Di sebalik Khairuddin Abu Hassan yang kerap mempertikaikan awalan nama "Tengku" yang digunakan oleh Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Tamrin Tun Ghafar pula melahirkan rasa hairannya dengan gelaran yang dipakai pemimpin UMNO itu.
"Saya berasal dari Melaka, setahu saya tidak ada orang Melaka yang bergelar "Raja" atau "Tengku" kerana Kesultanan Melaka sudah berakhir sejak kira-kira 500 tahun dulu lagi," katanya.
Lantaran itu, katanya, beliau benar-benar hairan bagaimana Tengku Adnan yang keluarganya dikatakan berasal dari Tengkera, Melaka ada gelaran "Tengku" tersebut.
"Adakah beliau sebenarnya merupakan keturunan atau ada hubungan darah dengan Sultan Melaka yang sekarang heboh diperkatakan mahu menuntut takhta di negeri itu?" soal Tamrin lagi.
Menurut Tamrin, sebagai pemimpin kanan UMNO dan kerajaan, rakyat berhak mengetahui asal usul dan salasilah sebenar Tengku Adnan kerana ia mencerminkan intergriti dirinya di mata khalayak umum.
Katanya, beliau juga ada mendengar cakap-cakap bahawa Tengku Adnan menambah gelaran "Tengku" pada awalan namanya dan nama bapanya hanya selepas berkahwin dengan kerabat Diraja Pahang.
"Saya tidak mengetahui dengan pasti perkara itu, tetapi jika ianya benar, adakah nama datuk dan moyangnya juga ditambah dengan gelaran "Tengku" sama?" tanya Tamrin lagi.
Apa pun, menurut Tamrin, untuk mengelakkan perkara itu terus menjadi bualan rakyat, ada baiknya Tengku Adnan sendiri tampil menjelaskannya kepada umum.
Bagi Tamrin, jika asal usul dan keturunan sendiri pun sentiasa diragui, bagaimana Tengku Adnan sebagai pemimpin dapat meyakinkan orangramai tentang setiap butir kata-kata dan tindakannya? ~ Shahbudin
No comments:
Post a Comment