Sunday, July 5, 2015

Hadapi Media: PM perlu belajar dari TG Abdul Hadi


Siasatan dan persoalan yang dilontarkan terhadap syarikat 1MDB yang lembaga pengarahnya diketuai oleh Perdana Menteri semakin hari mendedahkan lebih banyak perkara yang mengejutkan.
Terbaru, Wall Street Journal telah menerbitkan berita bahawa sebanyak USD700 juta wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi dipercayai milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dakwaan ini amat menggemparkan. USD700 juta (RM2.6 bilion) merupakan jumlah cukup besar; ia meliputi kira-kira 6 peratus dari keseluruhan hutang 1MDB yang mencecah RM42 bilion yang mesti ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Malah jumlah sebesar itu membuatkan penyelewengan RM13.8 juta Mara dalam pembelian Dudley International House di Australia atau skandal lembu feedlot RM250 juta nampak kerdil.
Ia mencalar nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Bagaimana sebuah negara umat Islam yang dianggap sederhana, pemimpinnya boleh terpalit oleh tuduhan sedemikian rupa?
Maka sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mesti berbuat sesuatu bagi memulihkan imej diri dan negara.

Belajar daripada Tuan Guru Abdul Hadi
Pada 1 Mei 2007, akhbar Daily Mirror di United Kingdom telah menerbitkan artikel mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin nombor tiga Al-Qaeda, mengaitkan beliau dengan rancangan keganasan di negara itu.

Sebagai tindak balas, Tuan Guru Abdul Hadi bergegas ke London bagi memfailkan saman fitnah demi menjaga maruah sebagai seorang pemimpin dan ulama. Beliau telah mendapatkan khidmat firma guaman Carter-Ruck dalam menangani kes tersebut.

Akhirnya Daily Mirror terpaksa menyiarkan kenyataan memohon maaf kepada Tuan Guru Abdul Hadi di akhbar dan laman webnya di samping membayar pampasan.
PM perlu bersihkan nama

Sepatutnya Datuk Seri Najib turut mengambil langkah yang serupa. Dengan sumber kewangan yang tidak terbatas ditambah pula adanya Peguam Negara, tidak nampak sebarang kesulitan untuk beliau memfailkan saman terhadap Wall Street Journal bagi memulihkan kredibiliti dirinya.

Namun sungguh mendukacitakan apa yang dilakukan Datuk Seri Najib kini hanyalah membuat penafian lalu mendiamkan diri, sama seperti isu-isu lain yang dibangkitkan sebelum ini seperti kes pembunuhan Altantuya dan rasuah pembelian kapal selam Scorpene USD200 juta (RM755 juta).
Sebagai pemimpin, perlu ada kesedaran bahawa masalah tidak selesai dengan hanya berdiam diri. Berani kerana benar takut kerana salah. Jika berada di pihak yang benar, buat apa hendak membisu atau berahsia?

Kecualilah, jika ada perkara yang hendak dirahsiakan. - HARAKAHDAILY 5/7/2015

No comments:

Post a Comment