Monday, December 25, 2017

FELDA PERLU SAMAN SIVIL SEGERA UNTUK SELAMATKAN TANAH STRATEGIK


KENYATAAN MEDIA KANUN
1. Kleptokrasi yang mentadbir negara hari ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan wang rakyat berbilion ringgit, malahan juga hartanah dan aset bernilai. Terkini adalah skandal korupsi yang mengemparkan negara yang didakwa melibatkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad telah mengesahkan bahawa Felda telah kehilangan tanah strategik bernilai RM270 juta di Jalan Semarak Kuala Lumpur melalui satu transaksi yang meragukan. Tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan oleh anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu ENCORP Bhd untuk manfaat peneroka Felda kini telah hilang daripada milikan Felda.
2. Laporan yang disiarkan hampir keseluruhan media mendakwa bahawa Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga tidak mengetahui bagaimana penukaran hak milik tanah tersebut itu boleh berlaku dan Felda juga tidak memperolehi sebarang duit daripada pindahmilik tanah tersebut. Syarikat yang dilantik Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd yang memperolehi Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) daripada Felda telah didakwa menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat proxy Promenade iaitu Kuala Kumpur Vertical City Sdn Bhd untuk dibangunkan sebagai Kuala Kumpur Vertical City (KLVC) di mana perlakuan ini didakwa dilakukan secara  ‘fraud’ atau penipuan. Transaksi ini didakwa berlaku dalam tempoh Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda dan pada masa yang sama Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV)  serta Pengerusi FIC. Adalah sangat mustahil transaksi pindahmilik fraud ini tidak diketahui oleh Tan Sri Isa Samad.
3. Menelusuri fakta ringkas transaksi pindah milik tanah tersebut, KANUN berpendapat Felda sebagai pemilik asal tanah tersebut masih mempunyai hak benefesial untuk menuntut dan mendapatkan kembali tanah tersebut melalui saman sivil di mahkamah. Seksyen 340(2) Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa sebarang pindahmilik hartanah yang dibuat secara fraud adalah batal dan tidak sah. Walaupun syarikat proxy Promenade didakwa membelinya, namun syarikat tersebut tidak boleh bergantung kepada prinsip ‘pembeli niat baik’ (bona fide purchaser) kerana syarikat tersebut adalah proxy kepada Promenade yang terlibat dengan fraud dan sudah pasti perkara ini di dalam pengetahuan mereka.
4. Fraud sebenar jelas kelihatan kerana FIC dan Promenade telah menyalahgunakan kuasa bagi memperolehi tanah tersebut melalui Surat Kuasa Wakil tersebut. Surat Kuasa Wakil mempunyai terma-terma tertentu dan jika ia mempunyai terma kuasa pindahmilik dan bukan sekadar kuasa pembangunan sahaja, sudah pasti elemen fraud telah wujud. Mana mungkin pemilik tanah memberikan kuasa pindahmilik tanpa sebarang balasan duit dan jika ia tidak wujud, Surat Kuasa Wakil tersebut sendiri pun tidak sah.
5. Selain itu, syarikat proxy tersebut bukanlah tergolong di dalam ‘deferred purchaser’ yang membolehkan mereka dilindungi oleh undang-undang sebagai bona fide purchaser. Syarikat proxy tersebut adalah ‘immediate purchaser’ yang tidak layak di bawah undang-undang dipanggil bona fide purchaser di mana mereka memperolehi hak milik tanah tersebut secara langsung daripada FIC melalui transaksi fraud. Prinsip undang-undang terkini ini telah digariskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San pada tahun 2010 yang telah mengatasi kes kontroversi Adorna Properties  v Boonsom Boonyanit di dalam menafsirkan peruntukan seksyen 340 Kanun Tanah Negara. Undang-undang kini memberikan hak yang lebih kepada pemilik asal hartanah yang ditipu.
6. Di samping itu, KANUN juga berpendapat Felda perlu memfailkan relif injunksi dengan segera bagi memberhentikan segala pembangunan di atas tanah tersebut oleh kontraktor KLVC supaya syarikat proxy tersebut tidak mendapat faedah lanjut dan tindakan ini menunjukkan keseriusan Felda mendapatkan kembali aset mewah milik jutaan warga Felda ini.
7. KANUN juga menegaskan bahawa saman sivil ini tidak membataskan kuasa SPRM dan Polis untuk menyiasat individu-individu yang terbabit terutama Tan Sri Isa Samad samaada wujud perlakuan rasuah, pecah amanah dan penipuan yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM. SPRM dan Polis tidak boleh membiarkan skandal mencuri duit dan aset rakyat ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan, siasatan telus dan pendakwaan sepertimana yang berlaku kepada skandal mega 1MDB. Menegakkan keluhuran undang-undang adalah tugas asasi SPRM dan Polis.
8. KANUN juga menggesa Felda mengambil tindakan disiplin dan undang-undang  terhadap pegawainya yang terlibat dengan transaksi pindah milik tanah strategik ini dan institusi luar yang terlibat jika gagal memberikan nasihat secara diligent. KANUN juga menggesa kerajaan mengambil langkah drastik menyelamatkan tanah milik sah Felda ini dengan pihak DBKL mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap syarikat kontraktor terbabit ke atas semua bentuk pembangunan tanah tersebut.
9. Kehilangan tanah strategik ini yang mempunyai nilai komersil yang mewah ini tidak seharusnya dilepaskan kepada mereka yang rakus meratah hasil negara tanpa mempedulikan nasib peneroka Felda. Keuntungan pembangunan tanah ini seharusnya dimanfaatkan kepada peneroka Felda untuk membantu mereka dalam bantuan pendidikan dan rumah generasi kedua. Apatah lagi nilai semasa tanah strategik ini telah mencecah lebih RM1 bilion. Skandal ini menambah derita peneroka Felda yang sudah berhutang dan menanggug rugi puluhan ribu ringgit akibat skandal FGV. Peneroka Felda menjadi mangsa kepada kegelojohan kroni sang penguasa di Putrajaya sehingga terpaksa menanggung  kehilangan aset dan bebanan hutang yang bertimpa-timpa.
FAIZ FADZIL
PEGUAM/BIRO UNDANG-UNDANG PARTI AMANAH NEGARA (KANUN)
23 DISEMBER 2017

No comments:

Post a Comment