Semakin jelas beberapa perkara yang tidak kena dengan PAS. Berbeza dengan zaman Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat dan pentadbiran Presiden Fadzil Noor pada era Reformasi dahulu, PAS kini bukan sahaja mengenepikan pendapat golongan profesional dalam parti itu tetapi sesama ulama juga berbeza pendirian.
Isu akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendakwa PM Najib Razak menyelewengkan dana 1MDB menyerlahkan ulama Pas tidak sekata dalam menyatakan pendirian. Mursyidul Am Dr Haron Din dengan tegas membela Najib dan menganggap tuduhan PM itu memindahkan wang awam ke dalam akaun peribadi adalah tidak masuk akal.
Sedangkan pada zaman Nik Aziz, Mursyidul Am tidak akan ditanya oleh wartawan media arus perdana pendirian beliau ke atas dakwaan jenayah pemimpin Umno, kerana telah jelas butir-butir kritikan yang akan dilontarkan. Jika ditanya pun, pasti Nik Aziz mengingatkan hukuman Allah kepada pemimpin yang mencuri wang rakyat dan menggesa pihak berwajib melakukan siasatan segera.
Wibawa politik
Hujah tersebut diguna pakai oleh anak saudara Nik Aziz yang kini menjawat Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau berkata pengesahan Peguam Negara Gani Patail bahawa siasatan memang telah dilakukan ke atas 1MDB secara tidak langsung memberi wibawa kepada laporan WSJ berhubung kebocoran laporan siasatan, berbanding penafian tuduhan oleh Najib sebelum ini.
Dalam hal ini, sama ada Haron tidak berwibawa sebagai ahli politik – yang mana komen beliau boleh dimanipulasi wartawan – atau pun memang Haron adalah penyokong Najib. Haron sebelum ini mencetus kontroversi apabila mempertahankan Najib daripada desakan Dr Mahathir yang mahu PM itu meletakkan jawatan.
Sokongan Haron mengakibatkan Pas hilang wibawa sebagai parti pembangkang. Sememangnya Haron boleh berhujah dengan beberapa hadis yang membenarkan seseorang menyokong pemimpin zalim. Namun lebih baik jika sokongan diberi dalam situasi negara diserang musuh misalnya, atau percubaan golongan kafir mahu menjatuhkan PM.
Sekiranya PM lemah dan beliau masih disokong juga maka ia tidak sesuai dengan kaedah siasah moden. Apatah lagi Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.
Permainan politik
Kitab-kitab lama memfatwakan pemimpin Islam tidak boleh dijatuhkan selagi mana mereka membenarkan umat Islam mengamalkan agama. Sekiranya hal itu diamalkan maka haram kewujudan mana-mana parti orang Islam selain Umno. Hanya DAP, MCA, MIC dan sebagainya sahaja yang beroleh status halal dalam perjuangan politik di negara ini. Adakah Haron menganut fahaman sedemikian?
Pas selepas penyingkiran golongan profesional perlukan tokoh yang dihormati semua kaum dan tinggi spin politiknya untuk menarik kembali minat pengundi menjelang pilihan raya umum depan.
Jika Pas dipimpin oleh golongan yang kelihatan tidak faham permainan politik maka rakyat tidak akan mengundi parti itu. Terutama pengundi Cina yang hanya akan melantik seseorang yang bijak menjadi pemimpin mereka, bukan seorang pengekor idea Najib atau yang mudah dipermainkan Umno.
Barangkali Pas menuju tarikh lupusnya. Kehebatan pengaruh Pas suatu ketika dahulu adalah apabila para doktor, jurutera dan peguam berbondong-bondong masuk ke parti itu. Sebelumnya, Pas sejak puluhan tahun dipimpin oleh para ustaz dan tidak menarik minat pengundi.
Pas kini sekali lagi dipimpin para ustaz dan mula ditinggalkan oleh penyokong mereka yang berfahaman progresif.
No comments:
Post a Comment