Tuesday, January 16, 2018

Luahan hati Tan Sri Shahrir Samad…




Luahan hati Tan Sri Shahrir Samad…

Syahril A. Kadir

MUKADIMAH

Semenjak mengambil alih jawatan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menjadi tumpuan ramai pihak terutama bila terbongkarnya satu demi satu ‘masalah’ yang menyelubungi agensi tersebut.

Terbaru isu tanah Felda di Jalan Semarak bernilai RM200 juta yang bertukar hak milik melalui transaksi yang ‘meragukan’. Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama yang turut diberikan surat kuasa wakil penuh untuk membangunkan kawasan itu pada 3 Jun 2014.

Bagaimanapun kelmarin Shahrir memaklumkan yang Felda telah mendapat kembali hak milik tanah itu daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.

Wartawan theRakyat, Syahril A. Kadir semalam secara eksklusif menemui Shahrir di pejabatnya untuk menyelami perasaannya sekaligus untuk menjawab apa yang ‘bersarang’ di dalam hatinya selama menduduki ‘kerusi panas’ tersebut.

Ada pihak yang menyifatkan Tan Sri bagaikan ‘hero’ kerana berjaya mendapatkan kembali hak milik tanah Felda yang telah berpindah milik kepada SPSB itu. Pada masa yang sama, ada juga menganggap apa yang berlaku adalah satu ‘drama dan lakonan’ yang dirancang untuk memperlihatkan ‘kehebatan’ kerajaan Barisan Nasional. Sejauh mana betulnya dua pendapat ini?

SHAHRIR: Mengenai gelaran ‘hero’ tu sejujurnya saya tak merasakan ia begitu. Apa yang heronya? Ini bukan satu benda yang luar biasa. Kita hanya mengambil tindakan mengikut apa yang kita rasa betul berdasarkan nasihat daripada pelbagai pihak.

Dari awal-awal lagi sewaktu saya mengambil alih Felda, saya sudah bagitahu yang Felda dah tidak mendapat kepercayaan dari bank-bank kerana kita banyak hutang hingga terpaksa menjual saham. Ramai yang tak suka bila saya buat kenyataan itu tetapi bagi saya kita kena telus. Kita tak boleh sembunyi realiti yang berlaku pada Felda ketika itu atau sapu semuanya di bawah karpet

Kalau orang kata ini semua drama, tanah itu ditukar milik sebelum saya masuk ke sini lagi. Masa tu semua orang tak tahu mengenainya, lembaga pengarah sendiri pun tak tahu, apatah lagi saya. Saya pun tak tahu yang beberapa tahun selepas itu rupanya saya akan mengisi jawatan Pengerusi Felda ini, malah tak pernah terfikir pun. Kalau betul ini semua drama, wahhh…hebatlah saya.

Begitu juga bila Berita Harian membongkarkan kes ini, ada juga ramai yang tak suka tetapi bagi saya biarlah. Kita kena hormat pada kebebasan akhbar untuk melaporkan apa yang mereka mahu. Yang penting kita ada jawapan untuk kes yang mereka bongkarkan itu. Namun sebagai agensi kerajaan, kita kenalah rujuk pada kementerian atau jabatan yang mengawalselia kita. Dalam hal Felda ini, kita kenalah rujuk pada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pegawai undang-undang JPM pula tengok cadangan kita sebelum diangkat pula ke pejabat Peguam Negara. Semua proses itu berjalan dan bukannya kita pandai-pandai buat sendiri. Akhirnya mereka setuju untuk kita buat laporan polis bagi membolehkan kita membuat kaveat pendaftar untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan agensi ini.

Semuanya dilakukan dengan telus dan terbuka, kita buat secara yang terbaik. Kepentingan Felda takkan terlindung kalau tanah itu milik syarikat tersebut kerana kalau apa-apa terjadi pada syarikat itu, kita habis!

Bagaimana Tan Sri melihat penglibatan SPSB dalam hal ini?

SHAHRIR: Bagi saya penyerahan balik hak milik tanah itu mengesahkan pandangan kita yang mereka (SPSB) tak perlu pun pada tanah itu sebenarnya kerana dengan surat kuasa wakil (PA) saja, mereka dah dapat perintah pembangunan untuk mendirikan menara yang pertama dan mereka juga dah ada pajakan selama 20 tahun terhadap menara tersebut, jadi syarikat mereka dah stabil, mengapa perlu tukar milik tanah itu? Itu yang kita tertanya-tanya.

Bila kita dilihat bertegas untuk dapatkan balik tanah itu bagi melindungi kepentingan Felda dengan buat laporan polis, dapatkan kaveat pendaftar, mereka akhirnya tahu yang mereka dah tak boleh apa-apa dah. Mereka tahu mereka perlu berunding dengan kita dan mereka akhirnya sanggup serah balik sebab mereka sedar projek mereka itu dah OK, dah terselamat.

SPSB sedar selagi mereka tak serah, lagi bahaya projek mereka sebab dah ada penyiasatan polis, kita juga akan ambil tindakan untuk membatalkan PA. Apapun saya nak tegaskan di sini, polis akan terus menyiasat. Audit forensik akan terus dijalankan sebab kita nak tahu kerana ada perkara-perkara dalaman yang menimbulkan ‘tanda tanya’ dan ini mestilah disahkan oleh pihak yang ketiga iaitu firma audit yang dilantik untuk menyiasat dan membuat laporan. Selain firma audit itu, biarlah polis juga menyiasat dan buat laporan mengenainya. Kita tak akan campur tangan urusan mereka.

Lagi satu saya nak beritahu, SPSB tak terjejas. Kalau nak terjejas pun ia kerana perbuatan mereka sendiri, bukan siapa pun suruh, mereka yang pandai-pandai tukar tanah pada milik mereka, kesannya mereka kena tanggunglah.

