Kenyataan Media
5 Julai 2015
Khaled Nordin dan UMNO Johor Perlu Beri Penjelasan
Berikutan penularan SMS dan aksi samseng yang ditunjukkan oleh sekumpulan individu berbaju merah menyerang program Sembang Kedai Kopi bersama Saudara Lim Kit Siang, DAPSY Johor membantah keras serangan tersebut. Program Sembang Kedai Kopi ini adalah satu program bertemu dengan rakyat. Sementelah, Saudara Lim Kit Siang dan Saudara Liew Chin Tong adalah merupakan Ahli Dewan Rakyat.
Program Sembang Kedai Kopi ini tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang negara. DAPSY Johor mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berbaju merah ini. Mereka melempar ugutan sehingga mengeluarkan perkataan “Kalau dia tak keluar, dia mati atau saya mati”. Apakah pihak PDRM Johor akan terus berdiam diri dan mengamalkan dua set undang-undang?
Sekalipun UMNO Johor dan sekutu mereka tidak bersetuju dengan penganjuran program ini, mereka sepatutnya mengadakan satu himpunan membantah secara aman. Bukannya menonjolkan aksi penuh samseng ini. Insiden ganas melampau ini berlaku di kawasan di dalam DUN Permas, iaitu kawasan DUN Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Khaled Nordin. Malahan, YAB Khaled Nordin juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang. Maka, Khaled Nordin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini. DAPSY Johor dengan ini mendesak Khaled Nordin dan UMNO Johor untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini.
Bagaimanakah kumpulan baju merah ini boleh mengeluarkan fatwa Jihad memerangi DAP? Adakah ini contoh akhlak Islam yang ingin ditonjolkan oleh UMNO Johor dan Khaled Nordin. Menjerit dan memaki hamun serta mencarut di dalam bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan Al Mubarak. DAPSY Johor ingin menasihatkan Khaled Nordin dan UMNO Johor agar tidak mencemari bulan Ramadhan ini dengan keganasan atas nama politik dan menyuburkan amalan perkauman di negeri ini.
Kenyataan bersama
Ee Chin Li
Ketua DAPSY Johor
Lu Yong Suh
Setiausaha DAPSY Johor
Ahmad Anwar Asyraf
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor
No comments:
Post a Comment