Tuesday, March 15, 2016

Perjuangan Suci..!



Kata baling gelas pun tak pecah..!

Apa yang gawat???

PEMECATAN DAN POPULARITI

1. Saya telah dipecat dari Petronas. Keputusan itu dibuat oleh Kabinet. Ini mestinya sangat penting bagi Kerajaan.

2. Sebenarnya saya telah pun meletak jawatan dari Petronas beberapa lama yang lalu. Tetapi Petronas enggan menerima peletakan jawatan saya atau menerima elaun yang saya kembalikan. Mereka berkeras memasukkan ke dalam akaun saya elaun bulanan saya. Saya meletak jawatan itu kerana saya fikir tidak perlu saya menjadi penasihat yang bukan menasihati dan dibayar gaji untuk tidak melakukan apa-apa.

3. Sekarang ini penyokong Najib mahu saya dipecat daripada Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP). Kedua-dua bukan milik Kerajaan. Tetapi ini sudah tentu adalah hanya halangan kecil untuk sebuah Kerajaan yang boleh membuat tuduhan terhadap sesiapa di bawah undang-undang untuk membendung keganasan. Perkara-perkara yang jahat boleh dilakukan, seperti mengancam untuk membankrapkan Proton atau mengganggu orang-orang yang mendirikan YKP supaya saya akan dibuang. Ini sudah tentunya democratic sepenuhnya.

4. Media yang bebas di Malaysia menyatakan Najib semakin kuat dan lebih ramai orang menyokong beliau. Lihat sahaja gambar-gambar rakyat menyokong beliau. Mereka semua memakai baju merah dan beberapa pemimpin UMNO menunjukkan sepanduk “Solidariti Bersama Najib”.

5. Jelas sekali persembahan sokongan mereka adalah spontan, terlalu spontan sehingga mereka dengan segera membeli baju merah dan mencetak kad “Perpaduan Dengan Najib”, sempat untuk jurugambar-jurugambar.

6. Sesungguhnya Najib adalah sangat popular. Tetapi beberapa orang keras kepala tidak berfikir demikian. Sekalipun demonstrasi berbaju merah yang dianjurkan oleh Jamal Yunos, diambil bahagian oleh orang-orang Felda yang dibawa dengan bas dan diberikan makanan percuma untuk menentang demo Bersih yang, menurut penyokong Najib, dianjurkan oleh Cina untuk menggulingkan Kerajaan Melayu, masih tidak meyakin rakyat mengenai populariti Najib.

7. Apa yang sebenarnya akan meyakinkan orang ramai ialah referendum atau pungutan suara di mana setiap pengundi di negara ini dapat meluahkan sokongan mereka terhadap Najib. Mungkin ia juga berguna untuk menunjukkan bagaimana Dr Mahathir (saya tu) adalah salah dalam mendedahkan skandal kewangan beliau.

8. Hanya satu soalan yang mudah sudah memadai: Najib – pangkah, Mahathir – silang, atau sebaliknya bergantung kepada siapa yang anda sokong. Rakyat Malaysia sudah biasa dengan mengundi.

9. Referendum ini perlu dikendalikan oleh sebuah syarikat pendapat umum asing yang dipercayai, diselia oleh wakil-wakil daripada kedua-dua orang yang berkenaan.

10. Saya memberi jaminan bahawa jika Najib menang dalam referendum negara ini, saya akan berhenti meminta beliau meletakkan jawatan. Saya tidak akan berkata apa-apa lagi mengenai 1MDB, 2.6 bilion ringgit dan rumah-rumah besar di UK, Amerika Syarikat dan Hollywood atau filem lucah “Wolf of Wall Street”. Najib boleh terus menjadi PM Malaysia seumur hidup.

11. Tetapi jika saya mendapat lebih banyak undi, ini bermakna rakyat menerima apa yang saya telah menekankan mengenai salah laku kewangan Najib sebagai benar, maka beliau perlu meletak jawatan.

12. Menerusi cara ini, persoalan mengenai tahap populariti Najib dan pandangan rakyat tentang penyelewengan/skandal kewangan beliau dapat diselesaikan dengan secara muktamad.

13. Alternatifnya adalah untuk menunggu Akta Majlis Keselamatan Negara ditandatangani oleh Agong atau menunggu selama satu bulan jika dia tidak, apabila Akta ini akan dikuatkuasakan secara otomatis. Kemudian Najib boleh menangkap dan menahan tanpa perbicaraan bedebah bekas PM ini. Saya mendapat mesej-mesej bahawa ini adalah apa yang menanti saya, jika sekiranya saya tidak kurangkan dan berhenti, jika saya tidak turunkan nada.


No comments:

Post a Comment