Wednesday, July 8, 2015

Tak Menghairankan Jika PM Didakwa


 
A Kadir Jasin


PEMBAHAS Zed-85 dalam komen 12.52AM menulis: "Sekadar perbandingan, dahulu Anwar berjawatan TPM disabitkan kesalahan didapati bersalah dalam rasuah walaupun tidak ada nilai satu sen pun dalam kesalahan.

Sekarang ini terdapat lebih RM2 ribu juta yang dipersoalkan dalam siasatan.

Kita mungkin boleh anggapkan ini adalah "Stress Test" untuk sistem yang sedia ada sama ada prinsip "Nobody is above the law" benar-benar berfungsi di negara (kita)."



Ramai orang mempunyai sentimen yang serupa dengan pembahas Zed-85. Tetapi ramai terkejut dan berasa tidak masuk akal apabila timbul cakap-cakap dan ramalan bahawa Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak mungkin menghadapi tindakan undang-undang.

Kemungkinan ini menjadi semakin jelas apabila dakwaan akhbar Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau pernah mempunyai simpanan AS$681 juta (kira-kira RM2.6 bilion) tidak dinafikan, sama ada oleh beliau sendiri atau oleh bank yang dinamakan, iaitu AmBank Berhad.

Sama ada akaun berkenaan masih cergas, tidak aktif atau sudah ditutup bukan isunya. Persoalannya ialah Mohd Najib pernah ada RM2.6 bilion dalam akaun itu.
Dalam posting Facebooknya, beliau sekadar berkata: "Let me be very clear: I have never taken funds for personal gain as alleged by my political opponents – whether from 1MDB, SRC International or other entities, as these companies have confirmed."
(Biar saya katakan dengan jelas. Saya tidak pernah ambil tabungan untuk kegunaan peribadi seperti yang didakwa oleh musuh politik saya – sama ada daripada 1MDB, SRC International atau pihak-pihak lain seperti yang telah disahkan oleh syarikat-syarikat ini.")
Sampai hari ini beliau tidak menafikan bahawa akaun atas nama beliau dengan simpanan AS$681 juta itu pernah wujud, tetapi ditutup tidak lama selepas pilihan raya umum 2013.
Kalau akaun itu tidak wujud, apa susahnya beliau sekali gus menafikannya atau AmBank menafikan yang akaun atas nama Mohd Najib itu tidak pernah wujud. Tetapi yang lebih utama bukan kewujudan akaun itu tetapi daripada mana datangnya dana AS$681 juta itu dan apa kegunaannya.

Sebaliknya beliau dan penyokong-penyokong beliau membuat laporan polis terhadap WSJ dan peguam beliau mengutus e-mel kepada penerbit WSJ di New York "meminta akhbar itu mengesahkan sama ada ia mempertahankan laporan itu atau tidak" dalam masa 14 hari. Ia dilihat sebagai langkah melengah-lengahkan kerana WSJ telah pun secara terbuka berkata ia mempertahankan dakwaan terhadap Mohd Najib itu.

Sejarah Mengajar Kita

Sesiapa yang mengetahui sejarah atau tidak lupa sejarah tentu tahu bahawa sudah ramai orang politik dituduh di mahkamah kerana rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah. Ada yang didapati bersalah dan ada yang tidak.

Jadi kemungkinan Mohd Najib dihadapkan ke mahkamah bukanlah sesuatu yang luar biasa. Cuma belum ada Perdana Menteri yang diseret ke mahkamah atas tuduhan jenayah sebelum ini.

Sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra lagi berlaku kes pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan orang kanan politik. Ada yang berakhir di mahkamah dan ada yang tidak, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan. Antaranya adalah:

1. Allahyarham Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan dalam Kabinet Tunku pada tahun 1964. Beliau kalah kes sivil melawan S.P. Seenivasagam yang memberi implikasi bahawa beliau terlibat dengan rasuah. Allahyarham mengundur diri daripada Jemaah Menteri.

