci. Sebaliknya, perbezaan pendapat seharus-nya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatu-padu-kan negara.

"Ahli-ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti ugama dan bangsa mahu-pun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu.

"Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

"Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini. Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan."titah baginda.

-Tun Carlos

https://www.tuncarlos.com/2020/05/rakyat-berhadapan-masa-depan-yang-sukar.html?m=1

No comments:

Post a Comment