Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam siri temu bual dengan media asing.
Dalam wawancara bersama The Telegraph, negarawan berusia 90 tahun menceritakan bagaimana polis menghambatnya apabila beliau mengkritik Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
"Polis datang ke pejabat saya, tetapi saya enggan jawab soalan-soalan mereka.
"Saya beritahu jika mereka mahu soal saya, mereka perlu lakukannya di mahkamah, di mana semua orang boleh dengar apa yang saya perkatakan dan peguam saya boleh menyoal mereka," katanya dipetik akhbar itu.
Menurut akhbar harian United Kingdom itu, Mahathir tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya ketika ditanya sama ada beliau bimbang jika diheret ke mahkamah.
"Jika saya dipaksa ke mahkamah, saya gembira untuk jawab. Mereka cuba untuk memerintah dengan ugutan, tetapi saya bersedia untuk semua itu," katanya.
Mahathir juga mengulangi dakwaannya terhadap Najib, dengan berkata pelbagai pihak datang meminta bantuannya kerana perdana menteri telah "memusnahkan" Malaysia.
"Kita mempunyai undang-undang untuk menangani rasuah, tetapi perdana menteri kita mencabuli kedaulatan undang-undang. Dia tidak boleh dibenarkan berbuat demikian. Jika kita soalnya, atau buat laporan pada polis, kita pula berakhir dengan tahanan dan dikenakan tindakan.
"Jika dakwaan ini tak benar, mengapa Najib tak saman? Dia nafikannya, tetapi memilih untuk tidak mendakwa. Sebaliknya, peguam negara baru mahu memenjarakan mereka yang mendedahkan maklumat untuk seumur hidup. Begitu cara mereka berurusan dengan semua tuduhan-tuduhan ," katanya.
No comments:
Post a Comment