Adakah Tan Sri secara peribadi sudah mengenal pasti dalang atau mana-mana individu yang membuatkan Felda berhadapan dengan pelbagai masalah seperti mana yang dilaporkan?

SHAHRIR: Biar saya tegaskan di sini, itu bukan skop tugasan saya. Tugas saya bukan untuk menyiasat dan menghukum orang, itu tugas agensi lain. Tetapi kalau semua pihak seperti JPM kita tak percaya, firma audit tu kita tak percaya, polis kita tak percaya, habis kita nak percaya pada siapa lagi?

Ramai yang beranggapan apa yang berlaku pada Felda akan menjejaskan sokongan masyarakat peneroka yang selama ini begitu kuat menyokong Barisan Nasional dalam setiap kali pilihan raya umum.

SHAHRIR: Pada saya apa yg telah dilakukan oleh Felda semenjak tahun lepas, kita menjadikan Felda lebih terbuka. Felda juga inklusif dengan dasar tranformasi luar bandar kerajaan. Sebagai contoh, dulu jalan-jalan Felda , Felda yang selenggara. Sekarang dah didaftarkan di bawah sistem MARRIS, jadi peruntukan penyelenggaraan jalan yang dimasukkan kepada jalan negeri, dilayakkan juga untuk dibelanjakan bagi kawasan-kawasan Felda.

Maknanya kita diterima sebagai sebahagian daripada negara, bukan lagi sebuah institusi yang terasing.

Kita juga buat gerakan muafakat bersama Felda. Masa saya ambil alih hanya 90,000 orang peneroka saja bersama Felda. Kita jelaskan, apa yang dimaksudkan ‘bersama Felda’ itu adalah mereka menjual hasil mereka melalui Felda walaupun mereka menguruskan sendiri kebun mereka.

Dulu kalau kebun mereka diuruskan oleh Felda dan FTP baru mereka dikatakan ‘bersama Felda’, sekarang tidak lagi. Asalkan dia jual hasil melalui Felda, maknanya dia ada akaun dengan Felda dan tetap dianggap ‘bersama Felda’

Daripada 90,000 peneroka yang dianggap ‘bersama felda’ , kini ia mula bertambah menjadi 103,000 orang, maknanya hanya lapan peratus peneroka yang tak bersama Felda. Ini bagi saya tanda sokongan dan keyakinan peneroka kepada Felda. Kalau dulu mereka tak yakin dan marah kepada Felda, hari ini keyakinan mereka dah kembali semula.

Maknanya sekarang dah 92 peratus peneroka dah bersama Felda. Sebab itu saya yakin mereka masih bersama Barisan Nasional. Ini kerana nampak mereka dah kembali balik kepada komuniti Felda, kalau dulu hanya 80 peratus bersama Felda, kini ia bertambah kepada angka yang saya sebutkan tadi. Walaupun kita tak boleh kata mereka ini akan memberi undi kepada kita tetapi jelas peneroka-peneroka ini dah tak marah pada kita dan dah ada keyakinan pada kita.

Pada tahun 2017 saja, kita dah bayar lebih RM580 juta pada peneroka. Kita bayar dalam bentuk insentif tunai, bagi duit raya, dividen FGV semua tu. Itu tak masuk apa yang dia dapat hasil kebun masing-masing.

Berbalik pada isu tanah ini, adakah ketegasan Perdana Menteri juga memberi tekanan kepada SPSB untuk menyerahkan kembali hak milik tanah berkenaan?

SHAHRIR: Selepas kita terima surat daripada JPM mengatakan bahawa Datuk Seri Najib bersetuju untuk tindakan-tindakan ini diambil iaitu dengan letak kaveat, buat laporan polis, Peguam Negara pula sedang usahakan untuk membatalkan PA dan sebagainya, ini menunjukkan yang beliau memang tegas mengenai isu ini. Perdana Menteri tak pernah arahkan saya supaya pergi ‘berunding senyap-senyap’ agar isu ini selesai, tidak sama sekali.

Tan Sri, yang pasti isu tanah ini akan melibatkan nama pegawai-pegawai tinggi terheret sekali, dan perkara tersebut turut diakui oleh Tan Sri dalam sidang media sebelum ini, bagaimana Tan Sri melihat perkara tersebut?

SHAHRIR: Sebab itulah kita serahkan isu ini kepada JPM kerana ia melibatkan pegawai-pegawai tinggi, sebab itu kita kena tanya pihak ketiga, pihak Peguam Negara. Ia melibatkan exco tanah, DBKL. Sebab itu jugalah Perdana Menteri melantik sebuah firma audit bebas. Kami di Felda tidak ada masalah mengenainya, nak masuk ke Felda, masuklah. Seperti yang saya tegaskan berulang kali, kita mengamalkan prinsip keterbukaan.
Di saat kita buat laporan polis dan daftar kaveat pun kita sedar yang ia akan mejadi pengetahuan umum. Risikonya orang akan mula memberi reaksi yang keras tetapi bagi saya inilah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, tak ada ‘cover up’. Kita telus!

Adakah pencapaian Tan Sri sebagai Pengerusi Felda ini adalah pencapaian terbaik Tan Sri selama bergelar ahli politik?

SHAHRIR: Bagi saya benda ni normal. Dalam hidup kita ni kalau ada niat terselindung kita takkan berani buat secara terbuka. Saya percaya pada integriti dan keterbukaan. Saya buat apa yang sepatutnya saya buat. Telus dan terbuka.

Tohmahan? Itu hak masing-masing, masyarakat bebas beri pendapat tetapi mereka kena terima hakikat apa yang sebenarnya berlaku. Saya dah kata ini masalah terakhir bagi Felda. Saya tengok pegawai dan pengurusan, airmuka peneroka…semuanya nampak positif. Mereka tak lagi marah-marah, ceria. Mereka mula yakin pada lembaga pengarah dan saya selaku pengerusi.

Begitu juga dengan bank. Institusi kewangan dah mula yakin. Dulu nak beri pinjaman kepada kita dengan pelbagai syarat. Kini mereka dah mula minat untuk memberi pinjaman.

Saya gunakan mandat yang diberi kepada saya untuk mengatasi masalah dan membawa Felda ke depan. Kita tak boleh juga melihat Felda tanpa ia mengambil balik peranan sebagai peneraju tranformasi luar bandar. Itu kena datang dari peringkat rancangan, peringkat wilayah hinggalah ke peringkat atasan.

Apakah perubahan kepimpinan tertinggi Felda ini, seperti perlantikan Tan Sri ke kerusi pengerusi, mempengaruhi struktur pentadbiran dan organisasi dalam Felda?

SHAHRIR: Mungkin ada yang tak biasa dengan apa yang saya nak buat. Saya nak ubah cara kerja pegawai-pegawai kita yang hanya ambil tahu cara kerja di unit mereka semata-mata sedangkan kalau kita balik asal, dulu kita tak besar tapi kita tau berpakat. Sekarang ni dalam langkah ke depan, kita kena ada tranformasi dalam organisasi itu sendiri. Kita kena kerja sebagai satu jaringan, kita kena berpakat dan muafakat. Tak boleh kerja secara berahsia, kita kena telus.

Masa saya mula-mula datang ke Felda, seorang bekas pengarah besar bertanyakan pada saya berapa orang pegawai yang saya bawa, saya kata tiga orang saja, dia terkejut!

Saya percaya pegawai-pegawai yang sedia ada, saya percayakan kebolehan mereka. Saya hanya bagi panduan dan nasihat. Kita bukan nak tukar orang, kita cuma nak tukar minda dan sikap dia bekerja. Itu saja pun sudah cukup.

Monday, December 25, 2017

ADAKAH ISA SAMAD "KAMBING-HITAM" PRU 14?


 

Berdasarkan respon beberapa pihak dalam UMNO berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak yang telah berpindah tangan kepada sebuah syarikat swasta, termasuk kenyataan Najib Razak sendiri yang mengarahkan siasatan serta-merta serta tindakan akan diambil hasil daripada siasatan itu, kedudukan bekas Pengerusi Felda, Isa Samad dilihat tidak lagi selamat.

Hampir dalam semua yang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO dan kerajaan, tidak terkecuali dalam sidang akhbar oleh Pengerusi Felda sekarang, Shahrir Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim berkaitan isu tersebut, segala-galanya tampak menjurus kepada Isa sebagai subjek yang mahu dipersalahkan.

Hakikat bahawa Felda berada di bawah pengawasan dan dagu Najib serta wakil JPM dan Kementerian Kewangan turut berada dalam Lembaga Pengarah Felda di mana Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, seolah-olah cuba dikesampingkan begitu saja.
Jika Isa bersalah kerana memandai-mandai membuat keputusan yang merugikan Felda dan para peneroka itu, tiada siapa yang merasakan beliau tidak harus memikul beban kesalahan itu.

Apa yang dibimbangi ialah semua ini tidak lebih merupakan satu lagi episod drama yang sengaja dipentaskan untuk meraih undi dan sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.
Lebih-lebih lagi isu ini mula didedahkan oleh sebuah media arus perdana yang berada di bawah kawalan Najib sendiri dan seseorang yang dikatakan penasihat paling kanannya adalah mengawal kumpulan media tersebut.

Najib pula, dalam tiga tweetnya yang berturutan berkaitan isu tanah Felda itu, jelas memperlihatkan mahu tindakan segara diambil kepada pihak yang didapati bersalah.
Selain itu, dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Shahrir ada menyebut beliau sudah mengetahui mengenai kehilangan tanah Felda itu sebaik saja dilantik menjadi Pengerusi Felda pada awal tahun ini.

Jika begitu, mengapa laporan polis hanya dibuat pada 12 Disember yang lalu iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2017?

Kalau betul  sudah diketahui lebih awal tanah itu berpindah tangan dan ia benar-benar kesalahan serius, mengapa laporan polis tidak dibuat pada Februari atau Mac yang lalu?

Melihat bahawa tarikh pilihanraya makin hampir dan Najib terus terbelit serta terbelenggu dengan banyak isu yang menyesakkan nafasnya seperti 1MDB, derma RM2,600 juta, berkawan baik dengan Trump, penggadaian aset negara kepada China, sistem IMAMS dan banyak lagi, tidak mustahil isu tanah Felda ini adalah plot yang sengaja dirancang untuk menutup semua isu-isu tersebut.

Tambahan lagi,  percubaan Najib untuk melemahkan Tun Mahathir Mohamad melalui RCI forex juga sudah dilihat gagal mencapai sasaran seperti yang beliau harap-harapkan pada awalnya.
RCI forex bukan saja mudah difahami maksud tersiratnya oleh orangramai yang hanya bertujuan untuk mengaitkan pemimpin-pemimpin pembangkang dilihat bersubahat dalam kerugian urusniaga matawang lebih 30 tahun lalu, malah  seperti kata Tun Mahathir sendiri, hasil laporannya semata-mata berdasarkan sangkaan yang telah ditukar menjadi fakta.

Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir turut mengemukakan saman terhadap anggota RCI, Najib dan kerajaan serta menolak hasil laporannya, menjadikan ianya sebagai modal PRU 14 dilihat sudah terkekang dengan sendirinya.

Sebab itulah sehingga sekarang pihak polis difahamkan masih belum mengambil keterangan Tun Mahathir berhubung RCI forex itu, meskipun laporan polis dibuat hampir serentak dengan ia hasil laporannya diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Maka, apa lagi modal Najib untuk mendepani pilihanraya umum akan datang, mengelakkannya daripada hilang kuasa  dan seterusnya tidak menghuni penjara sebagai destinasi akhir kehidupannya seperti yang berulang-kali dijanjikan oleh Tun Mahathir jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN dan seterusnya mengambil alih kuasa dalam pilihanraya nanti?
Tidakkah isu tanah Felda ini, lebih-lebih lagi jika Isa ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat ini, ia secara automatik akan menjadi lonjakan yang mampu menaikkan sokongan rakyat kepada Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?
Annuar Musa sudah dilepaskan, Bung Mokhtar yang pernah disiasat berkaitan pembelian saham amanah menggunakan dana Felda mungkin terus senyap begitu saja isunya, maka Isa adalah satu-satunya mangsa yang tinggal serta paling munasabah untuk "dikambing-hitamkan" sebelum pilihanraya ini.

Bersiap-sedialah wahai Isa untuk dijadikan mangsa oleh Najib, UMNO dan BN!!! (ShahbudinHusin 24/12/2017).


Kenali dan pahami bagaimana tanah milik FELDA berpindah ketangan pihak lain..!!


 

Kenali cara pengkhianatan mereka pada negara, bangsa & ekonomi negara. Tanah Jalan Semarak milik Felda, kemudian felda deal dgn pemaju menerusi urusniaga bernilai RM270 juta pd tahun 2015. Cuba teka siapa yg terlibat dalam urusan ni yg dinamakan menerusi Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

1: Felda (Pengerusi, CEO)
2: Pejabat Tanah & Galian (DO, Pegawai nilaian hartanah, Exco)
3: Pemaju.
4: DBKL (Kebenaran merancang & bangunkan tanah)

Agak sensasi hal ketirisan & salahgunakuasa ini. Jika jenayah Rasuah tidak berlaku sepertimana SPRM sendiri kata, bermakna salahguna kuasa & ketirisan berlaku. Siapa yg duduk sbg pengerusi Felda & Felda Investment Corp (FIC) ketika itu sewaktu perjanjian ini bermula ?
Mr. Pendek from Port Dickson!

Kini tanah felda dah terlepas, dan Felda terpaksa beli pada nilai hampir RM1bilion dan kemungkinan meningkat kepada 2 bilion. Kini kedengaran pemaju yg dapat hakmilik tanah Felda tersebut berpotensi jual syarikat dimana tanah Felda tersenarai sbg aset miliknya. Seandainya sykt itu di jual, tanah Felda habis lenyap selamanya & Felda tidak dapat apa2 keuntungan.

Persoalan utama, siapa yg sain agreement antara Felda & Pemaju, siapa pula yg beri PA. Dari DBKL pula yg beri kebenaran siapa ? Siapa yg tandatangan mengikut kanun tanah negara hingga tukar hak milik ? Cuba lihat pejabt tanah & galian yg tak jauh dari lokasi dalam gambar tersebut.
Jika rakyat nak lihat cara penyangak kebas aset negara & gadaikan harta kita, inilah contoh mereka menyamun selahapnya. Dan si pendek itu juga adalah dari kalangan Umno Baru & BN yg menjadi penyebab utama. Kini dah lari jaga kolam ikan Sepad!

Pusing mana sekalipun, si penyangak ni tetap akan lepas. Yg rugi ialah Felda & wang rakyat Felda itu sendiri. Yang kenyang penyangak kleptokrasi, sdra Najib pun tak buleh nak cakap banyak.
Hanya garang semata, tapi bila si pendek itu keluarkan sekeping skrip drama "Madah Cinta Berhelah dari PD," hilang taring sang bugis yg terkepit menjadi pahlawan seanteronya.

Anak kecil main api 
Terbakar hatinya yang sepi 
Air mata darah bercampur keringat 
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya 
Tergadai seluruh harta benda 
Akibat sengketa di antara kita 
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita 
Warisan berkurun lamanya 
Hasil mengalir ke tangan yang lain 
Kita kan merintih sendiri.

Nah........inilah lagu yg mereka mainkan kunun utk sedarkan bangsa Melayu atas dakyat mereka DAP nak jual negara, nak jual tanah negara, nak hapuskan segalanya dari tangan bangsa Melayu.
Tapi lupa yg sebenarnya penyangak & pelahap ini adalah Umno Baru & BN itu sendiri. Buktinya ? Hasil mengalir ke tangan yang lain, rakyat Felda kan merintih sendiri. ;)
Yang berkarya:

Gino Marvela aka Gin Marvel.

Episod atau babak lucu Isu FELDA!!!


Oleh Peguam PAS - Dulu 

TAPAK projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, 
Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
 1. Isu pertukaran hakmilik hartanah Felda di Jalan Semarak, KL yg dikhabarkan bernilai RM270 juta sedang hangat dibincangkan sekarang. 

2. Yang terkini, kita diberitahu pihak polis dikatakan akan mengambil kenyataan dari mantan Pengerusi Felda setelah beliau kembali ke tanahair dari luar negara. Utk rekod, pihak Felda telah, sebelum ini, membuat laporan polis. 

3. Antara perkara yg menggelikan hati saya bila membaca laporan media kes ini adalah :-

 a. Dikhabarkan hartanah tersebut telah dipindahmilik kepada sebuah syarikat tapi Felda tak dapat sesen atau sekupang pun duit meskipun dikhabarkan juga yang nilai hartanah itu bernilai jutaan ringgit.

 b. Hartanah yang dipertikaikan itu dikatakan dipindahmilik melalui kuasa PA ( "Power of Attorney" ) yang diluluskan di dalam mesyuarat Felda Investment Corporation Sdn Bhd ( "FIC" ) pada Jun tahun 2014 tapi dikatakan Felda hanya dimaklumkan pada 2.9.2014 dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Felda yang diminta untuk luluskan ke- belakang ( retrospectively ) apa yg telah diluluskan oleh FIC pada 2014.

 c. Pengerusi FIC dan Pengerusi Felda adalah individu yang sama. Untuk makluman, FIC adalah "bahu pelaburan" ( an investment arm ) Felda. 

d. Laporan polis telah dibuat tapi dilaporkan media laporan itu hanya menamakan syarikat yang berkaitan tetapi tidak menamakan "orang itu" ( faham fahamlah siapa ) dalam laporan polis tu. Bila ditanya mengapa tidak dinamakan, dijawab biarlah polis siasat. He he.. bukan apa Yb, yang kita takut bila tak namakan nanti, tiba-tiba nanti tak jumpa pula siapa yang salah atas alasan sebab tak namakan. 

e. Juga dilaporkan media ada kenyataan daripada SPRM yang kononnya kes ini nampaknya mungkin lebih kepada kes lemahnya urustadbir korporat ( weak corporate governance ) daripada kes penipuan ( fraud ) atau kes salah guna kuasa ( abuse of power ). Jika betul lah laporan tu, mesti dia sedang bergurau ( he must be joking ) agaknya. 

f. Sementara itu, Menteri di JPM yang jaga urusan Felda dilaporkan berkata Audit Bebas akan dilantik bulan depan untuk siasat sama ada wujud atau tidak "perlanggaran prosedur dalaman" Felda atau FIC dalam transaksi itu..Ehem..perlanggaran prosedur dalaman je Yb? Lagi satu Yb, macam terlalu rumit sangat isu ini hingga nak kena "engage" Audit Bebas yang akan pasti kena dibayar pulak ( dah lah kata Felda tak dpt sesen pun )..hentam saje lah labu. 

4. Komen saya sikit je... 

a. Bukankah Pengerusi Felda yang lama tu juga yang jaga Felda daripada tahun 2011 hingga Januari 2017.. Jadi , nak tanya sikit lah..ada tak lagi kontroversi2 yang lain selain yang ini ? Bukan apa, sebelum ni, kita juga dimaklumkan kontroversi pembelian 2 buah hotel iaitu di London (Hotel Park City) di kawasan mewah (upmarket) Kensington, London ) dan di Kuching (Hotel Merdeka Palace & Suites) oleh FIC juga dengan harga , orang putih kata " inflated price" (harga yg tinggi drp harga yg sepatutnya).Yang di London dibeli dengan harga RM 330 juta je. Khabarnya harga yang dibayar berlebihan itu sekurang-kurangnya RM 110 juta je. Yang di Kuching pula dilaporkan dibeli dgn harga RM 160 juta je- lebih tinggi hanya RM 50 juta je. 

b. Bukankah kamu semua dah tahu masa kamu lantik mantan Pengerusi Felda tu jaga Felda dulu yang parti kamu sendiri telah hukum dia kerana terbabit dalam "politik wang". Awat yang skrg kamu perlu nak terperanjat atau marah ( kalau marah lah) pulak sebab tak dapat sesen pun duit daripada pindahmilik hartanah yang bernilai jutaan ringgit tu? 

c. Teringat saya filem "3 Abdul". Abdul Wahub ( Almarhum Seniman P.Ramlee ) ketika memarahi abgnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang ditipu Sadiq Segaraga dan Penasihat 25 persen misai kontot yang lebih kurang berbunyi " kamu berdua kan dah tahu yang saudagar Sadiq Segaraga tu saudagar penipu, yang kamu berdua pergi percaya kat dia buat apa?" ... 

d. Apa pun, jangan nanti kita dengar MO1 yang lantik Pengerusi Felda yang lama tu komen pula mcm dia komen kes IMAM dah le... 

e. Dan kita pun harap juga janganlah nanti ada yang kata isu ni juga masih "raba-raba" mcm isu 1MDB sudah le..bukan apa, kan belum ada "briefing" 2 jam drp Pengerusi Felda utk fahamkan orang2 tertentu.

 Allah lebih mengetahui. 

Ahli Parlimen Sepang 
24.12.2017 ~ sumber

FELDA PERLU SAMAN SIVIL SEGERA UNTUK SELAMATKAN TANAH STRATEGIK


KENYATAAN MEDIA KANUN
1. Kleptokrasi yang mentadbir negara hari ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan wang rakyat berbilion ringgit, malahan juga hartanah dan aset bernilai. Terkini adalah skandal korupsi yang mengemparkan negara yang didakwa melibatkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad telah mengesahkan bahawa Felda telah kehilangan tanah strategik bernilai RM270 juta di Jalan Semarak Kuala Lumpur melalui satu transaksi yang meragukan. Tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan oleh anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu ENCORP Bhd untuk manfaat peneroka Felda kini telah hilang daripada milikan Felda.
2. Laporan yang disiarkan hampir keseluruhan media mendakwa bahawa Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga tidak mengetahui bagaimana penukaran hak milik tanah tersebut itu boleh berlaku dan Felda juga tidak memperolehi sebarang duit daripada pindahmilik tanah tersebut. Syarikat yang dilantik Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd yang memperolehi Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) daripada Felda telah didakwa menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat proxy Promenade iaitu Kuala Kumpur Vertical City Sdn Bhd untuk dibangunkan sebagai Kuala Kumpur Vertical City (KLVC) di mana perlakuan ini didakwa dilakukan secara  ‘fraud’ atau penipuan. Transaksi ini didakwa berlaku dalam tempoh Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda dan pada masa yang sama Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV)  serta Pengerusi FIC. Adalah sangat mustahil transaksi pindahmilik fraud ini tidak diketahui oleh Tan Sri Isa Samad.
3. Menelusuri fakta ringkas transaksi pindah milik tanah tersebut, KANUN berpendapat Felda sebagai pemilik asal tanah tersebut masih mempunyai hak benefesial untuk menuntut dan mendapatkan kembali tanah tersebut melalui saman sivil di mahkamah. Seksyen 340(2) Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa sebarang pindahmilik hartanah yang dibuat secara fraud adalah batal dan tidak sah. Walaupun syarikat proxy Promenade didakwa membelinya, namun syarikat tersebut tidak boleh bergantung kepada prinsip ‘pembeli niat baik’ (bona fide purchaser) kerana syarikat tersebut adalah proxy kepada Promenade yang terlibat dengan fraud dan sudah pasti perkara ini di dalam pengetahuan mereka.
4. Fraud sebenar jelas kelihatan kerana FIC dan Promenade telah menyalahgunakan kuasa bagi memperolehi tanah tersebut melalui Surat Kuasa Wakil tersebut. Surat Kuasa Wakil mempunyai terma-terma tertentu dan jika ia mempunyai terma kuasa pindahmilik dan bukan sekadar kuasa pembangunan sahaja, sudah pasti elemen fraud telah wujud. Mana mungkin pemilik tanah memberikan kuasa pindahmilik tanpa sebarang balasan duit dan jika ia tidak wujud, Surat Kuasa Wakil tersebut sendiri pun tidak sah.
5. Selain itu, syarikat proxy tersebut bukanlah tergolong di dalam ‘deferred purchaser’ yang membolehkan mereka dilindungi oleh undang-undang sebagai bona fide purchaser. Syarikat proxy tersebut adalah ‘immediate purchaser’ yang tidak layak di bawah undang-undang dipanggil bona fide purchaser di mana mereka memperolehi hak milik tanah tersebut secara langsung daripada FIC melalui transaksi fraud. Prinsip undang-undang terkini ini telah digariskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San pada tahun 2010 yang telah mengatasi kes kontroversi Adorna Properties  v Boonsom Boonyanit di dalam menafsirkan peruntukan seksyen 340 Kanun Tanah Negara. Undang-undang kini memberikan hak yang lebih kepada pemilik asal hartanah yang ditipu.
6. Di samping itu, KANUN juga berpendapat Felda perlu memfailkan relif injunksi dengan segera bagi memberhentikan segala pembangunan di atas tanah tersebut oleh kontraktor KLVC supaya syarikat proxy tersebut tidak mendapat faedah lanjut dan tindakan ini menunjukkan keseriusan Felda mendapatkan kembali aset mewah milik jutaan warga Felda ini.
7. KANUN juga menegaskan bahawa saman sivil ini tidak membataskan kuasa SPRM dan Polis untuk menyiasat individu-individu yang terbabit terutama Tan Sri Isa Samad samaada wujud perlakuan rasuah, pecah amanah dan penipuan yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM. SPRM dan Polis tidak boleh membiarkan skandal mencuri duit dan aset rakyat ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan, siasatan telus dan pendakwaan sepertimana yang berlaku kepada skandal mega 1MDB. Menegakkan keluhuran undang-undang adalah tugas asasi SPRM dan Polis.
8. KANUN juga menggesa Felda mengambil tindakan disiplin dan undang-undang  terhadap pegawainya yang terlibat dengan transaksi pindah milik tanah strategik ini dan institusi luar yang terlibat jika gagal memberikan nasihat secara diligent. KANUN juga menggesa kerajaan mengambil langkah drastik menyelamatkan tanah milik sah Felda ini dengan pihak DBKL mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap syarikat kontraktor terbabit ke atas semua bentuk pembangunan tanah tersebut.
9. Kehilangan tanah strategik ini yang mempunyai nilai komersil yang mewah ini tidak seharusnya dilepaskan kepada mereka yang rakus meratah hasil negara tanpa mempedulikan nasib peneroka Felda. Keuntungan pembangunan tanah ini seharusnya dimanfaatkan kepada peneroka Felda untuk membantu mereka dalam bantuan pendidikan dan rumah generasi kedua. Apatah lagi nilai semasa tanah strategik ini telah mencecah lebih RM1 bilion. Skandal ini menambah derita peneroka Felda yang sudah berhutang dan menanggug rugi puluhan ribu ringgit akibat skandal FGV. Peneroka Felda menjadi mangsa kepada kegelojohan kroni sang penguasa di Putrajaya sehingga terpaksa menanggung  kehilangan aset dan bebanan hutang yang bertimpa-timpa.
FAIZ FADZIL
PEGUAM/BIRO UNDANG-UNDANG PARTI AMANAH NEGARA (KANUN)
23 DISEMBER 2017

Kenapa Umno mahu Kit Siang jadi PM


Semua dah tahu, Pakatan Harapan telah menyenarai pendek nama beberapa tokoh yang akan diangkat sebagai perdana menteri (PM) jika pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-14.
Semua juga tahu, tokoh-tokoh berkenaan adalah berbangsa Melayu, cukup berpengalaman untuk mentadbir negara selain mendapat sokongan semua parti dalam pakatan tersebut.
Semua juga sedia maklumkan, tidak ada pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang yang kemaruk dengan jawatan nombor satu negara itu.
Hal ini ditegaskan berkali-kali oleh semua pimpinan DAP, terbaru oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng beberapa hari yang lalu.
Sindiran Najib
Namun, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno yang lalu menyindir Kit Siang yang didakwanya berminat menjadi PM.
Najib berkata, Kit Siang tidak boleh berselindung di sebalik seorang Melayu seperti yang dilakukannya sekarang.
Setelah Najib berkata sedemikian, media arus perdana yang dikawal kerajaan mengikut telunjuk Umno dengan terus menyiarkan berita-berita Kit Siang bakal menjadi PM.
Antaranya, media arus perdana menyiarkan kenyataan bekas naib pengerusi DAP yang mendakwa Kit Siang mahu menjadi PM demi menyelamatkan Guan Eng jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dipetik sebagai berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP itu yang bercita-cita menjadi PM kerana bukan Muslim.
Sekutu Umno yakni Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berkata, negara akan terjejas jika Kit Siang menjadi PM dan menuduh pemimpin veteran DAP itu sebagai ahli politik yang tidak berprinsip.
Agenda, strategi Umno
Justeru, kita boleh nampak dengan jelas, mampu membuat kesimpulan bahawa agenda mensensasikan berita Kit Siang bakal menjadi PM adalah gerak kerja Umno dan sekutunya dalam BN.
Tetapi, kenapa Umno mahu Kit Siang jadi PM?
Sebelum itu, tindakan tersebut secara terang lagi bersuluh menjelas serta menegaskan Umno, BN dan sikap rasis itu, berpisah tiada.
Tujuan memomokkan Kit Siang sebagai PM hanya untuk menakutkan orang Melayu setelah sekian lama Kit Siang diadu-domba sebagai seorang anti Melayu, anti-Islam.
Mereka takutkan orang Melayu, jika Kit Siang jadi PM maka maruah bangsa itu tergadai kedudukan agama Islam akan akan tergugat.
Tetapi, mereka juga gelisah kerana pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP berjaya memakmurkan perkembangan dan kemajuan agama itu di negeri berkenaan.
Sebenarnya, mereka takut jika BN kalah, puak-puak ini akan kehilangan kuasa dan mungkin berdepan dakwaan pihak berkuasa atas salah laku yang lampau.
Kerajaan lebih baik
Mereka takutkan jika HARAPAN menang, rakyat mampu untuk melihat kerajaan mana yang lebih baik dan peluang BN untuk kembali berkuasa akan lenyap selamanya jika keputusan pengundi berpaksikan prestasi semasa BN.
Justeru, tatkala negara kini berada di ambang PRU14, rakyat dibuai dengan kisah dongeng sebegini.
Umno mungkin berharap, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat lupa derita kehidupan yang dicetuskan oleh GST.
Umno mungkin berdoa, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat negara ini lupa mengenai kenaikan harga barang yang menjurus peningkatan kos sara hidup.
Mungkin Umno juga berharap, jika cerita karut Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat akan sampai ke tahap tidak kisah jika BN terus kekal berkuasa - asalkan bukan Cina yang menjadi PM.
Tak apa, yang Umno mungkin tidak tahu, rakyat Malaysia tidak lagi bodoh, mereka tahu kerajaan mana nak bertekad untuk teruskan GST dan kerajaan mana yang nak hapuskan GST.
Rakyat juga tahu Kit Siang tidak akan menjadikan PM baru sebagai boneka, sebaliknya bekerjasama untuk memajukan negara ini dengan menjadikan usaha pembasmian rasuah sebagai antara agenda utama.
AMRAN AHMAD NOR yang kini menyertai DAP adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.

BONGKAR !! Hadi Jumpa Ku Li 5 Kali Calonkan Jadi PM



 Hj Hadi yang baru-baru ini membuat kenyataan "Lantik Calon PM awal bercanggah adab ajaran Islam" terkantoi apabila Setia Usaha parti Keadilan, Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa Hj Hadi sendiri pernah menamakan Tengku Razaleigh sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU 13 dulu.

Dakwaan Saifuddin ini turut diakui sendiri oleh bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa Tengku Razaleigh Hamzah pernah menerima tawaran PAS sebelum pilihan raya umum ke-13 untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya. ~ sumber

Kenapa pada waktu itu boleh tetapi sekarang tak boleh? Soal Saifuddin. 

Dalam keadaan para penyokong dan pentaksub Hj Hadi mahukan Hj Hadi jadi PM, rupa-rupanya Hj Hadi sendiri telah mengkhianati hajat dan harapan pentaksub dan penyokongnya sendiri dengan mencadangkan orang dari Umno dilantik sebagai PM jika Pakatan Rakyat menang PRU13 dulu!

Perkara ini didedahkan oleh Saifuddin, bahawa Hj Hadi mengaku telah berjumpa dengan Tengku Razaleigh 5 kali untuk mendapat persetujuannya menjadi Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat menang PRU13!

Pengakuan tersebut dinyatakan oleh Hj Hadi ketika beliau  ditanya oleh almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang telah mempengerusikan satu pertemuan di bilik penginapannya di Hotel Shah Alam, beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen.

Selain Saifuddin, Keadilan telah turut diwakili oleh DS Anwar, Johari Abdul, dan Azmin Ali. Manaka Pas diwakili oleh Hj Hadi, almarhum Harun Din, Mustapha Ali, dan Mohamad Sabu.

Perkara yang dibincangkan ialah, "Boleh tak Pakatan Rakyat bersetuju untuk menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri sebelum Pilihanraya ke-13"

Sebaliknya, dalam perbincangan tersebut, Hj Hadi telah mengemukakan pemimpin Umno, Tengku Razaleigh dengan 4 alasan :

1) Anwar orang Cina tak sokong, Tengku Razaleigh orang Cina sokong.
2) Raja-raja tak suka Anwar, Raja-raja suka Tengku Razaleigh
3) Sabah Sarawak tak sokong Anwar, Sabah Sarawak sokong Tengk Razaleigh
4) Anak muda tidak bersama Anwar, aanak muda suka Tengku Razaleigh.

Setelah mendengar cadangan Hj Hadi tersebut, maka almarhum TGNA bertanya kepadanya, samada Tengku Razaleigh telah tahu tentang perkara ini? 

Hj Hadi jawab, "Sudah Tok Guru. Kita dah jumpa lima kali dah, dia setuju!"

Maknanya pada masa itu telah pun ada tindakan menamakan seorang Perdana Menteri sebelum pilihanraya!

Apakah pada masa itu menamakan Perdana Menteri ikut adab Islam dan kalau sekarang kita menamakan calon Perdana Menteri tidak ikut adab Islam?

Hahaha! Hj Hadi dah kantoi!! Siapa yang boleh tolong jawabkan untuk Hj Hadi??

Kesian para walaun yang beriya-iya sangat mahukan Hj Hadi jadi PM tapi hidup-hidup telah dikhianati !  Cukup-cukuplah kena kelentong Hj Hadi selama ini!!

ISU FELDA : PAS GELEWAK DEPAN PINTU GOL



Setelah media mendedahkan Felda dikatakan kehilangan tiga bidang tanah bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak kepada pihak lain, tiba-tiba Pas cuba berlagak menjadi jagoan isu Felda :

1) Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yohanis Ahmad Aneq berkata, beliau terkejut dengan apa yang berlaku.

Kebimbangan PAS terhadap salah urus tadbir Felda menjadi kenyataan sekarang apabila media melaporkan agensi pembangunan tanah itu kehilangan hak ke atas sebidang tanah di Jalan Semerak, Kuala Lumpur. ~ SUMBER

2) Harakah edisi terbaru memfokus kepada isu Felda di muka depan akhbar tersebut dengan tajuk: HERET PENGKHIANAT FELDA



3) Memuatkan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man : 



Kenyataan TITM inilah yang paling katun! Hanya sebulan lalu iaitu pada 6 Nov 2017, beliau membuat kenyataan “Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi FELDA dan Pengarah Besar FELDA mengenai isu-isu yang dibangkitkan..."

Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh
 Pengerusi FELDA dan Pengarah Besar FELDA mengenai isu-isu
 yang dibangkitkan - Tuan Ibrahim Tuan Man
 Beliau membuat kenyataan tersebut ketika Gagasan Sejahtera yang diwakili parti PAS, IKATAN dan BERJASA hadir ke Ibu Pejabat FELDA di Kuala Lumpur pagi ini bagi menyampai memorandum 6 perkara berkaitan FELDA kepada Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad di pejabat beliau.

Tujuan khusus penyampaian memorandum tersebut ialah menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat penyelewengan yang berlaku didalam FELDA.
“Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi FELDA dan Pengarah Besar FELDA mengenai isu-isu yang dibangkitkan. 
 Pada mulanya kami sememangnya mahu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, akan tetapi setelah mendengar penjelasan dari FELDA, jadi kami tunggu hasil siasatan SPRM sebelum umumkan langkah seterusnya”, ujar beliau. ~ sumber
 Pas janglah nak perasan nak jadi hero dalam isu FELDA kerana  menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman, isu ini telah lama dibangkitkan sejak 2014.

 “Isu ini telah saya bangkitkan pada hujung 2014 kerana saya telah mendapat maklumat, Lembaga Pengarah FELDA berhasrat untuk membangunkan tanah seluas 22 ekar itu,” katanya. 


Mazlan membacakan isi kandungan laporan polis
 ANAK berdeza dengan sikap Pas yang hanya berrethorik dengan hanya membuat kenyataan tapi tanpa membuat tindakan susulan yang wajar.

 ANAK telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru berkenaan kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.~ sumber

Tetapi yang peliknya ialah kenapa tiba-tiba Pas beralih angin? Bukankah sebelum ini Pas tidak menyerang Umno dan dilihat begitu mesra dan sentiasa membela Umno Bn?

Sebagai contoh, Pas ketika berjumpa dan mendapat penjelasan daripada Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Pas pun kata 'berpuas hati' dengan penjelasannya.

Pas ketika bertemu dengan Pengerusi Tabung, Azeez Abdul Rahim, Pas juga kata 'PAS Puas Hati Tadbir Urus Tabung Haji'.  

Tapi di saat mutakhir ini, Pas menampilkan sikap yang sebaliknya... Walau apa pun sikap Pas ini seperti yang MSO gambarkan macam 'ikan keli dalam besin' - suka klu-klek!

Isu Tanah Felda ‘Straightforward’, Tidak Perlu Untuk Tubuhkan RCI !


pahangdaily


PETALING JAYA: PAS berkata isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tidak memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyelesaikan masalah itu kerana kes bersifat “straightforward” atau jelas dan mudah.
Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mengkaji dan meneliti kronologi yang berlaku sehingga pindah milik berlaku kepada syarikat swasta terlibat.
“Antara yang perlu dikaji adalah keputusan Lembaga Pengarah Felda, perjanjian berkaitan antara Felda dengan syarikat berkenaan, transaksi pindah milik tanah kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian,” katanya dalam kenyataan media.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes kehilangan hak Felda ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
PAS merujuk kepada kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Takiyuddin berkata PAS juga berharap siasatan terperinci akan dapat membongkar skandal lain yang melibatkan Felda dan anak-anak syarikatnya yang lain.
“Dengan ini, Felda sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadi ataupun kelompok tertentu,” katanya. #sumber