Wednesday, March 16, 2016

PAS adakan kerjasama dengan PARTI IKATAN membentuk blok ke 3


IKATAN, PAS bersekutu bentuk blok baru pembangkang
PAS hari ini mengesahkan pembentukan "blok baru pembangkang" dengan mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Perkara itu diumumkan di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Bercakap kepada media, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan hari ini "membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman" yang lebih tersusun.
Katanya, PAS membawa model politik matang, terbuka, bertanggungjawab, bersih dan sejahtera bersama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang ingin turut serta dengan idea berkenaan.
"Pendekatan ini juga menuntut kami supaya bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit," katanya.
Di atas prinsip itulah, kata Takiyuddin, maka pada hari ini "bermulalah satu kerjasama politik di antara PAS dan IKATAN.
IKATAN adalah sebuah parti baru diketuai bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang ditubuhkan pada 2012 tetapi hanya didaftarkan pada 2015.
Sebelum itu Abdul Kadir yang pernah menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah.
Parti itu didakwa bertujuan untuk memperjuangkan idea perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra.
Terdahulu rancangan PAS mengadakan sidang media mengumumkan pakatan berkenaan tergendala apabila bekalan elektrik terputus kira-kira 10 minit.
Keadaan ruang sidang media yang tidak mencukupi berbanding jumlah wartawan juga memaksa sidang media berkenaan dipindahkan ke sebuah hotel berhampiran Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Sebelum ini Takiyuddin mengumumkan pembentukan “blok ketiga politik” yang diharap setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment