Monday, May 4, 2020

KALAU ASYIK BERCAKARAN BEGINI, BUAT APA DUDUK SERUMAH LAGI?


Hubungan Bersatu dengan UMNO di Johor kini bolehlah diibaratkan seperti suami isteri atau rakan kongsi perniagaan yang asyik bergaduh saja kerjanya setiap hari.
Setiap hari, kedua-dua mereka sibuk berbalas-balas kenyataan menyalahkan satu sama lain.
Mereka pula bukannya bergaduh di dalam rumah atau di bilik mesyuarat, tetapi secara terbuka sehingga suara bertengkar didengari oleh semua jiran dan kawan-kawan.
Namun demikian, dalam salah- menyalah dan tuding-menuding itu, kedua-dua mereka masih lagi sanggup tinggal serumah atau dalam satu pejabat yang sama.
Aneh bukan?
Ketika bersama PH dahulu, Bersatu di Johor adalah parti yang gah, megah dan bermaruah kerana kerusi ketua kerajaan negeri adalah miliknya.
Dengan memiliki kerusi Menteri Besar itu, Bersatu boleh memberi serta mengagih-agihkan jawatan kepada pemimpin-pemimpin dalam PH dan juga mereka daripada parti itu.
Tetapi, kerana Muhyiddin Yassin cuba melakukan “barter trade” dengan UMNO bagi memudahkannya mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri, Bersatu Johor diarahkan keluar dan seterusnya bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan baru.
Susulannya, jawatan Menteri Besar dilepaskan untuk diberi kepada UMNO yang kalah dalam PRU14 lalu.
Ikut logiknya, dengan pengorbanan menyerahkan jawatan Menteri Besar itu, UMNO setidak-tidaknya tahu mengenang budi dan tidaklah terlalu melekehkan Bersatu sebagaimana Muhyiddin memberi banyak jawatan dalam kabinet dan GLC kepada UMNO.
Namun, walaupun duduk kerajaan yang sama, Bersatu telah dipinggirkan dalam beberapa jawatan GLC negeri.
Pemimpin Bersatu yang sedia berada dalam GLC pun ada yang dipecat dan digantikan dengan pemimpin UMNO.
Tidak tahan terus dipinggirkan, Bersatu akhirnya bersuara menuntut keadilan tentang kedudukan dalam
GLC dan juga penyelaras DUN.
Bagaimanapun, UMNO Johor yang beroleh kuasa melalui tebuk atap terlihat begitu angkuh dan sombong terhadap Bersatu.
Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Johor, Khaled Nordin berkata, pemberian jawatan kepada Bersatu dalam GLC negeri bukan penentu kepada kukuhnya PN di negeri itu.
Anehnya, Khaled yang baru beroleh jawatan lumayan sebagai Pengerusi Boustead sebelum ini begitu lantang menuntut kepada Muhyiddin Yassin agar UMNO diberikan jumlah jawatan kabinet yang adil bagi menggambarkan kerjasama parti itu dalam kerajaan baru di Pusat.
Kenapa kini beliau begitu mudah berdolak-dalik?
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed pula berkata, pemimpin Bersatu negeri tidak harus bercakap banyak menuntut itu dan ini, sebaliknya hendaklah mencermin diri terlebih dahulu.
Malah, beliau juga mencabar Bersatu berlawan dengan UMNO dalam pilihanraya negeri.
Ternampak bahawa kedudukan Bersatu Johor tidak ubah seperti pengemis yang dipandang hina oleh orang kaya yang ada sifat sombong dalam hatinya.
Pendeknya, dalam kemelut di Johor sekarang, daripada parti yang bermaruah dalam PH, Bersatu sudah pim bertukar seperti “sampah” dalam PN.
Soalnya, apakah Bersatu mahu terus diperlakukan begitu hina secara berterusan oleh UMNO Johor?
Buat apa tinggal serumah atau duduk di pejabat yang sama jika asyik bertengkar setiap hari dengan pasangan atau rakan kongsi yang berakibat daripada banyak permintaan tidak mahu dipenuhi?
Bukankah bercerai atau pecah kongsi lebih baik dan tindakan lebih bermaruah demi kebahagiaan sendiri daripada terus bersama, tetapi terseksa diri? (01/05/2020)

No comments:

Post a Comment