Monday, May 4, 2020

HUBUNGAN UMNO DENGAN MUHYIDDIN JELAS ADA TANDA2 SEMAKIN TIDAK BAIK


Dalam tempoh terdekat ini, sekurang-kurangnya sudah dua kali Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan membuatkan Perdana Menteri, Muhyiddin berada dalam keadaan tidak sedap hati.
Minggu lepas, beliau secara berterus-terang mengatakan UMNO sama sekali tidak berada dalam dilema tentang hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.
PN, tambahnya, bukanlah sebuah entiti politik yang berdaftar dan kerana itu hubungan UMNO dalam gabungan kerajaan itu dan Bersatu hanyalah sehingga PRU15 saja.
Untuk PRU15 akan datang, tegas Tok Mat lagi, UMNO serta BN hanya ada perjanjian dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dan tidak dengan PN atau Bersatu.
Dengan kata mudah, penegasan beliau itu menunjukkan UMNO dan BN akan meninggalkan Bersatu dan Muhyiddin sebaik saja Parlimen dibubarkan.
Maknanya, apa nasib Bersatu dan bagaimana ia mahu membawa diri dalam PRU15 akan datang, pandai-pandai nak hidup dan membawa diri.
Siapa pun dalam kedudukan Muhyiddin, pasti akan berasa tidak sedap hati, kalau pun tidak tersinggung dengan kenyataan Tok Mat itu.
Semalam pula, Tok Mat mengesahkan beliau telah ditawarkan untuk sebuah GLC, tetapi membuat keputusan menolak tawaran tersebut.
Beliau dikatakan menolak perlantikan itu kerana mahu menumpukan usaha memperkukuhkan parti menghadapi pilihanraya umum datang.
Sebelum ini viral tentang beberapa tawaran Muhyiddin untuk menerajui GLC kepada pemimpin UMNO dan Tok Mat disebut ditawarkan untuk menerajui TNB.
Bersama kenyataannya minggu lalu dan keputusan terbaru menolak tawaran menerajui GLC, rasa tidak sedap hati Muhyiddin terhadap UMNO dan Tok Mat mungkin sudah di paras yang lebih tinggi sekarang ini.
Tok Mat dengan jelas benar-benar mahu membawa UMNO, BN dan MN kepada persada kuasa selepas PRU akan datang dan tidak terliur dengan jawatan dalam kerajaan tidak berdaftar PN yang dibuat oleh Muhyiddin kepadanya.
Dalam waktu yang sama, Tok Mat seolah-olah mengajak seluruh ahli UMNO menilai kembali bahawa walaupun bersama dalam kerajaan, kedudukan parti itu adalah dalam hireaki ketiga dari segi keutaman oleh Muhyiddin.
Melalui perlantikan kabinet dan kementerian yang diamanahkan, tanpa keraguan menunjukkan Muhyiddin lebih mengutamakan kelompok Bersatu, termasuk Ahli Parlimen yang melompat daripada UMNO dan kem Azmin Ali, meskipun mereka mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang sedikit berbanding UMNO.
Sementara itu, seorang Ahli MT UMNO, Tajuddin Abdul Rahman pula membidas pemimpin-pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan dengan menganggap mereka sudah terpesong hala tuju.
Para pemimpin UMNO, kata beliau sepatutnya terus memperkukuh kerjasama dengan Pas dalam MN, manakala keberadaan mereka dalam PN hanya membabitkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen semata-mata.
“Sepatutnya kita teruskan usaha memperkukuhkan MN untuk siap siaga hadapi PRU-15.
“Tapi malangnya ada orang sudah terpesong hala tuju yang sepatutnya ditumpukan untuk hadapi PRU-15 tetapi digunakan untuk ambil bahagian dalam kerajaan.
“MN macam sudah tidak penting, yang penting dapat masuk kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak di Perak.
Dengan kenyataan ini, tidak dipastikan sama ada ia membayangkan Tajuddin yang turut ditawarkan menerajui GLC, Prasarana Bhd, akan mengikuti jejak Tok Mat menolak sama tawaran Muhyiddin terhadapnya.
Jika beliau menolak tawaran itu, sama seperti Tok Mat, maka ia benar-benar merupakan tamparan kepada Muhyiddin yang masih terumbang-ambing dari segi kedudukan sokongan majoriti di dalam Parlimen.
Apa pun, mahu tidak mahu, Muhyiddin tentu saja mulai berasa hati UMNO sekarang ini, terutamanya dengan kenyataan dan pendirian Tok Mat itu.
Kalau Tajuddin juga mengambil pendirian yang sama, sesuai dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang ada undi di Dewan Rakyat, tahap stress dan tekanan darah tinggi Muhyiddin barangkali akan meningkat dengan sendirinya.
Yang pasti, perkembangan ini memperlihatkan hubungan UMNO dengan Muhyiddin dan kedudukan parti itu dalam PN juga semakin berada dalam keadaan yang tidak baik, walaupun hanya kira-kira dua bulan bersama-sama membentuk kerajaan baru melalui tebuk atap.
Dengan perkembangan ini, berapa lama lagi Muhyiddin mampu bertahan menghadapi tekanan dan karenah UMNO?

No comments:

Post a Comment