Tuesday, July 7, 2015

Ini dokumen yang memperincikan aliran wang ke akaun Najib

 



Carta daripada Wall Street Journal yang memperincikan perjalanan wang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Carta daripada Wall Street Journal yang memperincikan perjalanan wang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan mengenai AS$700 juta dana didakwa disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini memuatnaik dokumen online yang memperincikan perjalanan wang itu.
Dokumen-dokumen itu termasuk borang permohonan kiriman wang, surat kebenaran deposit tunai dan carta yang menggariskan aliran wang tersebut.

Beberapa angka bagaimanapun dihitamkan dalam dokumen itu.

Antara dokumen itu, yang menurut WSJ diperoleh "daripada siasatan kerajaan Malaysia", ialah tiga borang permohonan kiriman wang oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Pada 26 Disember 2014, RM27 juta dan RM5 juta dipindahkan kepada seorang penerima yang disenaraikan sebagai AmPrivate Banking – 1MY, manakala RM10 juta dikirimkan pada 10 Februari 2015.

Dalam borang itu, butiran pembayaran disenaraikan sebagai pemindahan dana untuk "program CSR" (tanggungjawab sosial korporat).

Akaun Ihsan Perdana ialah dengan Affin Bank.

Terdapat juga urus niaga luar negara sebanyak AS$619,999,988 dan AS$60,999,988 daripada Tanore Finance Corp melalui Falcon Private Bank, pada 21 Mac 2013 dan 25 Mac 2013, yang disokong dokumen pemindahan kredit MT103 yang dikeluarkan komputer.

Juga, sepucuk surat daripada Nik Faisal Ariff Kamil, seorang pengarah SRC International Sdn Bhd, kepada pengurus cawangan AmIslamic Bank Bhd turut dimuatnaik online berkaitan 3 akaun bank.

Dalam surat itu tertulis, "melihat kepada jadual kedua-dua pemegang akaun dan saya (termasuk pelbagai lawatan dan mesyuarat yang dijadualkan dan kemungkinan timbul keperluan membuat perjalanan secara ad hoc), saya percaya akan ada waktunya saya mungkin tidak ada untuk melakukan pemindahan yang diperlukan dan memberi arahan penghantaran wang kepada Bank".

Surat itu kemudiannya menyatakan: "susulan perkara di atas dan kebenaran yang diberikan kepada saya yang dilantik sebagai Personel Yang Bertanggungjawab hal ehwal Akaun, sila ambil perhatian pencalonan saya untuk wakil berikut untuk menguruskan deposit tunai segera ke dalam Akaun yang diperlukan bagi maksud, antara lain, menunaikan cek segera di luar arahan saya".

Nama dan butiran kad pengenalan pada dokumen itu bagaimanapun dihitamkan.

SRC International ialah syarikat dimiliki Kementerian Kewangan.

Najib ialah pengerusi lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mengumpul RM42 bilion hutang selepas hanya enam tahun beroperasi.

Khamis lalu, WSJ dan Sarawak Report, laman web yang berpangkalan di UK, mendedahkan sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) didakwa dipindahkan ke dua akaun bank di bawah nama Najib dengan AmBank.
-malaysianinsider-

No comments:

Post a Comment