2. Menteri Besar Perak, Allahyarham
Ahmad Said didedahkan memiliki hampir RM1.2 juta. Daripada jumlah itu RM330,000 dirampas kerana didapati diperoleh secara rasuah. Beliau meletakkan jawatan pada Februari 1970.

3. Menteri Perumahan, mendiang Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Kabinet pada September 1970.

4. Pada era Allahyarham Tun Hussein Onn, seorang pemimpin politik yang sangat berpengaruh dan dipuja umum, iaitu Allahyarham Harun Idris dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah, didapati bersalah dan dipenjarakan enam tahun. Beliau mendapat pengampunan diraja apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981.

5. Kata orang putih, "the stake became higher" pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah (salah guna kuasa) dan liwat.

6. Banyak lagi kes di mana pembesar politik dituduh di mahkamah kerana rasuah seperti Kasitah Gadam (dibuang kes), Tun Ling Leong Sik (buang kes) dan Mohd Khir Toyo (didapati bersalah/tunggu keputusan rayuan).

7. Ada kes-kes SPR/MACC yang kuat terhadap anggota Kabinet atau bekas anggota Kabinet dibakulsampahkan kerana tujuan politik.

Merenung Bola Kristal

 

Berasaskan fakta-fakta di atas maka adalah tidak mustahil kalau Mohd Najib dihadapkan ke mahkamah. 


Daripada kenyataan Peguam Negara, Abdul Gani Patail, sejak beberapa hari kebelakangan ini, kesimpulan rambang boleh dibuat bahawa ada bukti pembabitan Mohd Najib.

Malah kenyataan bersama pasukan petugas pelbagai agensi mengenai pembekuan enam akaun bank milik pihak-pihak yang dipercayai terlibat dengan kes akaun Mohd Najib pada 6 Julai memberi gambaran mereka tidak mahu berselindung lagi.

Ini bukan calang-calang kenyataan media. Ia ditandatangani sendiri oleh Abdul Gani, Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Abdul Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Abu Kassim Mohamed.

Ia memperkukuhkan lagi bukti bahawa akaun yang didakwa oleh WSJ itu wujud!

Seperkara lagi, penubuhan pasukan bertindak itu boleh mengelak agensi-agensi terbabit daripada ditekan, dipujuk malah diperas ugut sekiranya mereka bertindak bersendirian.

Soalnya sekarang, adakah Abdul Gani bersungguh mahu menghadapkan pihak-pihak yang terlibat, termasuk Mohd Najib, ke muka pengadilan?

Beban Maklumat

Beban beliau sangat berat kerana maklumat yang ada di tangan beliau, juga ada di tangan badan-badan penyiasat  seperti Polis, SPRM dan Bank Negara.

Selain itu, sebahagian maklumat dan dokumen berkaitan telah pun bocor dan jatuh ke tangan pihak ketiga, termasuk media massa asing.

Kalau Mohd Najib tidak dituduh sedangkan ada bukti yang kukuh, satu dunia akan ketawakan kita dan sahlah kita tidak serius membanteras rasuah dan salah guna kuasa di peringkat tertinggi.

Peguam Negara terpaksa meyakinkan Polis, SPRM dan Bank Negara mengapa pendakwaan tidak dilakukan. Kalau tindakan tegas tidak diambil, ia akan menyebabkan pegawai-pegawai yang bertungkus-lumus menyiasat dan mengambil risiko, berasa putus asa dan hilang semangat. Dan mereka mungkin bercakap kerana mereka tidak mahu dituduh bersekongkol atau tidak cekap.

Beban yang sama beratnya dipikul oleh orang seperti Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin kerana beliau juga mempunyai maklumat yang sama dan berkuasa untuk melakukan sesuatu.
Beliau perlu segera bertindak dengan berani dan tegas kalau mahu menyelamatkan negara daripada krisis imej dan keyakinan yang semakin meruncing yang telah merebak menjangkiti ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata.
Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment