Satu Manifestasi...
Grafiti wajah badut Datuk Seri Najib Razak dikesan dilakar pada dinding bangunan Malaysia Hall di Perth, Australia.
Perkara itu didedahkan aktivis, Fahmi Reza menerusi akaun Facebook beliau yang turut memaparkan gambar foto grafiti Perdana Menteri bermuka badut itu di bangunan berkenaan.
“Aku jumpa gambar ni di Twitter yang menunjukkan bangunan Malaysia Hall bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Perth, Australia telah digrafiti dengan wajah muka badut Najib Razak (Perdana Menteri) sebagai tanda protes,” katanya hari ini menerusi Facebook.
Fahmi turut meminta rakyat Malaysia yang berada di Australia supaya memuat naik lebih banyak foto grafiti wajah badut Perdana Menteri yang dilukis di negara itu melalui laman sosial masing-masing.
Fahmi berkata, kewujudan grafiti berkenaan adalah disebabkan suara demokrasi rakyat negara ini terhad, menyebabkan wujudnya rasa ditindas oleh kerajaan.
Katanya, perasaan ditindas berkenaan dibuktikan apabila ada rakyat Malaysia yang bersuara untuk menegur kerajaan, disiasat dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Sangat mudah untuk kita melabel anak-anak muda yang bertindak menyembur political graffiti ini sebagai “vandals” dan “troublemakers”, tapi pernahkah kita cuba fahami kenapa mereka mengambil tindakan sedemikian rupa untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka?
“Bila suara-suara protes melalui “saluran-saluran yang betul” tidak didengari, malah disekat, bila warganya yang berani bersuara melalui saluran-saluran ini ditindas, disiasat dan dikenakan tindakan oleh penguasa yang melindungi koruptor, maka anak-anak muda akan mencipta saluran-saluran mereka sendiri untuk menyampaikan mesej mereka kepada penguasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment