- Nazril Laharadi
Manusia hidup dalam keadaan salah satu antara dua perasaan gembira atau sedih. Sedih adalah apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, gembira pula adalah sebaliknya. Jadi manusia sentiasa hidup dalam keadaan bimbang, iaitu takut menjadi sedih dan tidak gembira.
Harapan adalah kata berlawan bagi bimbang. Sedih dan bimbang adalah menyakitkan. Harapan memberikan ruang kepada manusia untuk melegakan perasaan bimbang. Ia tidak hilang, namun manusia perlukan harapan untuk terus hidup. Tanpa harapan, manusia menjadi sedih sebelum sepatutnya menjadi sedih.
Menurut al-Quran antara nikmat syurga ialah tidak wujud perasaan bimbang dan sedih. Dalam surah al-A'raf 7:49 Allah berfirman: "Masuklah ke dalam syurga kamu tidak akan merasa takut dan sedih".
Apabila adam dan hawa diturunkan dari syurga, Allah memaklumkan mereka akan mendapat perasaan bimbang dan sedih di dunia. Hanya dengan petunjukNya perasaan bimbang dan sedih ini dapat dihilangkan (rujuk al-Baqarah ayat 38).
Rakyat kini rata-rata berada dalam keadaan sedih. Kenaikan harga barang, tekanan cukai barang dan perkhidmatan (GST), subsidi yang ditarik balik, tuduhan-tuduhan korupsi pemerintah, ketegangan antara kaum, menyebabkan rakyat menjadi hiba. Mereka bimbang, perkara yang lebih buruk akan berlaku, dan rakyat akan bertambah sedih.
Sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), slogan Pakatan Rakyat mencerminkan perasaan kebanyakan rakyat. Mereka bimbang jika kerajaan Barisan Nasional terus memerintah, mereka akan sedih dan tidak gembira. Ini dicerminkan menerusi peratusan undi popular. Walaupun akhirnya PR tewas dan kebanyakan rakyat tetap juga sedih.
Apabila parti komponen PR bercerai-berai, rakyat seolah-olah hilang harapan. Akibatnya, mereka menjadi sedih sebelum masanya. Seolah-olah tiada lagi sinar bahagia. Satu harapan baru diperlukan, agar rakyat diringankan daripada beban kesedihan sedia ada. Walaupun harapan baru ini tidak menjamin kegembiraan, setidak-tidaknya ada satu harapan baru tempat berpaut.
PR sudah tiada lagi. Harapan baru akan menjadi galang gantinya.
Bagi PAS yang dicengkam kebimbangan akibat wujudnya harapan baru ini, tidak seharusnya bimbang. Ini kerana, Allah berfirman. Dalam surah al-Ahqaf 46:13 "mereka yang istiqamah tidak akan rasa bimbang dan sedih". Dengan itu hendaklah mereka istiqamah hingga kemenangan. Istiqamah itu akan memberikan mereka kelazatan hidup, jadi mengapa perlu bimbang dan takut?
Adapun bagi kebanyakan rakyat, cukuplah harapan baru ini sebagai penawar takut dan bimbang buat masa sekarang. – 14 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment