Monday, May 4, 2020
Mat Hasan lebih wajar dilantik dalam kabinet, bukan dalam GLC'
M Fakhrull Halim & Shakira Buang
Diterbitkan 4 May 2020, 10:16 pm
Dikemaskini 4 May 2020, 10:56 pm
Sebagai Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan lebih wajar dilantik ke jawatan dalam kabinet dan bukan sekadar dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata lantikan sebegitulah yang lebih wajar diberikan buat Mohamad, sesuai dengan kedudukannya sebagai orang nombor dua di dalam Umno.
“Dia bekas menteri besar. Timbalan Presiden Umno tak harus hanya mengepalai GLC. Dia sepatutnya berada dalam kabinet, sesuai dengan kedudukannya di dalam Umno,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur petang tadi.
Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas penolakan Mohamad bagi menerajui sebuah GLC.
Untuk rekod, Mohamad ketika ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau. Seseorang yang dilantik memegang jawatan kabinet biasanya merupakan ahli parlimen.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Mohamad wajar dilantik sebagai senator untuk menjawat jawatan dalam kabinet, malah layak dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
“Ada sesetengah orang kata (lantikan sedemikian) tak pernah terjadi sebelum ini, tapi mempunyai jawatan menteri kanan tanpa ada timbalan perdana menteri pun tak pernah terjadi sebelum ini.
“[...] Dia (Mohamad) bukan ahli parlimen kerana dia mahu menerajui Negeri Sembilan (sebagai menteri besar). Kalau dia bertanding kerusi parlimen, senang-senang dia boleh menang,” katanya lagi.
Struktur kabinet Muhyiddin Yassin ketika ini tidak mempunyai timbalan perdana menteri, sebaliknya perdana menteri itu dibantu oleh empat menteri kanan.
Ketika mengumumkan jemaah menteri pada 9 Mac lalu, Muhyiddin berkata tiada keperluan untuk melantik timbalan perdana Menteri dalam barisan kabinet buat masa ini.
Mohamad Hasan.
Sebelum ini, berdasarkan satu senarai lantikan yang tersebar di media sosial, Mohamad, dikatakan bakal menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain Mohamad, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut akan dilantik sebagai pengerusi Petronas; naib presiden Mahdzir Khalid sebagai pengerusi TM; Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.
Mahdzir dan Tajuddin menyatakan mereka belum mendapat apa-apa pengesahan berkenaan khabar angin tersebut.
Kelmarin, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengaku menolak pelantikan bagi menerajui sebuah GLC, namun tidak mengulas lanjut tentang sebab berbuat demikian.
Keputusannya itu mengundang spekulasi beberapa pihak tentang alasan penolakannya, malah ada yang membanding-bandingkan keputusan Mohamad dengan anggota-anggota Parlimen Umno lain yang menerima lantikan menerajui agensi dan GLC.
Hormat keputusan Mohamad
Sementara itu, Anggota Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub meminta semua pihak menghormati keputusan Mohamad menolak lantikan tersebut, dan menyifatkan soal menerima atau menolak sesuatu lantikan sebagai hak individu.
“Jangan menuduh Datuk Mat Hasan (Mohamad) perkara yang bukan-bukan. Mungkin ada sebab yang orang tak tahu. Dia bukan merajuk, dia bukan meminta (demand) jawatan yang lebih besar. Tak ada.
“Mungkin dia hendak tumpukan sepenuhnya untuk membantu presiden (Ahmad Zahid Hamidi), di saat parti akan menghadapi PRU (pilihan raya umum) - cabaran kali pertama Umno akan memasuki gerbang PRU sebagai parti yang bukan teraju utama.
“Dulu kita teraju utama, sekarang ini (walaupun) kita dalam kerajaan, tetapi kita bukan teraju utama, maka perlukan kepada tumpuan. Jangan salahkan Mat Hasan. Kita mesti hormati keputusannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau dipercayai merujuk kedudukan Umno sebagai parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN), yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Bersatu.
Sebelum ini, terdapat sumber dalam Umno memberitahu Malaysiakini pandangan senada, bahawa Mohamad menolak lantikan itu kerana ingin “memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya umum” akan datang.
Untuk rekod, Ahmad Jazlan sendiri baru bulan lalu dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), berkuat kuasa 8 April 2020.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Jazlan, penolakan lantikan bukanlah terlalu pelik kerana sebelum ini pun pernah ada individu menolak lantikan jawatan kabinet, malah ada yang menolak cadangan lantikan seawal peringkat rundingan lagi.
Malah kata bekas timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu, jawatan yang diterima bukanlah untuk bermegah-megah, tetapi satu tanggungjawab yang terlalu besar, untuk negara dan rakyat.
Oleh itu, katanya, boleh jadi, seseorang itu menolak lantikan kerana berasakan bidang asas entiti yang bakal diterajuinya itu tidak kena dengan minatnya, atau khuatir tidak dapat menumpukan masa secukupnya bagi melunaskan tanggungjawab yang bakal digalas.
Bagi dirinya sendiri, kata Ahmad Jazlan, dia yakin dapat mencurahkan bakti terhadap MPOB yang diterajuinya kini, malah bersedia melepaskan jawatan sekiranya didapati gagal melunaskan tanggungjawabnya.
“Kita orang politik ini kita kena bersedia untuk mengambil tanggungjawab yang kita rasa kita boleh buat. Kalau kita (rasa) tak boleh buat, lebih baik jangan terima.
“Saya rasa saya nak cuba, saya rasa saya boleh buat dengan MPOB ini, membantu kerajaan di dalam keadaan sawit yang tak menentu.
“Kalau tak boleh (berkhidmat dengan baik), saya bersedia bila-bila masa untuk melepaskan jawatan,” katanya lagi.
Sejumlah anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) sudah disahkan dilantik ke dalam GLC dan agensi kerajaan.
Antaranya yang terbaru, lima anggota Parlimen dilantik menerajui lima agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), termasuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) sebagai pengerusi Mara dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok) sebagai pengerusi Kesedar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment